Wednesday, December 26, 2018

AIM: Jangan ulang kesilapan lalu


Oleh HAIZIR OTHMAN, AINOR MAZIYYAH


Sejak mula ditubuhkan pada tahun 1987, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) telah memainkan peranan cukup penting dalam meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia, terutamanya kepada golongan Bumiputera yang berpendapatan rendah.

Punya aspirasi serupa dengan penubuhan Bank Grameen di Bangladesh yang diasaskan pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Dr Muhammad Yunus untuk memberdaya orang miskin menjana kegiatan ekonomi mereka sendiri melalui skim pembiayaan mikro kredit, jasa AIM amat besar, dan amat dekat lebih-lebih lagi kepada orang Melayu yang banyak mendapat manfaat dari badan amanah ini.

Merupakan pertubuhan mikro kredit terbesar di Malaysia, ia telah memberi pinjaman kepada lebih 260,000 peminjam melibatkan dana lebih RM2.3 bilion sejak mula beroperasi.

Bukan sahaja itu, apa yang lebih membanggakan adalah kadar pembayaran baliknya yang dikatakan mencecah 99.2 peratus, antara tertinggi di dunia, menunjukkan kejayaan badan ini dalam programnya membangun ekonomi peminjam sehingga mampu membayar balik pinjaman yang diberikan.

Menoleh kembali sejarah penubuhannya lebih 30 tahun lalu, insan yang instrumental dalam penubuhan AIM adalah Saudara Anwar Ibrahim. Menjawat jawatan Menteri Pelajaran pada tahun tersebut, beliau menggerakkan inisiatif dari penyelidikan dan kertas cadangan pasukan Universiti Sains Malaysia (USM) untuk menjadi satu program khas dalam usaha membasmi kemiskinan rakyat.


Hanya anak syarikat

Melihat kepada kejayaan program AIM, maka adalah satu perkara yang pelik apabila timbul ura-ura bahawa organisasi ini akan ditutup. Ia bermula rentetan dari jawapan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Muhammad Hanipa Maidin di Dewan Rakyat baru-baru ini bahawa kononnya kerajaan akan membatalkan badan ini kerana didakwa tidak memenuhi syarat Suratcara Ikatan Amanah terutama dalam penubuhan anak syarikat. 

"Objektif AIM adalah untuk membantu golongan berpendapatan rendah, tapi terdapat salah laku dari pentadbiran terdahulu. Saya juga dapati AIM telah gagal menghantar laporan kewangannya untuk tahun 2015-2016 dan 2016-2017, kata Ahli Parlimen Sepang itu ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir tentang tindakan kerajaan kepada AIM.

Menjelaskan salah faham yang timbul dari jawapan Hanipa tersebut, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AIM Datuk Junaidah Kiting berkata apa yang ditegaskan Hanipa hanya berkaitan anak syarikatnya dan bukannya operasi badan itu secara keseluruhan.

Memandang serius perkara itu, AIM juga telah menyerahkan dokumen dan maklumat berhubung anak syarikatnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Radzi Jidin meminta masyarakat tidak keliru dengan tuduhan pembangkang  bahawa agensi itu akan dibubarkan, sebaliknya ia hanya melibatkan operasi anak syarikatnya.

Jelasnya menurut akta, AIM merupakan entiti yang tidak berorientasikan keuntungan yang tidak seharusnya mempunyai anak syarikat.


Kembalikan peranan

Mahu peranan sebenar AIM dikembalikan, Angkatan Muda KEADILAN (AMK) menyokong sebarang penambahbaikan organisasi tersebut berhubung dakwaan unsur meragukan berhubung syarat penubuhan anak-anak syarikatnya.

Ketua AMK Pusat, Akmal Nasir berkata beliau percaya agensi itu tidak akan ditutup sebaliknya 'dibersihkan' selepas wujud dakwaan berlaku salah laku dalam penubuhan anak syarikatnya ketika pentadbiran lalu.

"AIM banyak berperanan terutamanya dalam membantu orang miskin dalam perniagaan secara kecil-kecilan, dalam bentuk pinjaman mikro kredit. Namun yang menjadi pertikaian apabila terdapat dakwaan jelas bahawa wujud salah guna kuasa di peringkat pentadbiran."

"Apabila dibangkitkan isu sebegini, matlamat kita adalah untuk bersihkan penipuan yang berlaku dalam AIM. Kita nak bersihkan segala kesalahan. Tidak bermakna kita mahu tutup AIM. Sewajarnya kita memberikan tumpuan bagaimana memastikan segala kesalahan ini dibawa ke muka pengadilan," katanya kepada Suara Keadilan. 

Katanya, langkah yang diambil kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) tersebut adalah penting agar objektif asal AIM dapat dikembalikan, dalam usahanya membasmi kemiskinan menerusi kemudahan pembiayaan keusahawanan.


Jangan ulang kesilapan lalu

Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru menasihatkan kerajaan agar tidak mengulangi kesilapan kerajaan terdahulu dengan meletakkan mereka yang berkepentingan politik dalam pengurusan tertinggi.

Sebaliknya, pemilihan Ahli Lembaga mestilah dibuat secara profesional dengan membawa masuk pakar-pakar dalam bidang berkaitan seperti keusahawanan, kewangan, dan mikro kredit.

"AIM ini dari segi pentadbirannya juga ada Lembaga Pemegang Amanah. Sewajarnya mereka yang dalam Lembaga Amanah ini terdiri daripada latar belakang sama ada mikro kredit, kewangan Islam dan mereka yang mahir dalam soal keusahawanan."

"AMK berpendirian tidak wajar mana-mana mereka yang menjadi Ahli Lembaga atau pengurusan hanya sekadar dari latar belakang politik. Kita tidak boleh ulang kesilapan kerajaan lalu yang meletak bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno dalam Ahli Lembaga. Ini yang memberi ruang kepada salah guna kedudukan," tegasnya.


Tukar pengurusan

Sementara itu, Ketua Penerangan KEADILAN, Syed Ibrahim Syed Noh mengesahkan badan yang telah banyak berjasa itu tidak akan ditutup sebaliknya kerajaan sedang memeriksa anak-anak syarikat organisasi tersebut yang didakwa terlibat dengan skandal dan salah guna kuasa sebelum ini.

Jelas Ahli Parlimen Ledang itu, peranan agensi tersebut cukup penting dalam membantu golongan miskin, terutama wanita yang mahu keluar dari kepompong kemiskinan dengan menceburi bidang perusahaan kecil dan sederhana.

"AIM tidak akan ditutup. Dalam Parlimen, di mana saya juga ada sekali, saya dengar jawapan tersebut. Masalahnya ialah berkenaan anak syarikat di bawah AIM yang ditubuhkan itu tanpa peruntukan yang betul. Justeru, syarikat-syarikat berkenaan perlu disemak dan ditutup."

"Kerajaan melihat AIM mempunyai fungsi dan peranan sendiri sepertimana yang telah diasaskan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bantu golongan miskin. Cari jalan supaya AIM dapat berfungsi dengan lebih baik," ujarnya.

Ujarnya lanjut, langkah kerajaan HARAPAN menukar pengurusan tertinggi agensi itu merupakan langkah pertama dalam memastikan agensi itu ditadbir oleh mereka yang profesional dan berintegriti, bebas dari pengaruh politik. 


*Disiar di Suara Keadilan 405

No comments: