Oleh HAIZIR OTHMAN
Pendedahan aktivis sosial dan sukarelawan, Syed Azmi Alhabshi baru-baru ini tentang kes tiga orang kanak-kanak melarikan diri dari pusat tahfiz kerana mendakwa diliwat mudir barangkali mengejutkan, tapi hakikatnya ia bukan kali pertama cerita-cerita sebegini disampaikan.
Tahun lalu, kes kematian kanak-kanak berusia 11 tahun, Mohammad Thaqif di sebuah sekolah tahfiz di Johor Bahru menggemparkan negara susulan dakwaan didera sehingga menyebabkan kakinya perlu dipotong. Soalannya, mengapakah insiden-insiden sebegini sering terjadi?
Institusi agama seperti sekolah tahfiz sejak 10-15 tahun kebelakangan jadi begitu popular di kalangan masyarakat. Ibu bapa punya jangkaan begitu tinggi - dengan menghantar anak-anak ke sekolah tahfiz, akhlak mereka akan terpelihara. Kajian tidak rasmi menunjukkan terdapat lebih 150,000 pelajar tahfiz di seluruh negara.
Banyak sebab mendorong kelahiran sekolah agama (terutamanya, swasta) yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Antaranya, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pernah menggariskan kepercayaan ibu bapa bahawa ia mampu mengekang masalah sosial remaja, selain pengiktirafan kerajaan sebagai faktor-faktornya.
Permintaan tinggi ibu bapa menghantar anak ke sekolah agama terutama pada peringkat sekolah rendah pernah disebut Pengarah Akademik Khalifah Education Foundation, Hasrizal Abdul Jamil sebagai membimbangkan.
Jelasnya dalam blog pendidikannya, SaifulIslam.com, berbanding sekolah, ibu bapa sebenarnya lebih mampu memberikan agama kepada anak-anak kerana pada tahap sekolah rendah, mereka memerlukan agama yang asas, tidak mengutamakan fakta dan ritual, sebaliknya karakter dan sosial.
Hakikatnya untuk sekolah rendah, tidak banyak 'Islam' yang sekolah agama boleh berikan kepada anak-anak. Apa yang lebih diperlukan di usia tersebut adalah sekolah yang menyediakan pengalaman pembelajaran yang positif, jelasnya yang kini melanjutkan pelajaran dalam bidang pendidikan di Universiti Oulu, Finland.
Pendidikan vs agama
Tambahnya, penubuhan sekolah agama harus berasaskan semangat pendidikan, bukan semangat 'agama', apatah lagi bisnes. Ilmu yang diperlukan untuk menubuhkan sekolah adalah ilmu pendidikan, bukannya ilmu Syariah atau Usuluddin.
Hakikat bahawa sekolah agama di seluruh negara tidak mempunyai sistem kawalan berpusat sebaliknya terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, menjadikan sistem pendidikan ini tampak lebih sukar diselia.
Walaupun menyedari hakikat ini, kerajaan masih tidak bercadang mengumpulkan keseluruhan pentadbiran sekolah agama di bawah satu payung, contohnya lewat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), menggunakan "kuasa negeri" sebagai alasan.
![]() |
| Dr Mujahid Yusof Rawa |
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal-Ehwal Agama), Dr Mujahid Yusof Rawa berkata tiada perancangan untuk mendaftarkan sekolah-sekolah agama di bawah JAKIM kerana ia tertakluk dalam bidang kuasa kerajaan negeri.
Jelas Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) itu, JAKIM hanya berperanan sebagai badan penyelaras, selain membantu pelajar sekolah agama menyesuaikan diri dengan masyarakat luar selepas tamat pengajian.
Melihat isu ini dari aspek berbeza, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Kandis, Zawawi Mughni berkata ada kebaikannya pemisahan itu berlaku kerana ia jadi alternatif kepada sistem pendidikan arus perdana.
Jelasnya yang punya pengalaman mengendalikan sekolah agama, pendidikan agama jadi pilihan ibu bapa antaranya kerana wujud krisis keyakinan terhadap pendidikan kebangsaan yang sejak beberapa tahun kebelakangan memberi penekanan keterlaluan kepada kecemerlangan akademik semata-mata.
Bertentangan Falsafah Pendidikan
Ia sekaligus meragut kebebasan guru untuk mendidik lantaran terikat dengan petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan Kementerian Pendidikan lewat pelbagai peringkat dan perlu dicapai dalam jangka masa tertentu.
Langkah ini katanya bertentangan dengan Falsafah Pendidikan Negara (FPN) sendiri yang bermatlamat melahirkan insan kamil. Krisis keyakinan tersebut ujarnya, menyebabkan ada ibu bapa menghantar anak-anak sehingga ke Indonesia dan negara-negara lain sebagai alternatif pendidikan yang lebih baik.
Namun, pengetua Maahad Tahfiz al-Fateh itu berkeyakinan jika kerajaan baru Pakatan Harapan (HARAPAN) mampu mengangkat pendidikan negara selari dengan FPN, kepercayaan terhadap sistem pendidikan kebangsaan di kalangan ibu bapa akan kembali pulih.
Mengulas insiden liwat seperti yang didedahkan Syed Azmi, Zawawi berharap ia tidak menjejaskan reputasi keseluruhan sekolah agama yang terbukti cemerlang dalam melahirkan pelajar-pelajar yang baik.
Tambahnya yang berkelulusan Sarjana Pendidikan dari Universiti Malaya, sekolah-sekolah agama di Selangor dipantau dengan baik di mana sekolah yang dilapor bermasalah akan disiasat sebelum diambil tindakan sewajarnya.
Hakikatnya, baik pendidikan beraliran kebangsaan atau agama, kedua-duanya memerlukan perhatian dan keinginan politik ('political will') tinggi dari kerajaan untuk memastikannya mampu melahirkan sumber manusia yang diinginkan.
*Disiarkan di Suara Keadilan 393


No comments:
Post a Comment