Tuesday, September 04, 2018

Peranan Malaysia bantu Rohingya terus ditagih



Oleh HAIZIR OTHMAN

Tokoh falsafah dan pendidikan Brazil, Paulo Freire dalam karya magnum opusnya, Pedagogi Kaum Tertindas menyatakan kebebasan amat diperlukan dalam proses penyempurnaan manusia. Katanya, para penindas menindas mangsa dengan menakrifkan penindasan sebagai satu perkara yang wajar.

Sewaktu buku ini terbit pada tahun 1968, krisis kaum Rohingya di bumi Arakan, Myanmar masih belum memuncak. Junta tentera mereka hanya memulakan kempen keganasan mengusir kaum Rohingya pada tahun-tahun 1970-an.

Sehingga pembunuhan besar-besaran berlaku pada 2015 seperti disahkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), konflik di sana semakin meruncing. Akibatnya, kebanjiran pelarian Rohingya di negara-negara termasuk Malaysia telah mengundang keresahan serantau, bukan sahaja negara terlibat.

Kebimbangan ini disuarakan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang berkata komuniti ini terdedah kepada agenda pengganas seperti IS yang sentiasa mencari peluang merekrut ahli baru.

Selain itu, angka mereka yang sudah mencecah hampir 1 juta di Bangladesh dan 100,000 orang di negara ini bakal mengundang isu lain seperti masalah sosial dan lain-lain.

Bila nak selesai?

Timbalan Presiden badan bukan kerajaan (NGO) Malaysian Relief Agency (MRA), Khairil Annuar Khalid, tidak menafikan limpahan warga Rohingya di negara ini bakal mencetus masalah sosial dan lain-lain.

Ia ekoran mereka tidak diiktiraf sebagai pelarian (walaupun ada yang memiliki kad UNHCR) oleh kerajaan Malaysia yang tidak menandatangani Konvensyen Geneva 1951.

Khairil Annuar Khalid

"Kita menerima mereka cuma atas dasar kemanusiaan. Tetapi, hakikatnya, mereka tidak boleh bekerja, menerima pendidikan dan menikmati hak-hak sebagai pelarian kerana tiada pengiktirafan itu di sini."

"Status 'stateless' (tanpa warganegara) mereka menyukarkan kita, mereka dikira sebagai pendatang tanpa izin," katanya.

Khairil mencadangkan kerajaan mengiktiraf kaum Rohingya sebagai pelarian terlebih dahulu agar tidak timbul masalah sosial pada masa depan, dengan cara mengubah polisi sedia ada.

Jelasnya, MRA dan NGO-NGO lain seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggunakan saluran pendidikan untuk membantu anak-anak Rohingya demi menyediakan mereka sebagai pemimpin negara mereka jika dapat pulang satu hari nanti.

"Namun kita menggunakan dana sendiri selama ini. Kerajaan tidak bantu (dari segi dana pendidikan) kerana pendirian tersebut," jelas Khairil lagi.

Tanpa penyelesaian, jelas Khairil, kaum Rohingya berdepan isu lain lebih besar seperti pemerdagangan manusia dan direkrut pengganas. Beliau memetik kes penemuan kubur besar Rohingya di Wang Kelian mengandungi lebih 150 mayat warga asing yang mungkin dibunuh dalang sindiket.

Adili penjenayah kemanusiaan

Mencari jalan penyelesaian isu ini, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah mendesak kerajaan Myanmar bertindak menghentikan pembunuhan etnik Myanmar dan membawa pesalah ke muka pengadilan.

Dalam kenyataan medianya, ahli parlimen Indera Mahkota itu menegaskan Myanmar tertakluk kepada Konvensyen PBB 1948 Menghalang dan Menghukum Jenayah Penghapusan Etnik yang ditandatangani sejak 1956.

Kenyataan media tersebut dikeluarkan sebagai respon kepada Laporan Misi Fakta Pencarian Antarabangsa Bebas PBB 24 Ogos lalu yang mengesahkan kebimbangan Malaysia bahawa jenayah terhadap etnik Rohingya ada persamaan dengan pembunuhan beramai-ramai yang mencemarkan sejarah kemanusiaan.

Senada dengannya adalah ahli parlimen Segambut, Nik Nazmi Nik Ahmad yang mahu ASEAN memainkan peranan termasuklah meminda Artikel 2(2)(e) dalam Piagam Asean berkaitan prinsip tidak campur tangan dalam hal-ehwal dalaman negara anggota.

"Ia mesti dipinda agar kes-kes melampau seperti pembunuhan beramai-ramai dapat dikeluarkan (dan diadili)," katanya dalam satu kenyataan.

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pula mahu kerajaan Malaysia mengenakan tekanan diplomatik dan ekonomi kepada Myanmar agar mereka mengembalikan hak etnik Rohingya sebagai warganegara.

Presidennya, Mohamad Raimi Abdul Rahim berkata antaranya melalui pengurangan perdagangan import dan eksport antara kedua-dua negara serta mengawal kemasukan tenaga kerja asing dari negara berkenaan.

Sehingga isu ini diselesaikan oleh kerajaan Myanmar sendiri, limpahan warga Rohingya akan terus mencari perlindungan di negara-negara sekitar sekaligus mencetus suasana tidak senang antara Myanmar dengan negara-negara terbabit.


*Disiarkan di Suara Keadilan 390

No comments: