Oleh HAIZIR OTHMAN, AINOR MAZIYYAH
Gerakan antivaksin di peringkat global bukan sesuatu yang baru, malah idea-idea kumpulan ini telah berkembang dalam kalangan masyarakat dunia sejak pemvaksinan bermula lagi.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), peningkatan kes demam campak global sehingga 50 peratus pada 2018 telah mengakibatkan 136,000 kematian. Antara punca utama kepada peningkatan ketara ini adalah berleluasanya gerakan ini yang meragui keberkesanan vaksin dalam meningkatkan kadar ketahanan terhadap penyakit.
Laporan sama turut memetik sepuluh negara bertanggungjawab terhadap peningkatan satu pertiga penyakit campak peringkat global pada tahun lepas antaranya Thailand, Ukraine, Yaman malah negara maju seperti Perancis.
Badan itu turut melaungkan amaran tentang keraguan mengambil vaksin dalam kalangan masyarakat dunia sebagai antara sepuluh ancaman kesihatan global yang paling mendesak untuk tahun 2019.
Malaysia tidak terkecuali daripada menerima kesan golongan antivaksin ini yang telah sampai ke tahap memainkan hujah agama dan teori konspirasi sehingga mengaitkannya dengan agenda didalangi Yahudi.
Selari fatwa
Menjawab salah faham tersebut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata cadangan mewajibkan imunisasi kepada kanak-kanak selari dengan fatwa yang dikeluarkan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Menyatakan ia bukan perkara baru, beliau menegaskan walaupun pada asalnya pengambilan imunisasi hukumnya harus, namun ia menjadi wajib sekiranya boleh memudaratkan nyawa jika tidak diambil.
"Dalam Islam dan jabatan kami sendiri telah jelas dan berpandu kepada faktwa yang ada, hukumnya harus dan jadi wajib jika ia boleh menjejaskan kesihatan anak itu," tegasnya.
Baru-baru ini, seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun di Johor meninggal dunia akibat jangkitan difteria didakwa akibat tidak pernah menerima sebarang imunisasi sejak lahir.
Lima lagi kanak-kanak, yang dilaporkan mempunyai hubungan dengan mangsa juga disahkan positif difteria dan dimasukkan ke wad pengasingan di Hospital Sultanah Aminah.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan memaklumkan untuk tahun 2019, sehingga kini terdapat satu kes difteria yang disahkan di Malaysia.
"Tahun lalu, sebanyak 18 kes dengan lima kematian dilaporkan di Malaysia, yang mana empat daripada lima kematian ini tidak menerima imunisasi. Kesemua kematian difteria bagi tahun lalu membabitkan kanak-kanak di bawah usia 10 tahun,” katanya.
Mengulas perkara itu, profesor Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, Prof Datin Dr Mariani Mohd Nor berkata terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi golongan ini menolak vaksin antaranya dipengaruhi sejarah keluarga atau pengalaman sendiri, dan komunikasi sehala antara mereka dengan maklumat media.
Pendedahan meluas pelbagai maklumat menerusi media atas talian yang tidak disokong bukti perubatan sahih turut menyumbang kepada berleluasanya golongan antivaksin dalam kalangan masyarakat Malaysia.
"Bila mereka dengar maklumat dari laman media sama ada dari Youtube atau portal lain, mereka akan ada persepsi sendiri. Akan ada persoalan tapi persoalan itu dijawabnya sendiri, menerusi informasi dari laman tersebut."
"Kita tidak mahu isu ini jadi fitnah atau gosip. Gosip atau fitnah ini akan tersebar luas jika tiada bukti. Yang tersebar luas sekarang kebanyakannya melalui cakap-cakap orang, di TV, kawan-kawan. Itu semua orang kata 'hearsay'; tidak ada bukti yang menyatakan ianya tidak bagus," katanya kepada Suara Keadilan.
Dengar dari pakar
Tambah beliau, bagi menyelesaikan segala persoalan berkenaan vaksin, anggota masyarakat disaran berjumpa secara terus pengamal perubatan.
"Mereka perlu dengar dari pakar. Manusia punya keperluan berbeza, ada yang sesuai dengan vaksin, ada yang tidak. Namun, kita takkan tahu sehingga kita berjumpa dengan pakar yang akan menentukan sama ada sesuai atau tidak (untuk kita)," jelasnya.
Bagi mereka yang mengaitkan isu vaksin ini dengan hujah agama, mereka disaran berjumpa dengan golongan agamawan atau ulama' dan bukan sewenang-wenang menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal, ujarnya lanjut.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata pihaknya tidak mengambil pendekatan bermusuh dengan golongan antivaksin sebaliknya berusaha untuk berinteraksi dengan mereka dalam memberikan maklumat yang tepat.
"Kementerian harap golongan anti vaksin ini beri peluang kepada kami untuk berdialog dengan mereka. Untuk kita maklumkan secara mendalam bahawa vaksin itu selamat, berkesan, dan diperlukan untuk mencegah penyakit-penyakit antaranya seperti difteria, beguk, dan sebagainya daripada menjangkiti orang ramai."
"Mereka yang menolak vaksin bukan sahaja membahayakan anak-anak mereka yang tidak diberikan suntikan vaksin, malah anak-anak yang sudah diberi vaksin tetapi tidak mempunyai imunisasi," katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencadangkan agar setiap murid diwajibkan menerima suntikan vaksin imunisasi sebelum memasuki sesi persekolahan.
Cadangan ini walau bagaimanapun berbeza dengan pendirian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang mengamalkan dasar akses pendidikan terbuka untuk semua kanak-kanak tanpa prejudis.
Mengulas cadangan KKM, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata ibu bapa digalakkan memberi suntikan imunisasi kepada kanak-kanak meskipun kerajaan tidak mewajibkannya pada masa ini.
“Itu pilihan ibu bapa namun kita mengesyorkan lindungilah anak-anak dengan vaksin sebelum penyakit itu terkena (anak-anak),” katanya yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Dalam perkembangan terbaru, dilaporkan usahasama antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama dua kementerian sedang giat dijalankan berhubung kajian kemungkinan mewajibkan hanya kanak-kanak yang sudah menerima suntikan vaksin imunisasi sahaja dibenarkan mendaftar ke sekolah.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh, berkata JAKIM akan membantu Kementerian Kesihatan untuk meneliti cadangan itu bersama Kementerian Pendidikan sebelum sebarang dasar ditetapkan.
*Disiar di Suara Keadilan 413



No comments:
Post a Comment