Wednesday, December 19, 2018

Isu loji bumi nadir Lynas: Antara sentimen pekerja, alam sekitar, dan ‘sandiwara’


Oleh HAIZIR OTHMAN, SYAZWANI SUFIAN


Langkah tegas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin meminta syarikat perlombongan dari Australia, Lynas Corporation membawa keluar sisa loji syarikat itu menunjukkan kesungguhan Pakatan Harapan menangani isu alam sekitar di negara ini.

Ia hadir beberapa bulan selepas Malaysia menyaksikan perubahan politik pada tanggal 9 Mei lalu, peristiwa yang turut menyaksikan buat kali pertama keputusan kerajaan bakal tidak menyenangkan syarikat asing yang beribu pejabat di Gebeng, Kuantan itu.

Bee Yin yang baru-baru ini diangkat syarikat media berorientasi alam sekitar, Eco-Business sebagai "tujuh individu yang mempertahankan planet Bumi pada tahun 2018" itu mempertahankan keputusannya mahu Lynas menepati janji mereka membuang bahan radioaktif keluar, walau berdepan kemungkinan disaman syarikat perlombongan bumi nadir tersebut.

Sejak ia mula beroperasi beberapa tahun lalu, rakyat telah didedahkan tentang bahayanya kewujudan bahan radioaktif di kilang Lynas di Gebeng bagi menghasilkan komponen peralatan elektronik.

Walaupun dinyatakan peralatan elektronik yang terhasil daripada penggunaan nadir bumi adalah lebih baik dan efisyen berbanding komponen yang dihasilkan menggunakan bahan tiruan, namun perlu diingat bahawa sisa buangan radioaktif yang terhasil daripadanya adalah milik Malaysia dan tidak akan diterima balik oleh negara pengusahanya sendiri, Australia.


Jangan ulang insiden Bukit Merah

Dan sisa radioaktif inilah yang jadi isu utama dan diperdebatkan sehingga hari ini. Hal ini kerana kilang itu dipercayai mempunyai bahan radioaktif yang boleh memudaratkan bukan sahaja persekitaran, malahan kesihatan penduduk kerana lokasinya yang terlalu dekat dengan kawasan kediaman.

Ditakdirkan berlaku hanya satu insiden buruk melibatkan sisa radioaktif, ia cukup untuk jadi bencana kepada penduduk di sana. Kita tidak mahu sejarah Bukit Merah berulang apabila kilang memproses bahan radioaktif telah menyebabkan penduduk di sana menghidap penyakit leukimia dan pelbagai masalah kesihatan lain, lebih 30 tahun lalu.

Kejadian tersebut berlaku pada tahun 1987 apabila kilang Mitsubishi Chemicals dari Jepun membuka loji penapis bumi nadir di sana, dan walaupun ia sudah ditutup, peninggalan toksiknya masih wujud.

Penduduk setempat menderita masalah kesihatan seperti batuk dan demam yang kerap, malah melarat sehingga ada yang mendapat penyakit leukimia, kematian bayi, penyakit sejak lahir dan keracunan plumbum.

Lynas yang dijangka memberi impak negatif serupa kepada rakyat perlu membawa keluar sisa radioaktif mereka, atau berdepan kemungkinan terpaksa menghentikan operasi mereka di sini. 


Kebajikan pekerja tanggungjawab Lynas

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh menegaskan syarikat Lynas perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap risiko pekerja mereka hilang sumber pekerjaan sekiranya operasi syarikat itu ditutup.

Hal ini kerana sejak bertahun-tahun syarikat itu mempertahankan dakwaan bahawa perjalanan operasi mereka selamat kepada pekerja dan penduduk sekitar.

Fuziah berkata kerajaan sememangnya mengambil berat mengenai kebajikan pekerja Lynas namun orang ramai perlu melihat aspek yang lebih besar khususnya dalam isu keselamatan rakyat Kuantan yang bilangannya mencecah ratusan ribu.

"Mereka (Lynas) sendiri tidak menjaga sisa pembuangan bahan tercemar, maka seharusnya mereka yang bertanggungjawab."

"Kita memang mengambil berat sebab itu saya memperjuangkan isu Lynas ini sejak sebelum kita menjadi kerajaan kerana kita melihat impak yang lebih besar terhadap penduduk di sekitarnya," katanya yang telah mengangkat isu ini sejak 2008 lagi.

Baru-baru ini, kira-kira 130 orang kakitangan Lynas Malaysia berhimpun berhampiran pintu masuk utama Parlimen bagi menyerahkan memorandum kepada kerajaan dengan harapan operasi syarikat itu dapat diteruskan.


Cukai tak bayar

Pada masa sama Fuziah juga menolak dakwaan bahawa syarikat itu telah melonjakkan lagi ekonomi negeri Pahang, khususnya dan  Malaysia, amnya.

"Mereka (Lynas) tidak membayar cukai kerana mereka dapat 'tax free' selama 12 tahun (dari kerajaan lalu), jadi mereka tidak menjana ekonomi negara."

"Mereka hanya memberi peluang pekerjaan kepada 635 orang. Tetapi kita perlu sedar mereka mengacam lebih ramai nyawa dari sudut kesihatan dan jangka masa panjang."

"Selain itu ramai juga antara mereka yang bekerja di Gebeng dan terdedah kepada udara dan pencemaran dari segi debu dan radiasi yang datang dari kilang, ini juga mustahak," tegasnya.

Fuziah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menyatakan ancaman sisa radioaktif dari loji itu kepada alam sekitar bukan sahaja boleh menjejaskan sektor perikanan di Kuantan, malah sektor pelancongan di Cherating.

Bukan itu sahaja, perkembangan ini boleh menyebabkan pelabur baru dari luar tidak akan berminat untuk melabur di Kuantan dan lokasi sekitarnya.


Lynas main 'sandiwara' 

Berhubung sentimen pekerja-pekerja Lynas yang meminta kerajaan bersikap adil kepada mereka, penjelasan Yeo Bee Yin membayangkan bahawa yang perlu bersikap adil terlebih dahulu adalah majikan mereka sendiri.

Dalam surat terbukanya kepada warga Lynas, Bee Yin mengingatkan pengurusan syarikat itu yang telah dua kali berjanji untuk mengeluarkan sisa toksik mereka dari Malaysia, namun ia masih di sana, tersimpan di tapak penstoran sementara dengan kaedah pengambusan tanah secara terbuka.

Ahli Parlimen Bakri itu turut mendedahkan laporan Australian Financial Review betapa kos kepada Lynas untuk membawa keluar sisa toksik hanya AUD14 juta kerana sebahagian besar kosnya, AUD 46 juta boleh dituntut melalui insurans mereka. 

Berbanding dengan untung syarikat tersebut bagi tahun 2017-2018 yang mencecah AUD129 juta, ini merupakan hanya 10 peratus daripada untung Lynas, untuk menghantar balik sisa yang terkumpul dalam enam tahun operasi.

Bee Yin juga nyata kurang senang dengan 'sandiwara' Lynas di dada-dada akhbar lewat iklan berbayar serta sidang media untuk memberikan gambaran negatif terhadap Kementerian tetapi hakikatnya mereka hanya mahu menjaga keuntungan syarikat dengan tidak memenuhi komitmen mereka sendiri.

"Sesungguhnya saya tidak meminta lebih dari apa yang telah dijanjikan oleh majikan tuan-tuan dan puan-puan pada 2012. Maka menjadi harapan saya Lynas Malaysia menunaikan janji mereka secara ikhlas dan bersungguh-sungguh dengan memulakan proses penghantaran keluar residu WLP dari Malaysia," jelas Bee Yin.


*Disiar di Suara Keadilan 404

No comments: