Wednesday, December 19, 2018

Quo vadis, Malaysia?: Melihat kembali Debat Kebudayaan



Oleh HAIZIR OTHMAN

Antara manfaat besar dari perubahan politik yang berlaku pada tanggal 9 Mei lalu ialah peluang lebih terbuka rakyat untuk mendengar pandangan-pandangan yang sebelum ini dianggap tabu dalam masyarakat.

Walhal, dalam menuju negara maju, rakyatnya harus terbuka dan terdedah dengan pelbagai idea dari dalam mahupun di luar lingkungan mereka dan berani menerima perbezaan-perbezaan demi memperkaya khazanah ilmu bangsa.

Bertempat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 11 Disember lalu, sekumpulan anak muda atas nama Kawah Buku, dan Diskopi, atas semangat mengisi ruang awam dengan idea-idea pencerahan untuk bangsa, telah menganjurkan program Sekolah Malam, dengan mengundang tokoh politik veteran, Saudara Lim Kit Siang di pentas utamanya.

Menariknya, program itu cuba mengimbau acara serupa, Debat Kebudayaan antara Lim Kit Siang, mewakili DAP dengan tokoh akademik tersohor, Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas, mewakili Gerakan yang dijalankan lima puluh tahun lalu di Auditorium MARA.

Cuma pada malam itu penganjur tidak membawa Syed Muhammad Naquib al-Attas sama, namun suara bekas pemimpin parti Gerakan itu kuat digemakan anak didiknya, lulusan Sarjana dari University of London, Wan Ahmad Fayhsal yang juga merupakan pemimpin muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Gagasan kebudayaan nasional

Debat Kebudayaan pertama kali dianjurkan pada November 1968 antara dua tokoh ini, dikatakan punya kaitan dengan pembentukan Dasar Kebudayaan Kebangsaan tiga tahun selepasnya, malah penubuhan UKM sendiri pada tahun 1970.

Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) yang ditubuhkan sembilan bulan sebelum debat berlangsung oleh tokoh pelbagai bangsa; Prof Dr Syed Husin al-Attas, Dr Lim Chong Eu, V. Veerapan dan lain-lain, menawarkan satu gagasan kebudayaan kebangsaan yang belum dicadangkan sesiapa secara tuntas dalam sebuah negara muda yang baru berusia sebelas tahun pada ketika itu.



Apa yang dicadang Gerakan? Mereka menawar satu gagasan kesusasteraan nasional yang menurutnya perlu diungkapkan dalam bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu, idea yang selari dengan ketetapan UNESCO bahawa karya sastera sesuatu bangsa itu adalah dalam bahasa bangsa tersebut.

Gagasan yang diangkat oleh Prof Dr Syed Naquib al-Attas ini diterima pemimpin Gerakan lain dari pelbagai bangsa; satu kerja yang tidak mampu dilakukan oleh Perikatan dan Barisan Nasional, malah oleh Pakatan Harapan sendiri pada hari ini yang masih tidak punya satu dasar kebudayaan yang jelas.

Polemik ini kemudiannya dibawa ke pentas debat terbuka apabila ia dicabar seorang pemimpin muda dari DAP, Lim Kit Siang. Menurut Kit Siang, kesusasteraan kebangsaan perlulah memasukkan sama karya-karya yang ditulis dalam bahasa orang Cina dan India yang turut merupakan penduduk negara ini.

Masih berdebat

Lima puluh tahun selepas debat bersejarah itu berlangsung, sayangnya kita masih dalam mod berdebat dan mencari-cari makna sebenar kebudayaan kebangsaan dalam negara berbilang bangsa ini.

Tekal dengan idea bernuansa Malaysian Malaysia, Lim Kit Siang malam itu menunjukkan buku Who Lives if Malaysia Dies?, terbitan DAP pada tahun 1969, mengumpulkan koleksi ucapan pemimpin-pemimpin parti itu seperti C.V. Devan Nair, Lim Kit Siang, Nor Jetty, Goh Hock Guan, Chen Man Hin dan lain-lain.

Isi perbahasan Lim Kit Siang dalam debat dengan al-Attas turut termuat dalam buku yang mengandungi dokumen-dokumen asas DAP itu.

Bagi beliau, jelas, semua penduduk di negara ini tidak kira bangsa, agama, keturunan dan lain-lain parameter sosial mempunyai hak yang sama tanpa ada satu kumpulan tertentu mempunyai kelebihan ke atas kumpulan lain.

Pendapat ini dijelaskan lagi malam itu seperti katanya, "Bukan terikat kepada satu kaum, bahasa, atau agama. Tak kira apa kaum, kita cinta dan taat setia kepada Malaysia."

Budaya penakrif

Punya pandangan berbeza dan mendukung premis yang dibawa al-Attas lima puluh tahun lalu, Wan Ahmad Fayhsal mengutarakan hujah bahawa perlu ada satu budaya penakrif (core culture) di kalangan budaya yang pelbagai itu untuk mentadbir dan menyatukan bangsa-bangsa dari seluruh dunia ini, terutama selepas kita dijajah kuasa Barat.

Fayhsal membangkitkan persoalan di manakah kedudukan budaya dan bahasa Melayu, adakah setaraf tiga atau empat bahasa utama lain di negara ini atau ia "the first among equals" (primus inter pares) yang jadi pengikat kepada budaya dan bahasa-bahasa lain yang ada.

Jelasnya, sentimen ini wujud di kalangan pemikir dan sarjana Melayu seperti Zaaba dan lain-lain kerana tertubuhnya negara bangsa Tanah Melayu pada tahun 1957 itu adalah satu kesinambungan dari peradaban Melayu yang tidak pernah putus dari segi legitimasinya.

"Sejarah pembebasan negara ini daripada penjajahan adalah kerana wujudnya satu institusi bernama Raja-raja Melayu, yang mula diinstitusikan sebagai satu badan politik kolektif bernama Durbar."

"Majlis Raja-raja Melayu itu bermula lebih awal daripada Persekutuan Tanah Melayu itu sendiri. Jadi dari mana bermula punca kuasa perlembagaan persekutuan itu? Ini yang difahami para sarjana, dari raja-raja Melayu," jelasnya.

Legitimasi sejarah

Jelasnya, pembinaan Malaysia sebagai sebuah negara bangsa bertamadun tidak boleh lari dari legitimasi sejarah, budaya dan bahasa Melayu sebagai nilai-nilai asas atau budaya penakrif.

Apa yang mungkin memecahkan kita adalah angkara jolokan orientalis Belanda dan Inggeris yang antara lain memberi gambaran salah kepada Islam yang datang ke Alam Melayu sebagai "kulit" semata-mata sebaliknya mengungkit Hindu-Buddha sebagai asal-usul Melayu, padahal terbukti yang menjadikan bangsa Melayu hebat dalam ketamadunannya adalah kerana Islam.

Mengakui dirinya nasionalis Melayu, Fayhsal walaubagaimanapun mahu memandang ke depan dan tidak mahu melihat Malaysian Malaysia secara negatif kerana Melaka sendiri adalah kota kosmopolitan yang telah berinteraksi dengan tamadun-tamadun besar termasuk Cina, India, dan Barat.

Menegaskan bahasa Melayu sepatutnya dijadikan bahasa perpaduan semua bangsa di Malaysia, beliau tetap mahu sebarang perbezaan diraikan dan diiktiraf malah dijadikan sumber kekuatan membangunkan negara ini.

Pada masa sama, ada ruang tertentu di mana kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju, dan pada ruang tertentu pula kita hidup bersama-sama dengan aman damai secara muhibah.



*Disiarkan di Suara Keadilan 404

No comments: