Oleh HAIZIR OTHMAN
British mungkin menggunakan strategi politik paling ampuh sewaktu menduduki Malaya lewat pendekatan 'pecah dan perintah'. Berjaya di India, taktik ini digunakan di sini dengan memecahkan tiga kaum terbesar; Melayu, Cina dan India kepada sektor-sektor ekonomi berbeza - pertanian, perdagangan, dan perladangan.
Bebas dari kolonialisme pada tahun 1957, kesan daripada pemisahan ini masih dirasai sehingga kini. Walaupun secara fizikal penjajah telah meninggalkan tanah air, idea 'pecah dan perintah' masih mahu diterapkan kepada penduduk negara ini demi kelangsungan kuasa pihak tak bertanggungjawab.
Sebahagian dari idea ini mungkin ditiru Umno BN dalam pendekatan berbeza. Namun, intinya adalah memisah-misahkan tiga kaum utama lewat propaganda perkauman untuk menakut-nakutkan mereka agar tidak bersatu.
Pendedahan dibuat banyak pihak antaranya oleh ahli parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad yang pernah menyebut bahawa pendekatan sebegini dilakukan di peringkat jentera kerajaan melalui Biro Tatanegara (BTN) seliaan Jabatan Perdana Menteri sebelum ini.
Antara momokan yang sering dimainkan oleh sebahagian ahli dan pemimpin Umno dan BN sebelum PRU14 sewaktu masih berada dalam kerajaan adalah sekitar tiga perkara utama ini:
- Lim Kit Siang jadi Perdana Menteri
- Malaysia jadi negara Kristian
- Institusi Raja-raja Melayu dihapuskan
Momokan palsu
Menurut mereka, tiga perkara ini akan dilaksanakan jika gabungan parti dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) berjaya membentuk kerajaan di Putrajaya.
Namun hakikatnya, selepas 100 hari HARAPAN di tampuk kekuasaan, ketiga-tiga perkara yang dimomok-momokkan itu tidak berlaku sama sekali, malah jauh daripada yang dapat kita bayangkan.
Pemimpin kanan DAP, Lim Kit Siang mengecam tindakan tersebut dan menyifatkannya sebagai mainan politik perkauman, agama, ketakutan, kebencian dan penipuan yang tidak bertanggungjawab.
Dalam kenyataan medianya, ahli parlimen Iskandar Puteri itu menyelar ucapan Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa yang menurut Lim, berbaur perkauman, mengapi-apikan dan provokatif semasa Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis Ogos lalu.
Nada serupa dikeluarkan bekas timbalan menteri Umno, Tajuddin Rahman yang menuduh DAP mempunyai agenda tersembunyi untuk menjadikan Malaysia negara Kristian dan mahu menghapuskan institusi Raja-raja Melayu, sekali gus menubuhkan republik.
Jelas Lim, taktik jahat tersebut walaubagaimanapun tidak berjaya membawa kemenangan kepada UmnoBN pada PRU lalu.
"Rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau wilayah telah menunjukkan kebijaksanaan mereka sehingga berlaku perubahan di peringkat kerajaan persekutuan dan enam negeri."
"Pihak yang mengamalkan politik perkauman, agama, kebencian, ketakutan dan penipuan tetap akan kalah, namun kejahatan mereka tidak harus dipandang ringan," katanya.
Pemikiran lapuk
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Kandis yang baru, Ustaz Zawawi Mughni berpandangan cara berfikir Umno 'orang Melayu terpinggir di bawah HARAPAN' sudah lapuk dan tidak relevan kerana HARAPAN telah membuktikan sebaliknya.
Malah, program membangunkan orang Melayu lebih sistematik kini sekaligus membuktikan kebimbangan yang cuba dicetuskan Umno itu tidak berasas.
"HARAPAN membangunkan program-program pembangunan Bumiputera dengan baik, contohnya penganjuran Kongres Masa Depan Bumiputera Sabtu lalu jelas menunjukkan hasrat kerajaan mengangkat martabat ekonomi orang Melayu," katanya.
Selain itu, jelasnya, parti-parti HARAPAN (kecuali Bersatu) membuka keahlian kepada semua kaum, satu pendekatan yang lebih diterima berbanding Umno, MCA dan MIC yang mengehadkan keahlian kepada kaum tertentu sahaja.
![]() |
| Zawawi Mughni |
Namun, beliau tetap gusar fahaman perkauman yang disebarkan Umno ditelan bulat-bulat terutama di kawasan luar bandar. Justeru, beliau mahu pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang cuba memainkan sentimen kaum kerana ia boleh membahayakan keselamatan awam.
Bagi Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Pembangunan Koperasi Perak, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim, tindakan Tajuddin itu dilihat sengaja mencetuskan kebimbangan rakyat.
Hasnul yang membuat laporan polis berhubung video yang viral itu Sabtu lalu berkata, ucapan Tajuddin disifatkan sebagai ancaman kepada rakyat kerana mewujudkan rasa tidak senang masyarakat dan berharap polis segera bertindak.
*Disiarkan di Suara Keadilan 390


No comments:
Post a Comment