Wednesday, December 19, 2018

Dari pentas lakonan ke dunia politik

Jika pernah menonton drama bersiri Gol & Gincu sekitar 2006, mungkin anda pernah melihat lakonan anak muda ini bersama-sama pelakon terkenal lain seperti Nur Fazura, Ashraff Sinclair, Pierre Andre dan lain-lain. Siapa sangka dua belas tahun kemudian, pemegang watak Irwan itu menjadi Ahli Parlimen Lembah Pantai setelah menceburi bidang politik lewat Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yang dianggotainya. Fahmi Fadzil, walaubagaimanapun punya kesedaran politik jauh lebih awal, apabila peristiwa Reformasi 1998 mendorong beliau dan anak-anak muda lain untuk membuat perubahan demi Malaysia yang lebih baik. Ikuti wawancara sub-editor Suara Keadilan, Haizir Othman, dan wartawan, Ainor Maziyyah dengan beliau di Parlimen Malaysia baru-baru ini.


SK: Sebelum ini YB terlibat sebagai aktivis seni, teater dan sebagainya. Apa yang mendorong YB dalam untuk kekal dalam politik sampai hari ini? 

Fahmi: Sebenarnya bidang seni yang saya libatkan diri dulu memang berpaksikan isu-isu keadilan, mempertahankan hak 

dan mengangkat martabat rakyat. Banyak persembahan teater saya yang awal sekitar 1999-2000 memang bercerita tentang masalah derita rakyat. Isu memperjuangkan nasib rakyat memang dekat di hati. Dalam persembahan yang saya usahakan, tidak lari daripada isu tersebut. Sebenarnya, saya terlibat dalam bidang politik sebab mahu mempertahankan rakan-rakan dalam bidang seni. Saya nampak ramai yang bergiat dalam bidang seni, mereka juga kebiasaannya aktivis hak asasi manusia. 

Pada tahun 2004, saya pernah terlibat dengan rakan-rakan untuk menghantar satu memorandum membantah kematian dalam tahanan. Dari situ, saya mula kenal Tian Chua, Latheefa Koya, Elizabeth Wong, dan Dr Xavier. Kami ditangkap sekali pada waktu itu. Pada waktu itu ramai kawan-kawan dalam bidang seni prihatin dengan apa yang berlaku dalam dunia politik dan sosial. Sebab saya selalu berkecimpung dalam isu-isu politik dan sosial, maka saya tidak lihat dua dunia ini terlalu berbeza sebaliknya saling bantu-membantu. Ini kerana seni itu politik, politik itu memerlukan seni.


SK: Di negara-negara seperti Amerika Syarikat dan India, ada para pelakon yang menceburi bidang politik seperti Ronald Reagan, Arnold Schwarzenegger, MGR dan lain-lain, tapi menjadikan ia sebagai stesen terakhir kerjaya mereka. Adakah YB akan mencontohi mereka atau akan kembali ke dunia seni selepas politik?

Fahmi: Saya masih muda, tidak tahu lagi masa depan bagaimana, tapi saya nampak apa yang saya sedang usahakan sebagai seorang wakil rakyat pada waktu ini, Insya-Allah dapat menjana kebaikan kepada warga Lembah Pantai, khususnya dan Kuala Lumpur, amnya. Kalau pada masa depan pengundi boleh terima saya, maka saya teruskan. Tapi kalau tiba saat saya rasakan yang mungkin saya perlu usahakan perkara lain, saya akan usahakan yang lain. Namun, pada waktu ini, inilah bidangnya. Saya rasa ini bidang paling mendatangkan kepuasan, sebab sebelum ini nampak banyak masalah, dan kini beransur-ansur diselesaikan. 

Saya bernasib baik menjadi wakil rakyat pada ketika Pakatan Harapan membentuk kerajaan. Berbeza dengan sebelum ini ketika YB Nurul Izzah jadi Ahli Parlimen selama dua penggal, cukup sukar buat perubahan. 


SK: Di negeri lain ada sistem Dewan Undangan Negeri, exco, malah punya belanjawan sendiri, tapi tidak di Kuala Lumpur. Adakah ini satu kekurangan?

Fahmi: Memang tidak boleh dinafikan. Kalau dilihat dari segi peruntukan, Ahli Parlimen di Selangor contohnya, mereka ada dua atau kadang-kadang tiga-empat ADUN. Di bawahnya ada Ahli-Ahli Majlis, PBT, Datuk Bandar. Di peringkat negeri pula ada Menteri Besar. Di peringkat setempat ada Yang di Pertua. Kami di Kuala Lumpur berbeza, namun saya tidak nampak ini sebagai kekurangan. Saya nampak ini peluang kita buktikan dengan sumber yang ada, kita boleh usahakan dengan lebih baik penggunaan wang rakyat untuk menyelesaikan masalah.

Bagi saya, pada akhirnya, kita tetap berkhidmat. Akan ada penyelesaian yang menelan belanja, atau guna kos rendah secara efisyen. Dengan latar belakang saya sebagai seorang jurutera kimia, saya nampak bentuk penyelesaian begini. Setakat ini kerjasama DBKL amat baik, banyak yang telah mula diusahakan. Namun masa tujuh bulan ini belum mencukupi. Ini kerana masalah sebenar berkait dengan perancangan pembangunan. Perancangan pembangunan sebelum ini seperti tidak wujud kerana belum ada Pelan Bandaraya Kuala Lumpur, yang hanya diwartakan baru-baru ini. Senarionya berbeza.


SK: Kuala Lumpur walaupun banyak bangunan pencakar langit, namun masih ada masyarakat miskin dan gelandangan. Ada golongan terlalu kaya dan terlalu miskin, seperti antara dua darjat. Bagaimana YB melihat situasi ini?

Fahmi: Ia adalah masalah kesenjangan dari segi pendapatan, juga berkait dengan realiti kehidupan kota hari ini. Bagi ramai warga, KL dianggap tempat mencari peluang. Masalahnya, peluang ini tidak terbuka kepada semua. Antara masalahnya adalah dari segi akses pendidikan yang baik, peluang pekerjaan, dan perumahan. Pada masa sama, kita perlu usahakan sesuatu untuk pastikan golongan miskin bandar tidak kekal miskin.

Kita lihat kalau mereka yang lahir di PPR, membesar di PPR, kebarangkaliannya sangat tinggi untuk dia terus kekal di PPR dan mungkin meninggal dunia di PPR. Maksudnya kalau lahir miskin, mungkin mati juga miskin, walaupun tidak semua yang tinggal di PPR ini miskin.  Kebiasaannya kita tidak nampak mobiliti sosial, keupayaan untuk mengangkat ekonomi warga kota. Ini adalah masalah struktur, dasar, masalah yang mendalam, yang hanya dapat diselesaikan dengan reformasi struktur. 

Struktur ini tidak bererti dari segi Dasar Ekonomi Baru (DEB), atau seumpamanya, sebaliknya pendidikan. Sekarang pendidikan dilihat di atas kertas ijazah sahaja, bukan membina insan berkebolehan yang boleh hadapi perubahan zaman. Tatkala kita menghadapi masalah kesenjangan dan jurang kemiskinan yang melebar, sebenarnya kita juga dilanda satu perubahan besar 'the great disruption' yang berlaku akibat dari revolusi industri 4.0.

Kita lihat kawan-kawan dalam bidang penerbitan, contohnya yang bekerja dengan Utusan, TV3, bidang percetakan malah media, ini antara yang paling awal menerima kesannya. 

Malaysia berteraskan ekonomi pertanian, pengeksportan, industri utama kelapa sawit, getah dan sebagainya. Apabila ada tekanan dari Eropah contohnya, tentang cara kita mengendalikan isu-isu alam sekitar, kononnya kita tebang hutan sehingga menjejas populasi Orang Utan dan sebagainya, ia jadi propaganda mereka untuk mengekang dan menghalang pengeksportan minyak sawit.

Wujud tekanan dari luar, dalam sistem kita sendiri, di mana orang melihat pendidikan itu hanya sebagai pendidikan dapat ijazah. Kita belum lagi mencapai tahap di mana kita membina insan yang 'adaptive' yang berupaya menghadapi perubahan zaman. Inilah yang  disebut Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir apabila beliau minta Menteri Pendidikan untuk merombak kurikulum bukan sahaja dari segi warna kasut dan stokin. Dasar pendidikan itu yang perlu diberikan penekanan. 


SK: Tentang kesenjangan ekonomi, perbezaan taraf hidup antara miskin dan kaya. Di sesetengah negara Eropah, mereka tidak bezakan penempatan orang miskin dengan orang kaya, sebaliknya tinggal dalam satu kawasan perumahan yang sama, boleh bergaul sesama mereka. Adakah kita mampu menuju ke arah itu? 

Fahmi: Sebenarnya dulu kita pernah. Saya bagi contoh di kawasan Lembah Pantai dekat kawasan Bangsar, khususnya di Lucky Garden. Kalau kita lihat di situ, kita ada rumah banglo di kawasan Jalan Taban, rumah semi-D di Tempinis dan kita ada rumah teres satu tingkat di kawasan Jalan Chenderai. 

Di tengah-tengah tempat ini ada pusat ekonomi. Di situlah kedai, pasar pagi. Maka dulu pada tahun 70 dan 80-an pelbagai lapisan masyarakat boleh bertemu di pusat bandar. Tapi, itulah masalah apabila kita tidak berikan perhatian kepada pembangunan lestari dan perancangan pembangunan. 

Sekarang ini, apabila kita beri tumpuan kepada bangunan pencakar langit, atau kondominium apartment yang mencecah 30-40 tingkat, masalahnya adalah - kebarangkalian sangat tinggi untuk mereka yang tinggal di sana adalah dari kelas yang sama dan tidak ada interaksi dengan golongan lain. Sukar untuk mereka bertemu dengan orang dari latar belakang ekonomi dan sosial yang berbeza. 

Dulu tidak macam itu. Kalau kita lihat Petaling Jaya, Damansara Utama, Bangsar, dulu kita boleh jumpa Melayu, Cina, India. Tidak ada masalah. Itu sebenarnya satu falsafah yang kita perlu terapkan dalam proses perancangan bandar dan hala tuju pembangunan. Kita pernah lakukannya.

Kita perlu beri dorongan kepada kumpulan yang berbeza untuk sama-sama berusaha terutama pemaju. Kita perlu beri insentif kepada pemaju untuk memastikan pembangunan itu nanti mewujudkan kepelbagaian bukan dari satu kelompok saja. Itu yang jadi masalah kita nanti.

Sebab kita nampak di sekolah-sekolah ramai yang berkata kita ada 'two track'. Kalau kamu dalam landasan ini, nanti kamu dalam landasan ini sajalah. Dengan kumpulan atau etnik itu saja. Tidak ada pertemuan. Banyak yang kita perlu reformasikan bukan saja perancangan bandar malah perancangan pendidikan, ekonomi, dan sosial. 


SK: Sebelum berlakunya perubahan pada 9 Mei dulu, perancangan di KL dilihat tidak lestari. Bagaimana membersihkan kes-kes seperti di Taman Rimba Kiara, Institut Kesihatan Umum, di Bukit Persekutuan dan lain-lain?

Fahmi: Memang saya lihat ini satu masalah besar. Apabila kita wartakan Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020, seakan kita telah mengepung diri kita sendiri. Diri kita itu maksudnya perancang bandar atau wakil rakyat.

Kita telah terkena 'jerangkap samar' kita sendiri, boleh kata begitu. Namun saya percaya kita boleh usahakan sesuatu. Saya selalu sebut pandangan Dr Mahathir yang saya anggap menarik, iaitu jika semua orang tidak dapat semua yang dia mahukan, tetapi setiap pihak ada terima manfaat. Ada keadilan untuk semua. Prinsip yang saya pegang, apabila wujud pertembungan kehendak, keadilan itu yang perlu diterjemahkan.

Di Kuala Lumpur, apabila perubahan berlaku, kita mampu buat sesuatu yang besar. Sama ada Taman Rimba Kiara atau di mana-mana, kebanyakannya berkait dengan isu tanah. Saya bagi contoh, saya telah lama dalam kempen perjuangkan nama Kerinchi yang jadi identiti Kampung Kerinchi. Ini satu perkara yang sangat dekat di hati saya.

Mudah untuk kita keluarkan satu arahan - Bangsar South tukar semula nama kepada Kampung Kerinchi. Pada masa sama, saya lihat di pihak pemaju, juga mereka yang menduduki bangunan-bangunan yang dikenali sebagai Bangsar South itu pun punyai hak. Penduduk asal dan tinggal selama bergenerasi di situ juga mempunyai hak. Bagaimana kita nak merungkai masalah ini? Di situ saya nampak mungkin sebagai orang seni, saya boleh nampak satu jalan kreatif untuk selesaikan. 

Sama seperti Lucky Garden, Bangsar Baru, Bukit Bandaraya, Bangsar Utama atau Taman Weng Lock, ini semua dalam kawasan Bangsar. Jadi tidak ada masalah, kalau di Bangsar kita sudah amalkan begitu. Di kawasan yang kita kenali sebagai Bangsar South sebenarnya Vista Angkasa, KL Gateway, Bangsar South. Taman Bukit Angkasa, Pantai Hillpark, PPR Kerinchi semua dalam wilayah Kampung Kerinchi. Jadi, situasi menang-menang. Itu yang saya nampak bila saya bincang dengan semua. 

Masalah dulu, rakyat tidak nampak kerajaan sebagai pihak yang mendengar suara semua pihak. Sekarang ini yang kita cuba amalkan, dalam kita menjadi pentadbir, kerajaan yang menjaga, mengawal, menyelia, menyelenggara, mengusahakan kemajuan di Kuala Lumpur, kira mencari titik tengah. 

Kita sering melihat penyelesaian bersifat pentadbiran, birokratik atau perundangan. Tapi sebenarnya kita ada penyelesaian politik. Penyelesaian politik inilah yang kita gunakan apabila penyelesaian birokratik, pentadbiran atau perundangan tidak dapat dicapai. Politik memberi kita ruang untuk menyelesaikan masalah secara kreatif. Sebab itu saya beri contoh nama Kerinchi tadi.

Akhirnya, mereka yang membangunkan Bangsar South pun rasa boleh terima, penduduk pun nampak boleh terima. Alhamdulillah kita dapat penyelesaian yang memberikan keadilan kepada semua pihak.


Ku Nan akan diadili

Berjaya menguasai kerusi-kerusi parlimen Wilayah Persekutuan, Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak mengambil masa lama untuk membetulkan kesilapan pentadbiran terdahulu, terutamanya melibatkan penyelewengan tanah di Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP). 

Ditanya apa tindakan bakal diambil kepada bekas Menteri Wilayah, Tengku Adnan Mansor atas kes-kes tersebut, Fahmi walaubagaimanapun mahu beliau berdepan undang-undang dan keadilan.

"Tengku Adnan telah dihadapkan ke mahkamah dan kita sedang tunggu proses perundangan itu berjalan, tidak ada masalah. Apa yang telah beliau, Yayasan Wilayah lakukan sebelum ini, kita ambil perhatian." 

"Tapi pada masa sama, kita tidak berniat membalas dendam. Yang kita nak adalah keadilan," katanya.

Ahli-ahli parlimen Kuala Lumpur seperti Hannah Yeoh (Segambut), Lim Lip Eng (Kepong) telah melapor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan skandal tanah sebelum ini, dan jelas Fahmi, beliau juga akan berbuat hal yang sama.


Reformasi DBKL

Asas kepada laporan tersebut adalah pelanggaran Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 di setiap kawasan di mana setiap ahli parlimen dibekalkan dengan senarai pelanggaran yang berlaku.

Mengakui proses tersebut sedang berjalan, malah mantan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mohd Amin Nordin juga pada bulan-bulan pertama pentadbiran HARAPAN telah memberi kerjasama yang baik kepada SPRM atas siasatan terhadap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Fahmi tidak mahu proses keadilan yang berlaku dibuat untuk membalas dendam.

"Reformasi tidak bererti menghumban semua ke dalam penjara. Kalau ditanya falsafahnya, saya boleh kata seorang reformis itu tidak melihat seseorang individu itu baik atau jahat."

"Kita beri penekanan kepada keadilan, bukan berdendam dengan DBKL. Pada masa sama, kita tak mahu zalimi penduduk terutama miskin bandar. Jadi kita perlu lihat apa sebenarnya semangat reformasi," kata beliau.

Jelasnya, sebagai reformis, beliau melihat DBKL sedang melalui proses reformasi dalaman dan ini sangat penting terutamanya bagi generasi masa depan yang akan menuai hasil tuaian musim reformasi 10-20 tahun akan datang.


Gabung agensi seni bawah satu bumbung

Sebagai anak seni, sudah tentu aspek ini amat dekat di hati Fahmi. Melihatnya dari kaca mata penggubal dasar kini, Fahmi berpandangan agensi-agensi yang terlibat dalam proses penghasilan produk seni seperti Finas, Cendana, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Aswara dan lain-lain sepatutnya diletakkan di bawah satu kementerian iaitu Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.

Menurutnya, penggabungan ini bakal memudahkan penyelarasan memandangkan sebelum ini para penggiat seni dan budaya termasuk pembikin filem, penulis buku dan lain-lain semuanya terpisah di bawah kementerian-kementerian berbeza, menyebabkan tidak wujud komunikasi antara mereka.

"Kementerian Pelancongan Kesenian dan Kebudayaan perlu mempunyai satu dasar menyeluruh, bukan melihat hanya kepada aspek pelancongan, tetapi menghasilkan produk seni dan kebudayaan yang mampan," katanya.

Selain itu, jelasnya langkah ini berupaya melonjak kebolehpasaran produk seni dan meningkatkan nilainya dari segi ekonomi.

Beliau yang sebelum ini lantang mengkritik penyelewengan pentadbiran lalu dalam penyaluran dana seni Cendana mahu geran nasional tersebut diberi seadilnya kepada para pengkarya dan penggiat seni yang layak dari seluruh negara.


*Disiar di Suara Keadilan 404

No comments: