Oleh HAIZIR OTHMAN
Kesuraman industri buku dan terjemahan (mahupun seni dan sastera) pada masa ini boleh sahaja ditujukan kepada kegagalan institusi-institusi utamanya berperanan. Polemik tidak berkesudahan yang melingkari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) misalnya, dari kegagalan penswastaan Dawama dalam urusan percetakan dan pengedaran buku, sehinggalah kepada kontroversi pelantikan Ketua Pengarahnya baru-baru ini, cukup merimaskan.
Kemunculan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, ITBM walaubagaimanapun seperti membawa nafas baru. Ia hadir hampir serentak dengan kelahiran buku-buku dan sastera indie yang telah mengisi lompong besar ditinggalkan DBP. Buat seketika kita berasa sastera, seni, budaya dan buku bangkit kembali dari tidur yang panjang.
Namun seperti pepatah "kusangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari", ITBM, dan 'scene' buku indie tenggelam kembali ditelan 'raksasa' ekonomi dan sistem kapitalisme yang agak kurang bertimbang rasa dengan lambatnya proses perbukuan, keilmuan dan kebudayaan dalam memberi pulangan berbentuk material.
Barangkali ada juga yang mahu menyalahkan kuasa membeli masyarakat - kenapa tidak menyokong buku dan sastera? Melihat komuniti pembaca juga peminat sastera yang kecil di negara ini, agak terlalu sukar bagi mereka untuk menyelamatkan industri yang hampir karam.
Maka, mahu tidak mahu peranan kerajaan ditagih dengan kuasa yang mereka ada untuk memberi suntikan kepada industri ini agar kembali bernyawa.
Ganti ITBM, DBP?
Satu rahmat besar bagi kerja-kerja seni apabila di Selangor, ia dipandang penuh perhatian oleh kerajaan negeri. Lewat Agenda Pencerahan Selangor yang dilaksanakan sejak 2017, pimpinan negeri mengambil langkah yang tidak biasa diamalkan para politikus dengan menyalurkan sejumlah dana agak besar untuk kegiatan menerbitkan buku dan aktiviti-aktiviti seni dan kelimuan.
Belanjawan Selangor 2018 memperuntukkan RM12.3 juta untuk menerbitkan bahan bacaan bermutu, tidak termasuk RM3.5 juta lagi bagi menterjemahkan karya agung antarabangsa ke dalam bahasa Melayu.
Langkah ini diteruskan dalam belanjawan 2019 apabila RM1 juta disalurkan kepada aktiviti penterjemahan karya penting pelbagai bahasa ke dalam bahasa Melayu, selain projek buku audio termasuklah karya klasik Melayu seperti Hikayat Abdullah dan lain-lain.
Menjadi watak utama bagi aktiviti penterjemahan di Selangor, Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) mungkin punya jawapan kepada isu yang ditimbulkan pada awal tulisan ini, walaupun skop yang melingkunginya masih belum mencapai tahap nasional.
Ini kerana walaupun baru ditubuhkan kira-kira dua tahun lalu, IBDE, dengan bilangan penterjemah dan editor yang terhad juga secara separuh masa, telah berjaya menterjemah ke dalam bahasa Melayu lebih dua puluh karya ilmiah antarabangsa dari klasik hingga moden, seperti Republic (Plato), Traite sur la Tolerance (Voltaire), Munqidz Min ad-Dhalal (Imam al-Ghazali), Discourse on the Method (Rene Descartes), World Order (Henry Kissinger) dan lain-lain lagi.
Genre karya yang diterjemahkan IBDE buat masa ini diperhatikan tergolong dalam kategori falsafah, sastera, politik, sejarah, dan agama.
Untuk menggantikan peranan ITBM atau DBP mungkin masih terlalu awal, namun cita-cita mereka tetap besar untuk pada satu hari nanti menerbitkan karya-karya asli, selain daripada karya terjemahan yang sedang mereka usahakan sekarang.
Bercakap kepada Suara Keadilan, pengurus projeknya, Alina Abdullah melahirkan harapannya untuk IBDE berkembang lebih besar selepas ini dengan mencakupi kebanyakan segmen pembaca yang ada di negara ini.
"Selain karya-karya 'berat', kita juga mahu terbit buku kanak-kanak, atau edisi yang dipermudahkan bagi mencapai sasaran pembaca pelajar dan remaja," katanya yang mahu pendedahan ilmiah diberi kepada khalayak dari usia muda.
Tidak mahu ilmu dieksklusifkan kepada kelompok elit tertentu, Alina yang juga salah seorang penterjemah IBDE berkata pihaknya malah akan menerbitkan novel grafik bagi memudahkan kefahaman falsafah kepada pembaca.
Orang buta boleh 'baca'
Lewat Agenda Pencerahan juga, buku-buku bercetak dijadikan buku audio - memberikan pengalaman berbeza kepada pembaca. Platform yang disediakan Nusantara Audiobooks ini merupakan yang pertama di Malaysia dan seperti IBDE, ia punya hasrat sama untuk meratakan kefahaman ilmu kepada masyarakat terbanyak.
Mengaudiokan karya-karya seperti Salina (A Samad Said), Saman (Ayu Utami), Sejarah Melayu, Hikayat Abdullah dan lain-lain, inisiatif ini merupakan inovasi sastera yang tidak mampu kita ketinggalan dalam dunia perlumbaan idea yang pantas.
Malah ia mampu menyelesaikan masalah warga buta yang tidak dapat akses kepada bahan bacaan kecuali dalam kod braille yang barang pasti terhad capaiannya.
| Alina Abdullah |
Berhasrat menjadikan ilmu dan sastera lebih inklusif, wanita serba boleh ini turut mengurus Rumah Seni Selangor (Russel), satu ruang seni komuniti di Petaling Jaya. Lahir hasil idea Menteri Besar, Amirudin Shari, Russel menaja tiga orang artis residen yang akan menghasilkan karya dalam tempoh tertentu sebelum dipamerkan.
Karya dalam bentuk lukisan, arca, seramik dan lain-lain ini seterusnya didedahkan kepada umum dan setakat ini, sambutannya amat memuaskan.
Melihat pulangan hasil seni bukan dari aspek material semata-mata, kurator Russel, Shamsuddin Lappo berkata apa yang lebih penting adalah seni dapat memposisikan kedudukannya pada tempat sepatutnya dalam masyarakat.
Selain menempatkan artis residen, menjalankan kegiatan seni seperti tayangan filem, diskusi dan lain-lain, Russel turut menganjur program seperti bengkel batik, cetakan, lakaran, seni solekan, dan sebagainya. Kata Alina, ia mahu membina jambatan antara sastera, seni halus dan disiplin-disiplin lain.
"Apabila ada interaksi antara disiplin, karya yang terhasil akan lebih bermutu," katanya yang turut berharap rumah-rumah seni dapat dibina di daerah-daerah lain.
*Disiarkan di Suara Keadilan 413
No comments:
Post a Comment