Wednesday, December 26, 2018

Belum masanya naik tarif air!


Oleh HAIZIR OTHMAN, SYAZWANI SUFIAN


Dalam keadaan ekonomi negara pada ketika ini masih tidak stabil, kenaikan tarif air seperti yang diumumkan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli baru-baru ini dilihat bakal memberi kesan negatif di mata rakyat, menganggap ia sebagai langkah tergesa-gesa Pakatan Harapan (HARAPAN).

Walaupun menterinya, Dr Xavier Jayakumar mendakwa tarif air tidak diselaraskan sejak 20 tahun lalu, namun HARAPAN dalam manifestonya sendiri telah membayangkan bahawa air percuma akan diberikan malah negeri-negeri seperti Johor dan Perak juga telah merancang untuk menurunkan tarif air.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Terengganu, Azan Ismail, berkata kerajaan tidak seharusnya menumpukan kepada sebarang kenaikan atau tambahan caj dalam tempoh setahun ke dua tahun memerintah, sebaliknya memberi tumpuan untuk menstabilkan keadaan ekonomi negara dan meningkatkan taraf hidup rakyat terlebih dahulu.

"Kerajaan tidak boleh melihat rakyat sebagai sumber pendapatan untuk menambahkan hasil negara seperti yang dibuat kerajaan terdahulu."

"Kita faham selepas cukai pendapatan dan perkhidmatan (GST) dimansuhkan, kerajaan kekurangan hasil tetapi untuk mempercukup pendapatan negara, rakyat adalah di kedudukan terakhir untuk kerajaan mendapatkan sumber tambahan pendapatan."


Masih bergelut

"Kerajaan juga perlu sedar, rakyat kita masih berada dalam keadaan bergelut menghadapi kehidupan seharian yang sudah cukup membebankan mereka." 

"Kita juga masih 'struggle' untuk memulih dan menstabilkan ekonomi, meningkatkan pendapatan isi rumah, meningkatkan nilai mata wang dan sebagainya. Proses ini perlu ditumpukan dan bukannya mencari ilham bagaimana menaikkan tarif air serta-merta," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.

Azan yang juga mantan Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata, beliau tidak menolak jika berlaku sebarang kenaikan pada masa akan datang, tetapi beliau berharap ia tidak terjadi dalam tempoh terdekat ini.

"Saya tidak nafikan pada masa akan datang memang apa-apa bentuk tarif berkenaan caj dan sebagainya perlu dikira dan dikaji semula, tetapi sekarang bukanlah masanya."

"Saya harap menteri dan pemimpin HARAPAN tidak terlalu ghairah untuk melihat rakyat sebagai sumber mereka mengutip dana hasil untuk negara," katanya.


Tangguh dulu kenaikan

Punya pandangan serupa dengan Azan adalah Ketua Cabang KEADILAN Bagan Datuk, G Manivannan yang berkata, kenaikan tarif air tidak akan diterima rakyat tambahan pula dalam keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan pada ketika ini.

Beliau yang juga seorang peguam berpandangan selagi ekonomi negara tidak dipulihkan dan kos sara hidup tidak bertambah baik, sebarang kenaikan tarif air atau elektrik perlu ditangguhkan dahulu.

"Kerajaan perlu berbincang semula dengan para pemegang taruh seperti Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), SYABAS, Indah Water dan sebagainya untuk memastikan segala keputusan mereka tidak membebankan rakyat. 

"Dalam keadaan semasa, mereka adalah agensi kanan yang paling penting memainkan peranan. Mereka perlu membantu kerajaan memastikan kebajikan rakyat tidak ditekan," kata bekas Ahli Parlimen Kapar itu.

Sehubungan itu, Pengerusi Biro Kepenggunaan KEADILAN itu menyeru keputusan kementerian seperti yang diumumkan perlu dibincangkan semula agar dalam tempoh setahun dua ini kerajaan dapat menumpukan kepada usaha-usaha untuk mengembalikan kedudukan ekonomi ke tahap lebih baik.


Menteri tak tetap tarif air

Bagi Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon pula, beliau melihat peranan yang boleh dimainkan kerajaan negeri dalam isu air ini demi kemaslahatan rakyat terbanyak.

Jelasnya, walaupun kerajaan pusat membuat keputusan mahu menaikkan sedikit tarif air, tetapi dalam konteks Johor, perjanjian air percuma 20 meter padu tetap mampu diberikan kepada golongan B40.

"Saya berharap perjanjian untuk memberi air percuma dikekalkan, tetapi sasaran dihadkan kepada golongan B40, kerana tidak wajar menaikkan tarif kepada mereka yang terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi."

"Namun sebenarnya tarif air bukan ditetapkan oleh menteri. RUU (rang undang-undang) cuma merasionalisasikan pembekalan air. Sama ada satu negeri itu mampu memberi air percuma atau tidak, terpulang kepada kerajaan negeri itu," katanya.

Menurut beliau, fokus kerajaan HARAPAN adalah untuk mentadbir dengan pendekatan yang holistik, memastikan negara tidak kekurangan dana untuk membangunkan ekonomi dan mengurus negara, namun pada masa yang sama, kebajikan rakyat tetap dapat dibela.


Seragam tarif

Sementara itu, Ahli Parlimen Batu Pahat, Dato' Mohamed Rashid Hasnon punya pandangan agak berlainan, dengan melihat perbezaan ketara tarif air antara negeri-negeri di Malaysia yang perlu diselaraskan.

Katanya, kenaikan itu adalah satu langkah perlu untuk menyeragamkan perbezaan tarif air di antara negeri-negeri bertarif air tinggi dengan negeri-negeri bertarif air rendah.

"Saya dahulu pernah menjadi timbalan Pengerusi Air Negeri Pulau Pinang dan tarif air di negeri itu paling murah. Sebagai contoh, tarif air di Pulau Pinang adalah RM0.35 manakala di Johor adalah RM1.35, maka sangat jauh perbezaannya."

"Namun, walaupun tarif air dinaikkan sedikit, pengekalan air percuma kepada B40 tetap diberikan." 

Cuma tarif air kepada industri tidak akan diberi percuma dan orang kaya juga takkan kita nak beri air percuma juga, maka kelebihan ini akan dinikmati lebih ramai golongan B40," katanya kepada Suara Keadilan.


*Disiar di Suara Keadilan 405

No comments: