Oleh HAIZIR OTHMAN
Banyak yang dibincangkan malam itu. Antaranya dari moderator sendiri, Imran Rasid, yang membangkitkan apakah bahan-bahan bacaan Lenin enam tahun sebelum beliau melancarkan Revolusi Oktober yang berhasil merebut Istana Musim Dingin seterusnya menggulingkan pemerintahan Tsar di Rusia.
Juga, apakah antara teks-teks yang dibincangkan dalam diskusi perkumpulan-perkumpulan kecil anarkis Mao Zedong sebelum beliau memimpin rakyat China menumbangkan Kuomintang dalam Revolusi Budaya.
Imran membangkitkan persoalan substantif yang menggerakkan dua revolusi besar di dunia ini kerana berpandangan perubahan bermula dari golongan intelektual (menurutnya, seperti Lenin dan Mao), dan berminat untuk mengetahui apakah sifat masyarakat di sana yang melahirkan tokoh-tokoh seperti mereka.
Padahal Syed Hussein Alatas punya huraian berbeza malah sudah lama merungut tentang kelemahan golongan ini seperti kritiknya dalam Intellectuals in Developing Societies (1977) yang diterjemah di Indonesia sebagai Intelektual Masyarakat Membangun. Dalam karyanya yang cukup berpengaruh itu, golongan intelektual digelar bebal lantaran gagal memainkan peranan yang diharapkan dalam masyarakat.
Subjek ini juga jadi kritikan utama penulis, penyair dan aktivis budaya, Raja Ahmad Aminullah dalam buku yang ditulisnya 15 tahun lalu, "Minda Tertawan: Intelektual, Rausyanfikir dan Kuasa". Pada 27 November lalu di kedai buku Gerakbudaya di Petaling Jaya, buku ini dibincangkan bersama-sama penulisnya sendiri dalam acara yang dinamakan Mimbar Gerakbudaya.
Fenomena mengampu
Acara bedah buku ini rupa-rupanya sudah dijalankan beberapa kali sebelum ini, membincangkan idea lewat teks-teks tertentu secara intensif dalam satu kumpulan kecil yang lebih terfokus sifatnya. Mengemukakan tokoh berbeza dalam setiap sesi, sesi pada malam itu menawarkan Raja Ahmad atau dikenali dengan nama Pak Engku untuk membahas semula bukunya, lewat tajuk "Intelektual dan Minda Tertawan: Menggalas Cabaran Malaysia Baru".
Pak Engku walaubagaimanapun kurang gemar dengan istilah 'Malaysia Baru' kerana baginya istilah yang lebih tepat adalah 'Iklim Baru'. Namun walau apa pun istilahnya, perubahan yang berlaku tetap membawa manfaat kepada negara ini untuk bergerak maju seterusnya keluar dari kepompong lama yang beku.
Cuma, nada Pak Engku mirip dengan Syed Hussein Alatas dalam menujukan kritikan kepada sesetengah golongan intelektual yang menurut beliau bersifat laih (mediocre) kerana telah berada di zon selesa terlalu lama dalam dunia akademik sehingga jadi bisu lantas menzalimi ilmu yang seharusnya mereka dukung.
Kekecewaan beliau kepada golongan ini jadi lebih besar apabila keberadaan mereka didapati tidak lebih daripada hanya mengabsahkan kata-kata para penguasa tanpa menawarkan pandangan-pandangan alternatif bersifat solusi sebenar kepada isu dalam masyarakat.
Fenomena 'mengampu' pemimpin ini persis budaya feudal yang pernah melingkari masyarakat tradisional Melayu satu masa lalu malah lebih teruk, lahir feudal-feudal baru pada zaman ini dalam persalinan ahli politik.
Sifat laih intelektual
Sifat laih intelektual di menara gading ini tidak berubah walaupun negara menyaksikan sejarah besar berlaku pada tahun 1998 lewat peristiwa Reformasi apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri oleh Perdana Menteri pada waktu itu, Datuk Seri (kini Tun) Dr Mahathir Mohamad.
Kelesuan golongan intelektual ini ditandai seruan 'membalas budi' dan disulam pula secara salah dengan kefahaman betapa budaya masyarakat Timur itu amat mementingkan perdamaian.
Budaya lesu dan tidak mencabar konvensi ini akhirnya melahirkan golongan mahasiswa yang tidak mampu berfikiran kreatif dan kritis sehingga timbul pula masalah kualiti graduan universiti-universiti awam seperti dirungutkan para majikan di pasaran pekerjaan.
Sifat ini bertentangan dengan saranan tokoh intelektual Parsi terkenal abad ke-20, Ali Shariati bahawa golongan cendekiawan atau rausyanfikir harus ke depan dengan berani menentang ketempangan-ketempangan zamannya. Juga seruan bekas perdana menteri Indonesia, Muhammad Natsir bahawa golongan intelektual punya tanggungjawab besar, atau 'noblesse oblige'.
Seruan serupa dibuat Edward Said yang mahu golongan intelektual membebaskan diri mereka daripada ditawan dalam pelukan kekuasaan (poisonous embrace) sebaliknya melakukan pembaikan dari dalam sistem.
Kritik pemimpin
Para pemimpin negara tidak terlepas daripada dikritik penulis buku ini, terutamanya pemimpin negara yang pernah jadi pimpinan mahasiswa pada zaman kegemilangannya, dekad 1970-an.
Kritikan itu ditujukan kepada sikap mereka yang tidak menyantuni perjuangan golongan mahasiswa pada zaman mutakhir walaupun mereka sendiri pernah berada pada situasi tersebut.
Di sinilah Pak Engku mengangkat peranan para seniman, budayawan, ulama malah intelektual dalam mengisi 'ruang ketiga' dalam masyarakat bagi mengimbangi pengaruh pemimpin politik yang dominan.
Kebimbangan penulis dilanjutkan dengan fenomena 'perubahan sekejap' apabila golongan yang membuat perubahan kemudiannya dihinggapi penyakit rejim lama yang mereka sendiri tentang sebelumnya.
Ia diungkapkan lewat kata-kata penyair Indonesia, Emha Ainun Nadjib, "Mereka berlumba-lumba menggantikan penguasa yang bertindak tidak adil untuk kemudiannya melakukan ketidakadilan pula (apabila berkuasa)".
Pahlawan kesiangan
Walaupun buku ini ditulis lama sebelum berlakunya perubahan pentadbiran negara pada 9 Mei lalu, fenomena sedemikian wajar diambil perhatian dan dijadikan pengajaran bagi kita di sini.
Lebih-lebih lagi kita mungkin tidak mahu mengulangi sejarah di negara-negara yang telah mengalami perubahan seperti Indonesia, apabila orang yang mendukung pemerintahan Suharto selama lebih 30 tahun, kemudiannya apabila reformasi berlaku, jadi lebih lantang daripada para jaguh perubahan itu sendiri.
Mereka digelar 'pahlawan kesiangan' di sana. Di sini, situasi serupa boleh berlaku apabila para pendukung perubahan tidak diberi tempat dalam 'iklim baru' yang mereka sendiri perjuangkan.
Golongan ini digelar "dissidents" dalam sejarah perjuangan menjatuhkan kerajaan autoritarian Czechoslovakia pada tahun 1989. Selepas berjuang, mereka kembali kepada pekerjaan asal dan seolaholah telah menyerahkan negara kepada orang-orang yang punya cita-cita politik besar.
Pemimpin veteran Parti Rakyat Malaysia (PRM), Dr Halim Ali yang turut hadir malam itu pada sisi lain menyatakan peranan golongan proletar (pekerja) yang lebih utama berbanding intelektual dalam perubahan, termasuk di Malaysia. Jelasnya, golongan ini berhijrah dari desa ke kota-kota seperti Shah Alam, Johor Bahru, Ipoh membentuk kekuatan massa menukar pemerintahan.
*Disiarkan di Suara Keadilan 403



No comments:
Post a Comment