Wednesday, March 13, 2019

Selepas 9 Mei, demokrasi mampu dirayakan



Oleh HAIZIR OTHMAN

Tanggal 9 Mei 2018 akan terus diingati sebagai tarikh bersejarah apabila buat pertama kali sejak merdeka, kita menyaksikan tampuk pemerintahan negara bertukar. Banyak tulisan, gambar, video telah dihasilkan untuk merakam peristiwa besar ini.

Antara fakta yang paling diingati ialah: perubahan ini berlaku tanpa menitikkan walau setitis darah, satu urusan yang sukar dilakukan di mana-mana bahagian di dunia.

Agensi-agensi berita seluruh dunia menghalakan lensa kamera mereka ke sini, para wartawan menunggu giliran menemubual pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan. Siaran televisyen, radio, web sama ada rasmi atau tidak, malah hampir semua medium tidak mahu ketinggalan melaporkan perkembangan menarik dalam arena demokrasi yang berlaku di negara kita.

Profesor madya sains politik dari Universiti John Cabot yang juga pakar politik Asia Tenggara, Bridget Welsh dalam wawancara dengan majalah The Diplomat selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu berkata keputusan menakjubkan Pakatan Harapan menyedarkan dunia bahawa kerja keras boleh mengatasi kemustahilan.

Pengarang buku The End of Umno? itu berkata orang awam bersama-sama kelompok elit bukan sahaja boleh mempertahankan demokrasi malah boleh menjadi kompas moral menentang penyalahgunaan kuasa.

Kiblat reformasi

Di negara yang terkenal dengan gerakan reformasi, Indonesia, pemimpin terkenalnya, Amien Rais yang antara lain bertanggungjawab kepada tergulingnya pemerintahan Presiden Suharto pada tahun 1998, turut memuji kejayaan Malaysia secara amnya, dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, secara khusus.

Menyarankan Tun Mahathir dijadikan sebagai kiblat reformasi untuk mengganti pemimpin Indonesia, pengasas Partai Amanat Nasional (PAN) itu menyifatkan Perdana Menteri Malaysia itu berjaya mengendalikan isu-isu dengan baik ketika mencabar kekuasaan pemerintah sebelum itu.

Tidak cukup dengan itu, kejayaan Malaysia turut dibayangkan sebagai memberi inspirasi kepada negara-negara Asia Tenggara lain, terutamanya oleh parti-parti pembangkang yang ditindas penguasa mereka termasuklah Myanmar, Thailand dan Singapura.

Agensi berita antarabangsa Reuters antara yang menulis tentang ini selain puji-pujian dari media lain seperti Wall Street Journal, Time, Bangkok Post, The Atlantic dan lain-lain.

Sembilan bulan selepas itu, peristiwa ini masih diperkatakan, walau mungkin kadar dan sudut pandangnya sudah banyak berubah. Namun, hakikat bahawa ia telah berlaku dan dirakam dengan tinta emas dalam catatan sejarah tidak dapat dipadam sesiapa.

Pesta Demokrasi adalah acara terbaru diadakan sebagai refleks dari peristiwa bersejarah tanggal 9 Mei lalu. Dianjurkan Forces of Renewal Southeast Asia (FORSEA) kendalian aktivis masyarakat Hishamuddin Rais, ia berhasrat mengumpulkan tiga generasi aktivis hak asasi manusia, para pendukung demokrasi dan seniman dari seluruh Asia Tenggara di Kuala Lumpur untuk meraikan kebangkitan demokrasi di Malaysia serta mempromosikan hak asasi manusia.

Berlangsung dari 13 hingga 17 Februari lalu di Publika, Sri Hartamas, Kuala Lumpur, ia menyusun program-programnya lewat pameran seni, persembahan kebudayaan, forum, dan ucapan. Yang paling mencuri tumpuan pastinya ucapan pembukaan dari Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 16 Februari, selepas tayangan rakaman video ucapan profesor diraja Universiti Arizona, Noam Chomsky.



Bercakap dalam ucap utama, Tun Mahathir mengingatkan walaupun demokrasi mempunyai banyak kelemahan, tapi ia masih sistem pentadbiran terbaik untuk digunakan pada masa ini.

"Di Malaysia, kita pilih kerajaan dengan kepercayaan mereka akan berkhidmat kepada rakyat. Tapi apabila pemenang beroleh kuasa, mereka gunakannya untuk mengayakan diri sendiri dan menindas rakyat."

"Tiada cara untuk mengalahkan mereka. Tapi kita bernasib baik apabila pilihan raya diadakan, rakyat gunakan kuasa mereka untuk jatuhkan parti yang telah berkuasa selama 61 tahun," katanya.

Potensi Asia

Chomsky dalam ucapannya menyifatkan kebangkitan yang berlaku di Asia Tenggara dalam konteks demokrasi sejak beberapa tahun kebelakangan sebagai satu fenomena luar biasa. Jelasnya, perubahan tersebut merupakan perkembangan penting untuk masa depan.

Beliau memuji dunia Timur khususnya India dan China yang lebih awal membina tamadun lewat sejarah kebudayaan dan politik mereka, berbanding Barat yang masih membangun pada kurun ke-18, malah dihambat ancaman kegiatan lanun.

"Asia berpotensi merebut kembali posisi dominannya dalam hal-ehwal dunia," katanya, dengan syarat mereka menyelesaikan masalah-masalah yang ditinggalkan oleh penjajah-penjajah lampau terlebih dahulu.

Mendengar ucapan ini pasti mengingatkan kita kepada gagasan yang pernah diungkapkan Saudara Anwar Ibrahim lebih dua puluh tahun lalu lewat bukunya Gelombang Kebangkitan Asia, atau dalam bahasa Inggeris, The Asian Renaissance (1996).

Ujarnya, kekayaan Asia dengan nilai-nilai budaya etnik negara-negara di dalamnya adalah aset berharga yang akan mendorong rantau ini untuk bangkit (revive) dan bergerak maju. Kepelbagaian bangsa, agama, budaya tidak harus dijadikan faktor pembeza sebaliknya satu kekuatan yang dijana untuk membina ketamadunan yang hebat.

Keunikan acara ini selain ucapan dan forum adalah pameran hasil kerja seni para karyawan dari negara-negara Asia Tenggara sekitar tema demokrasi, hak asasi manusia, dan melawan salah guna kuasa dan korupsi. Atas nama Democracy in Action (Tindak Demokrasi), karya-karya seni mereka termasuk lukisan, kartun, gambar, persembahan dan pelbagai medium dipamerkan.

Menampilkan karyawan Malaysia seperti Zunar, Shaq Koyok, Pangrok Sulap, Yeoh Lian Heng, Ahmad Fuad Osman dan lain-lain, karyawan dari negara Asia Tenggara lain turut hadir seperti Arahmaiani (Indonesia), Taring Padi (Indonesia), Zoncy (Myanmar), Le Brothers (Vietnam), Anida Yoeu Ali (Kemboja), dan Khai Meaw (Thailand).



Turut berlangsung adalah pembukaan ruang-ruang pameran oleh badan-badan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh pelosok tanah air seperti Sahabat Alam Malaysia, Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Borneo Komrad, Gerakan Media Merdeka (Geramm), Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Girl2 Leader, Dapur Jalanan dan lain-lain lagi.

Apa yang menarik, menepati tema besar dan aspirasi demokrasi yang didukung dalam program ini, ada di antara NGO-NGO yang diundang ke Pesta Demokrasi ini membawa suara lantang mengkritik kerajaan pada masa ini, seperti Gerakan Selamatkan Bukit Payung oleh NGO Trans Bukit Payong, yang membantah cadangan pembinaan tapak pelupusan sampah di kawasan berhampiran Hutan Simpan Bukit Payong, Batu Pahat, Johor.

Menjelaskan projek tersebut diluluskan pentadbiran lalu apabila kerajaan negeri telah pun menjual tapak tersebut kepada kerajaan persekutuan, wakil gerakan tersebut, Zahrin Abd Rahman walaubagaimanapun berkata, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin telah pun datang bertemu wakil NGO dan ketua-ketua kampung bulan lalu untuk mendengar kebimbangan mereka.


*Disiarkan di Suara Keadilan 413

No comments: