Dr Mohamad Rafie Ab Malek antara tokoh penting KEADILAN seawal penubuhannya pada 4 April 1999. Setia dengan parti di sebalik gelora dan turun-naik dalam politik nasional selama 20 tahun, kini beliau mampu melakar senyuman rentetan kejayaan HARAPAN pada PRU14 lalu. Ikuti wawancara sub editor Suara Keadilan Haizir Othman dan wartawan Mustaqqim Fauzi dengan Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan ini di pejabatnya baru-baru ini.
SK: Dr dikenali dengan kejayaan membawa masuk pelaburan besar Airbus di negeri ini. Boleh ceritakan tentangnya?
Dr Rafie: Secara dasarnya Airbus telah bersetuju bersama kerajaan negeri untuk membina hab penerbangan. Mereka telah mengeluarkan surat, akan mulakan kajian kebolehlaksanaan (feasibility studies) selama 18 bulan, tapi kami akan cuba untuk percepatkan supaya tidak terlalu lama. Ada beberapa perkara penting dalam hab penerbangan tersebut, yang pertama Final Assembly Line (FAL), tempat pasang kapal terbang. Di dunia hanya ada empat tempat pasang kapal terbang Airbus - Touluse (Perancis), Hamburg (Jerman), Alabama (Amerika) dan Tianjin (China). Jika kita berjaya usahakan FAL di Negeri Sembilan ini, ia akan menjadi yang kelima di dunia.
Selain FAL, kita hendak sediakan MRO; penyelenggaraan (maintenance), membaiki (repair) dan membaikpulih (overhaul). Seperti kita tahu, kapal terbang perlu dibaikpulih selepas beberapa ribu jam penerbangan. Sekarang, yang berhampiran ada dua tempat MRO - Singapura dan China. Biasanya, kita hantar ke China kerana di Singapura agak mahal. Kita akan bangunkan MRO dengan teknologi termoden di Negeri Sembilan. Tempatnya masih dalam penilaian bergantung kepada kajian kebolehlaksanaan, iaitu sama ada di Labu atau Bukit Pelanduk.
SK: Bagaimana tercetusnya idea bawa masuk Airbus untuk buka hab penerbangan di rantau ini?
Dr Rafie: Umumnya, kita tahu, Malaysia menerusi Airasia merupakan pembeli Airbus terbesar di dunia. Setelah Pakatan Harapan (HARAPAN) menang PRU14, saya berbincang dengan CEO AirAsia, Tony Fernandes bahawa kita beli banyak kapal terbang Airbus, tapi apa pulangannya kepada negara? Saya cadangkan kepadanya kita bawa masuk pelaburan Airbus ke negara ini. Beliau setuju dan pergi ke Toulouse, berbincang dengan Ketua Pegawai Eksekutif Airbus, Dr Tom Enders dan Dr Tom juga setuju.
Ia merupakan satu kerjasama yang baik dan memberikan pulangan kepada negara dan Negeri Sembilan, bakal membawa masuk ratusan industri sokongan ke sini. Impak ekonomi dalam pelaburan ini sangat besar. AirAsia menandatangani pembelian kapal terbang sebanyak 100 unit kapal terbang Airbus A370 Neo yang berharga USD 300 juta setiap satu, menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak USD 30 bilion. Ini adalah jumlah yang syarikat Airbus bersetuju untuk melabur di Malaysia.
SK: Adakah kerajaan negeri mengeluarkan jumlah tertentu dalam projek ini?
Dr Rafie: Kerajaan negeri memainkan peranan memulakan inisiatif mengenai pelaburan ini dan Tan Sri Tony Fernandes pun tidak pernah terfikir bahawa beliau membeli banyak kapal terbang dan sepatutnya pihak Airbus melabur semula di negara ini. Beliau bersetuju dan pihak Airbus telah mengeluarkan surat persetujuan untuk melabur. Kerajaan negeri akan adakan perbincangan dengan kerajaan pusat mengenai perkara ini.
Projek ini besar dan akan jadi projek negara, bukan hanya projek kerajaan Negeri Sembilan, melibatkan juga Kementerian Pengangkutan, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi juga pejabat Perdana Menteri. Tanah yang terlibat sekitar 5,000 ke 8,000 ekar kerana di sana bakal ada landasan kapal terbangnya, kilang pemasangan, hangar, kilang-kilang sokongan kecil lain seperti kilang enjin dan ribuan komponen lain.
SK: Adakah tenaga kerja yang besar di sana nanti bakal diisi anak-anak tempatan?
Dr Rafie: Kami telah nilai proses untuk mulakan latihan. Saya berbincang dengan syarikat kejuruteraan penerbangan untuk latih rakyat Malaysia agar apabila pelaburan itu masuk, kita mampu sediakan tenaga kerja mencukupi dan berkemahiran tinggi untuk pastikan industri ini berjalan dengan cemerlang. Permulaannya, kita akan beri latihan khususnya kepada mereka yang pernah belajar dalam bidang penerbangan dan aeronautik. Sebaik sahaja kajian kebolehlaksanaan selesai kita akan mulakan latihan. Setelah projek bermula, saya jangka dalam tempoh tiga tahun untuk kita sediakan infrastruktur berkenaan.
SK: Impak projek ini kepada ekonomi negeri?
Dr Rafie: Kerajaan negeri sudah maklumkan secara rasmi kepada Perdana Menteri tentang projek ini. Pertemuan seterusnya akan berlangsung dalam masa terdekat untuk minta kerajaan pusat beri keutamaan kepada projek ini yang berupaya membesarkan 'kek ekonomi' negara kita.
Lanjutan dari projek ini, ada syarikat penerbangan lain yang juga berminat untuk melabur di sini contohnya Bell yang membuat helikopter. Juga ada syarikat dari Russia buat tawaran. Maka, hab penerbangan ini nanti kita harap akan diisi bukan sahaja oleh Airbus malah syarikat-syarikat penerbangan berwibawa antarabangsa yang lain.
Saya dimaklumkan apabila kita bercadang buat hab penerbangan ini, negara-negara lain seperti Singapura juga berminat dengan idea tersebut dan mahu ia dibuat di sana, cuma saya yakin Airbus akan tetap melabur dengan kita kerana kita punya tarikan yang lebih baik memandangkan kita pembeli Airbus paling banyak berbanding Singapura, Thailand dan Indonesia.
SK: Selain projek hab penerbangan, projek lain kerajaan negeri?
Dr Rafie: Saya nak maklumkan bahawa dalam tempoh hanya dua minggu kami mentadbir kerajaan negeri, kami telah berjaya bawa pelaburan bernilai RM1 bilion iaitu proses pembesaran sebuah kilang. Kilang tersebut mengeluarkan produk cukup canggih berkaitan komponen yang dipanggil 'Power Intergrated Modul' (PIM). Ia sangat kecil, ukurannya lebih kecil daripada kepala semut. Ini juga merupakan satu rekod baru kerana dalam sasaran kami sebelum ini, RM1 bilion itu sebenarnya untuk dicapai dalam tempoh satu tahun. Dalam tempoh setahun setengah dari sekarang, sebanyak 2400 peluang pekerjaan akan ada untuk anak-anak tempatan.
SK: Dr juga memegang portfolio keusahawanan, bagaimana Dr mahu lahirkan usahawan dalam kalangan bumiputera?
Dr Rafie: Kami bantu usahawan daripada kecil sehinggalah usahawan besar. Produk dikeluarkan IKS misalnya haruslah bermutu. Kami akan bantu mereka bersama agensi kerajaan untuk dapatkan pensijilan, contohnya Hazard Analysis and Critical Control Points (HACCP) di mana sijil ini akan bantu mereka agar lebih diyakini. Kerajaan Negeri Sembilan juga akan keluarkan satu piawaian setaraf iaitu 'NS Quality', kita mahu apa sahaja produk dikeluarkan atas logo NS Quality ini bermutu, bersih dan halal. Kerajaan akan bantu pasarkan produk mereka dalam dan luar negara.
Dalam industri usahawan kecil, kami akan beri bantuan kewangan dan khidmat nasihat untuk mereka besarkan perniagaan. Kerajaan berhasrat bangunkan usahawan dalam semua sektor, termasuk pertanian, pembuatan, pemakanan, pakaian dan hartanah. Kerajaan negeri mesti punyai satu garis pandu sebagai pelaksanaan, untuk bantu mereka secara menyeluruh, terancang dan tersusun.
SK: Adakah industri seni boleh dijadikan produk untuk dikomersilkan bagi menarik pelancong?
Dr Rafie: Kita ada satu projek dipanggil Rembau Crystal, kesenian dan kepakaran untuk membuat kaca. Tetapi ia telah terhenti, saya juga cari individu yang punyai kepakaran untuk pulihkan semula Rembau Crystal. Bukan sahaja kristal, tapi hasil seni dari Orang Asli Temuan yang terletak di kawasan berdekatan, saya telah bincang dengan mereka untuk pamerkan hasil seni komuniti ini.
SK: Pandangan Dr tentang PPENS 2018-2050?
Dr Rafie: Pelan Pembangun Ekonomi Negeri Sembilan (PPENS) 2018-2050 merupakan pelan pembangunan keseluruhan dan saksama merangkumi semua sektor di Negeri Sembilan. Ia mencakupi semua tempat agar tiada tempat tertinggal dalam usaha pembangunan. Misalnya dalam sektor pelancongan banyak tempat yang boleh dibangunkan, bukan tertumpu kepada Port Dickson (PD) sahaja. Namun untuk PD, saya telah bincang dengan AirAsia agar masukkan PD dalam Inbound Package mereka, sebagai satu destinasi pelancongan utama. Akan datang mungkin Kuala Pilah dan tempat-tempat lain. Kita juga minta Yayasan Negeri Sembilan beri latihan kepada pemandu-pemandu pelancong agar mereka boleh ceritakan sejarah tempat-tempat menarik di sini kepada para pelancong.
SK: Sebagai Adun Ampangan, apa isu penting di kawasan ini?
Dr Rafie: Di sini kita ada UTC (pusat transformasi bandar), terletak di pusat bandar yang berhampiran dengan semua agensi kerajaan, cukup baik beri kemudahan kepada rakyat Ampangan dan Negeri Sembilan. Cuma masalahnya tempat letak kereta tidak cukup. Kami sedang usahakan untuk majukan kawasan ini, serta di kawasan Medan Selera Ampangan. Kekurangan tempat letak kereta ini isu penting bagi peniaga di kawasan ini untuk menarik ramai pengunjung.
Yang lebih menyedihkan, kerajaan sebelum ini luluskan pembinaan dewan orang ramai di kawasan berdekatan, yang boleh muatkan seribu orang, malangnya tempat letak kereta hanya ada 15 lot sahaja. Saya kaji dan tangguhkan perancangan itu, buat pelan baru, agar lot perniagaan ada tempat parking yang luas. Kami usulkan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk bantu kami sediakan tempat letak kereta, dan kawasan dewan orang ramai tidak diubah reka bentuknya. Dalam perancangan juga, pasar berhampiran UTC ini akan diroboh, dibina semula serta dibesarkan kawasannya dengan tempat letak kereta bertingkat di atas pasar tersebut yang mampu memuatkan 320 unit tempat letak kereta.
Begitu juga dengan kawasan dewan orang ramai yang baru itu, kami akan sediakan tempat letak kereta sebanyak 150 unit tempat letak kereta, sebenarnya masih tidak mencukupi tapi ia membantu. Penambahan tempat letak kereta, dan bas ini akan bantu UTC dan medan selera, supaya nanti ada bas-bas pelancong yang boleh singgah makan di medan selera tersebut. Usaha ini kami telah rancang dan semoga ia dapat menambah seri kepada Ampangan dan membantu keseluruhan rakyat Negeri Sembilan dengan menggunakan perkhidmatan di UTC terutamanya. Kerana UTC punya tempoh operasi yang cukup lama, dari 8.00 pagi hingga 9.30 malam setiap hari.
Sang strategis pelakar rencana penubuhan parti
Segalanya bermula pada 2 September 1998 apabila Saudara Anwar Ibrahim dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri. Sejak dari tarikh itu hampir setiap hari Dr Rafie berulang-alik dari Negeri Sembilan ke Kuala Lumpur untuk bersama-sama Saudara Anwar dan keluarganya.
Apabila Anwar diberkas pada 20 September, gerakan reformasi marak dengan demonstrasi jalanan yang berlaku saban hari, mendorong pertanyaan Dr Rafie kepada Dr Wan Azizah, sampai bila kita harus dengan pendekatan begini? Untuk menukar kerajaan, kita harus ada satu platform politik, katanya kepada Kak Wan.
Jawapan Kak Wan betapa permohonan tersebut tidak akan diluluskan kerajaan dijawab Dr Rafie, "kita tetap kena tubuh parti baru sebagai camouflage (penyamaran)." Maka, usaha dibuat untuk menubuhkan tiga parti baru - Parti Malaysia Baru, Angkatan Reformasi Malaysia dan Himpunan Angkatan Keadilan (HAK). Dan seperti dijangka, ketiga-tiga parti ini tidak lulus. Sehingga hari ini.
Namun muslihat sebenar adalah pengambilalihan satu parti lama yang dorman, serpihan dari Parti Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim), iaitu Ikatan Masyarakat Islam Malaysia. Dari rahim parti inilah, Parti Keadilan Nasional (KEADILAN) dilahirkan.
Proses pengambilalihan berlaku perlahan-lahan, disamarkan pergerakan dalam NGO, ADIL selain gabungan NGO dan parti politik, GERAK.
Tanggal 4 April 1999 jadi tarikh bersejarah apabila KEADILAN berjaya dilancarkan di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur di sebalik pelbagai cubaan untuk menggagalkan usaha tersebut termasuk tekanan kepada hotel sendiri untuk membatalkan program pada saat-saat akhir.
"Yang terlibat dalam idea penubuhan parti adalah Dr Wan Azizah, Nurul Izzah yang masih belajar pada waktu itu, Anuar Tahir (kini Setiauasaha Agung AMANAH), Dr Muhammad Nur Nawawi, dua orang sahabat bernama Nor Azmi dan Alias, dan saya sendiri," jelas Dr Rafie.
Jangan lupa prinsip
Menurut Dr Rafie yang telah menjalani proses turun-naik dalam politik cukup lama sejak awal kelahiran idea menubuhkan parti sehingga kini berjaya mencapai kemenangan di peringkat negeri dan persekutuan, beliau bekerja bertungkus-lumus demi menjulang amanah dan kepercayaan dari rakyat.
"Pertama kali bertanding pada tahun 1999, kita kena sembelih. Kita bertanding pada waktu itu cuma untuk memastikan kita ada calon," katanya mengimbau juga PRU11 tahun 2004 apabila parti cuma menang satu kerusi parlimen menerusi Dr Wan Azizah di Permatang Pauh.
"Harapan saya setelah kita menang, kita tidak lupa asas dan prinsip perjuangan kita iaitu keadilan untuk semua," katanya menutup perbualan.
*Disiarkan di Suara Keadilan 391




No comments:
Post a Comment