Wednesday, December 26, 2018

Parti politik di kampus tak jamin perkasa mahasiswa



Oleh HAIZIR OTHMAN

Ada dua latar menarik untuk diperhatikan sebelum anda mula membaca tulisan ini sehingga habis.

Pertama, satu babak dalam filem Yang Muda, Yang Bercinta (1977) menayangkan penyair frontal Indonesia, WS Rendra mempersembahkan Sajak Pertemuan Mahasiswa dengan penuh bergaya - sambil berlari, dari atas tembok, mengacung tangan ke langit, sebagai menyambut kehadiran para mahasiswa baru Universitas Indonesia, Jakarta pada 1 Disember 1977.

Kedua, aksi unjuk rasa para mahasiswa Universiti Malaya (UM) dan Institut Teknologi Mara (ITM, kini UiTM), Jalan Othman, Petaling Jaya pada tahun 1974 berarak ke bangunan parlimen, dihalang polis, sebelum balik ke kampus hanya untuk membuat rampasan kuasa, malah mengisytihar diri sebagai pengarah ITM dan menduduki pejabat pengarah selama tempoh rampasan kampus itu berjalan.

Latar-latar ini timbul dalam fikiran penulis apabila mendengar saranan dua orang mahasiswa dan seorang pensyarah dalam satu forum baru-baru ini berkisar idealisme mahasiswa.

Lebih-lebih lagi apabila pensyarah tersebut yang juga merupakan bekas aktivis mahasiswa pada zaman mudanya membentang sejarah pergerakan mahasiswa dari seluruh dunia yang berjaya mencetus perubahan besar di negara masing-masing, seperti peristiwa Paris Riot cetusan mahasiswa Universiti Paris pada Mei 1968.

Pinda atau tidak?

Timbul beberapa persoalan sekitar keputusan kerajaan baru-baru ini meminda Rang Undang-undang (RUU) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) di Dewan Rakyat. Ya, langkah tersebut dilihat dari lapis pertama memang baik, harum dengan aroma yang datang dari angin perubahan musim baru pasca 9 Mei 2018.

Menyelak ke lapis seterusnya, di sanalah kita bakal jumpa persoalan-persoalan lain antaranya mengapakah pindaan dibuat bertahap-tahap, mengambil masa sehingga tahun 2020 untuk berlaku sepenuhnya?

Juga, kenapa pindaan yang terlibat hanya dalam Seksyen 15(2)(c), bukan Seksyen 15 dan 16 secara total seperti yang dijanjikan? Untuk rekod, menurut bekas profesor Universiti Sains Malaysia, Dr Wan Manan Wan Muda, yang juga bekas pengerusi Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak), perjanjian asal menteri dalam perjumpaan yang beliau hadiri adalah untuk memansuhkan keseluruhan kedua-dua seksyen itu.



Isu ini dan beberapa hal lain sekitar AUKU, idealisme mahasiswa dan kewajaran penubuhan parti-parti politik di kampus telah dibincangkan dalam satu forum anjuran Gerakan Pembebasan Akademik (GPA) bertempat di dataran Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM) 18 Mei lalu.

Membariskan Dr Wan Manan dan dua orang mahasiswa, Presiden Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (UMANY), Wong Yan Ke dan aktivis pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Adura Husna, forum bertajuk "Parti Politik: Wajarkah di Universiti" itu cuba melihat kesan pindaan seksyen 15(2)(c) yang membolehkan mahasiswa terlibat dalam aktiviti politik kepartian.

Dah lama ada

Rata-rata ahli panel bersetuju bahawa sama ada parti politik dibenarkan di kampus universiti atau tidak, isu yang lebih besar adalah bagaimana memperkasa mahasiswa itu sendiri dengan pendidikan politik.

Malah, sebelum seksyen tersebut dipinda pun, parti-parti politik telah lebih awal bertapak di universiti melalui proksi-proksi mereka lewat persatuan seperti Persatuan Mahasiswa Islam yang dipercayai sebagai sayap Parti Islam Se-Malaysia (Pas), dan kumpulan pro-Aspirasi (yang lahir lebih lewat) yang dikaitkan dengan Umno-BN.

Lebih jauh, di bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) universiti-universiti tempatan, seperti jelas Dr Wan secara sinis, telah berdiri teguh parti Umno selama ini, mengekang pergerakan mahasiswa dengan undang-undang ketat mereka.

Kebenaran menggunakan logo parti secara terang-terangan dilihat hanya untuk mengabsahkan gerak kerja mereka selama ini yang telah mengkader sekian banyak para mahasiswa terutama mahasiswa baru demi masa depan dan kepentingan parti.



Cuma, Pakatan Harapan, seperti jelas Yan Ke, tiada platform mahasiswa mereka sendiri, walaupun dalam perkembangan terbaru, kumpulan pro-Aspirasi telah menukar nama mereka kepada Mahasiswa Harapan - barangkali mengambil pedoman dari abang-abang besar mereka dari parti induk yang sedang giat 'melompat parti'.

Dari sudut sejarah, pada tahun 1960-an telah wujud Parti Sosialis di Universiti Malaya, menunjukkan idea ini bukanlah sesuatu yang baru.

Melihat dari sudut positif, Yan Ke berpandangan, secara prinsipnya, mahasiswa boleh terlibat atau menubuh parti politik di universiti asalkan ia dibuat atas dasar ideologi, tanpa terikat secara total kepada parti induk di luar.

Kuasa TNC terlalu besar

Ini kerana jelasnya, kawalan dan pengaruh luar hanya akan mengikat mahasiswa, dan bertentangan dengan semangat kebebasan yang diperjuangkan dalam idealisme mahasiswa, selain mereka punya suara dan idea sendiri yang perlu dihormati.

Namun Tegas Yan Ke, apa yang lebih menakutkan bukanlah peruntukan itu, tapi kuasa terlalu besar (absolute power) yang diberi kepada Timbalan Naib Canselor lewat seksyen 16, sehingga boleh menghukum mengikut pertimbangan mereka sendiri.

Oleh itu, pindaan AUKU seharusnya menghapuskan terus seksyen 15 dan 16 sesegera mungkin, tanpa perlu menunggu sehingga tahun 2020.

Ini kerana, kata Dr Wan Manan, sifat AUKU itu sendiri mengongkong, maka memansuhkannya harus bersifat pembebasan, bukannya pengawalan seolah-olah mahasiswa itu bodoh dan tidak tahu berfikir.

Dr Wan turut membayangkan setiap universiti hanya perlu ada peraturan sendiri untuk melicinkan pentadbiran tanpa perlu akta di peringkat pusat yang menyekat autonomi dan kebebasan akademik.

Itulah sepatutnya peranan universiti seperti dihuraikan tokoh intelek Amerika Syarikat, Noam Chomsky, untuk memperjuang kebenaran dan keadilan, dan mendedah kepalsuan, juga seperti diungkap Rendra dalam sajaknya yang disebut di awal tulisan ini,

Kita ini dididik untuk memihak yang mana?
Ilmu-ilmu diajarkan di sini
Akan menjadi alat pembebasan
Ataukah akan menjadi alat penindasan?




*Disiarkan di Suara Keadilan 405


No comments: