Oleh HAIZIR OTHMAN. AZAR ISHAK
Berdasarkan dapatan dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) pada 2013, dianggarkan terdapat 40,000 orang di negara ini yang tidak mempunyai kerakyatan.
Manakala, berdasarkan statistik Kementerian Dalam Negeri (KDN) antara tahun 2012 hingga 2017 pula, terdapat 15,394 kanak-kanak yang dilahirkan di Malaysia gagal mendapatkan status kerakyatan meskipun bapa mereka memiliki status sah sebagai warganegara.
Antara punca masalah yang dikenal pasti adalah akibat kelewatan mendaftar kelahiran, ditinggalkan semasa lahir, ibu bapa gagal dijejaki dan kegagalan ibu bapa yang memegang kerakyatan asing mendaftar perkahwinan mereka.
Disebabkan permasalahan ini, kanak-kanak tanpa kerakyatan terus terpinggir dari arus perdana sistem kenegaraan, apatah lagi dinafikan peluang pendidikan.
Sekolah alternatif
Melihat permasalah yang ada, beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) telah mengambil inisiatif memperkenalkan sekolah alternatif kepada kanak-kanak terpinggir ini.
Bezanya sekolah alternatif dengan sekolah kerajaan sedia ada adalah, ia mempunyai sistem pengajaran dan ko-kurikulumnya sendiri.
Bagaimanapun, kekangan masih lagi berbangkit apabila para aktivis terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam menanamkan nilai kepentingan pendidikan.
Berkongsi pandangan tentang hal ini, Shahirah Hamdan dari Akademi Rohingya Malaysia berkata, kebanyakan kanak-kanak pelarian Rohingya tidak memiliki pendidikan formal, malah sifat pendidikan itu sendiri agak terasing daripada mereka.
Katanya, hal ini berkemungkinan disebabkan oleh perjuangan kelangsungan hidup dan status mereka yang dinafikan kerajaan Myanmar.
"Antara cabaran utama saya sebagai guru adalah untuk mengubah mentaliti mereka dalam menerima pendidikan."
"Ini kerana, apabila seseorang pelajar perempuan itu telah datang haid, mereka tidak akan datang lagi ke sekolah. Masyarakat mereka menganggap, perempuan itu telah dewasa dan tidak boleh lagi keluar rumah sesuka hati."
"Perkara ini 'taboo' bagi mereka, dan mentaliti ini perlu diubah. Jika tidak, mereka ini akan ketinggalan dan kebanyakan pelajar wanita ini akan berkahwin pada usia yang sangat muda," katanya dalam forum Edtalk, Sekolah Alternatif: Apa dan Kenapa? anjuran Teach For The Needs (TFTN) di Kuala Lumpur baru-baru ini.
800 ribu tiada dokumen
Jika itu yang dihadapi oleh masyarakat pelarian di negara ini, nampaknya isu kanak-kanak tanpa dokumen di Sabah lebih lagi membimbangkan.
Ini kerana, pengasas Sekolah Jalanan Ikatan Anak Muda Tawau, Mukmin Nantang mendedahkan, bilangan kanak-kanak terpinggir tanpa kerakyatan dan tanpa dokumen di Sabah tidak terbilang jumlahnya, dengan anggaran keseluruhan golongan (kanak-kanak dan dewasa) mencecah 800 ribu orang.
Katanya, isu itu semakin membimbangkan apabila kanak-kanak tanpa pendidikan ini terdedah dengan pelbagai ancaman, seperti gejala sosial, eksploitasi, kemiskinan dan sebagainya.
"Fokus kami di sekolah alternatif adalah meminimakan golongan buta huruf, iaitu bagi memastikan anak-anak ini sekurang-kurangnya dapat membaca dan menulis.
"Tetapi selepas itu, kami juga terfikir tentang masa depan anak-anak ini. Maka, kami perkenalkan kelas kemahiran seperti menjahit, mencetak baju dan sebagainya."
"Sekurang-kurangnya mereka dapat kemahiran yang boleh dimanfaatkan," katanya di forum tersebut.
Buruh kanak-kanak
Sementara itu, pada November lalu, Kementerian Pendidikan mengumumkan bahawa kanak-kanak tanpa status kewarganegaraan akan dibenarkan mendaftar masuk ke sekolah-sekolah kerajaan bermula tahun hadapan.
Menterinya, Dr Maszlee Malik turut memberi jaminan bahawa inisiatif itu tidak akan menjejaskan peluang dan kemudahan persekolahan murid tempatan di seluruh negara.
Mengulas perkara tersebut, Mukmin membayangkan keputusan kementerian itu sebagai agak samar dan menimbulkan persoalan.
Ini kerana, adalah pihak kerajaan telah menjalankan analisis secukupnyua sebelum keputusan itu dibuat?
"Kami sebenarnya agak risau adakah analisis kementerian itu menyeluruh, atau ia hanya terhad di Semenanjung sahaja."
"Cuba kita bayangkan, terdapat 800 ribu orang tanpa dokumen berada di Sabah. Adakah cukup sekolah-sekolah dan guru-guru di Sabah ini untuk menampung anak-anak ini di sekolah kerajaan?" soalnya.
Gaji RM300 sebulan
Oleh itu bagi Mukmin, masalah tentang kanak-kanak tanpa dokumen di Sabah perlu diselesaikan terlebih dahulu oleh kerajaan sebelum langkah-langkah yang lebih ke hadapan diambil.
Hal demikian kerana, kanak-kanak tanpa dokumen sering kali dieksploitasi, sehingga ada di kalangan mereka yang menjadi buruh kanak-kanak.
Mengambil contoh pengalamannya sendiri, seorang bekas anak muridnya hanya diberikan gaji sebanyak RM300 sebulan gara-gara tidak mempunyai dokumen.
"Sehingga ini tidak ada sistem dan perundangan yang membela mereka. Saya cadangkan berikan mereka ini dokumen kelahiran dahulu, sama ada bila boleh diterima menjadi warganegara, itu terpulang pada sistem kerajaan," katanya.
Oleh itu, beliau berharap pihak kerajaan mengambil pendekatan jelas berkenaan dengan isu ini supaya integriti kerajaan tidak terjejas.
"Pendidikan sangat penting dan pihak pemerintah perlu melihatnya sehingga ke peringkat akar. Kini nampaknya NGO yang melakukan tugas pemerintah, pemerintah perlu sedar dan turun ke bawah," tegasnya.
*Disiar di Suara Keadilan 405



No comments:
Post a Comment