Wednesday, March 13, 2019

Caj kesesakan langkah awal hapus tol



Pengumuman kerajaan melalui Pejabat Perdana Menteri baru-baru ini bahawa kerajaan sudah memulakan proses rundingan dengan Gamuda Berhad untuk mengambil alih konsesi lebuh raya sebagai langkah pertama ke arah menghapuskan mekanisma kutipan tol, telah membuka ruang polemik yang luas kepada para warga.

Pertama, kita tidak pernah dengar istilah 'caj kesesakan' - yang disebut-sebut akan menggantikan mekanisma kutipan tol sedia ada. Kekurangan maklumat tentang perkara ini bakal membawa kita kepada rumusan yang silap.

Maka sementara menunggu penjelasan lebih lanjut dari kerajaan, ada eloknya kita membuat sedikit kajian tentang caj kesesakan ini dan bagaimana ia dilaksanakan di bandar-bandar besar seluruh dunia.

Kedua, bagaimana pelaksanaannya akan mencapai matlamat mengatasi kesesakan jalan raya, dan mengurangkan kos sara hidup pengguna lebuh raya seperti yang dijanjikan Pakatan Harapan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu?

Selayang pandang

Di London, apabila caj kesesakan diperkenalkan datuk bandarnya, Ken Livingstone lima belas tahun lalu, ia bermatlamat mengurangkan kesesakan, menambah baik perkhidmatan bas, mewujudkan waktu perjalanan lebih konsisten kepada pemandu, dan meningkatkan keberkesanan pengedaran barangan dan perkhidmatan di seluruh ibu kota.

Ternyata langkah ini berjaya. Tiga tahun selepas dilaksanakan, Transport for London (TfL) melaporkan kadar trafik turun 15 peratus, dan kesesakan (tambahan masa perjalanan akibat trafik) berkurang 30 peratus. Kesannya berterusan sehingga hari ini di mana bilangan trafik berkurang hampir seperempat berbanding sepuluh tahun lalu.

Namun harus diingat, latar belakang kepada langkah ini membawa kita lebih lima puluh tahun ke belakang susulan Laporan Smeed 1964 oleh kerajaan United Kingdom (UK) melibatkan sebelas orang jurutera dan pakar ekonomi.

Di Singapura, pengenalan Skim Pelesenan Kawasan (Area Licensing Scheme, ALS) pada tahun 1975 sebelum diganti dengan Kadar Harga Jalan Elektronik (Electronic Road Pricing, ERP) pada tahun 1998 telah berjaya bukan sahaja menangani isu kesesakan jalan raya dengan berkesan malah menjadikan alam sekitar lebih terpelihara, selain meningkatkan produktiviti dan impak perniagaan.

Dari sudut untung-rugi, pelaksanaan ALS dari tempoh 1975-1988 menjana keuntungan 11 kali ganda daripada kos dikeluarkan. ERP pula, menurut laporan Jabatan Pengangkutan Amerika Syarikat, menelan belanja US$110 juta semasa dilaksanakan pada 1998. Namun pada awal 2000-an, lewat hampir 300,000 transaksi sehari, ia berupaya menjana keuntungan kira-kira US$100 juta setahun.

Di Stockholm, cadangan caj kesesakan bermula sejak lebih tiga dekad lalu, namun hanya direalisasi pada tahun 2002 susulan kemenangan Parti Hijau dengan kerjasama Parti Demokratik Sosial di Sweden.

Ciri unik di sana ialah pengecualian caj kepada teksi, kereta hibrid, bas, kereta asing, kereta pemandu orang kurang upaya, diplomat, polis dan kenderaan kecemasan membentuk 30 peratus daripada keseluruhan kenderaan dicaj. Kenderaan yang hanya melalui kawasan tersebut tanpa parkir juga dikecualikan.

Dan selain London, Singapura, dan Stockholm, kaedah ini turut dilaksanakan di Milan dan San Diego dengan kadar kejayaan membanggakan.

Beri kelegaan

Di sini, pelaksanaan caj kesesakan adalah sebagai ganti kepada sistem kutipan tol yang digunakan sebelum ini. Sebagai permulaan, empat lebuh raya terlibat iaitu Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS), dan terowong SMART yang kesemuanya dikendalikan syarikat Gamuda Berhad.

Dengan cara ini para pengguna lebuh raya bakal dapat menikmati kadar percuma dari tempoh jam 11 malam hingga 5 pagi, dan diskaun 30 peratus jika menggunakan lebuh raya di luar waktu puncak. Sementara bayaran pada kadar biasa tol dikenakan jika melalui lebuh raya pada waktu puncak.

Ditanya bagaimana kaedah ini dapat mengurangkan kos sara hidup pengguna lebuh raya, aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata kesan kepada cadangan ini akan dapat lebih dirasai oleh golongan berpendapatan rendah yang tinggal di bandar.

Tan Sri Lee Lam Thye

Menyambut baik usaha tersebut, bekas pemimpin kanan DAP itu menyifatkan kejayaan langkah ini nanti bakal membuktikan kesungguhan kerajaan meringankan beban rakyat.

"Jika kerajaan komited melaksanakannya, sudah tentu perkara ini akan mengurangkan beban terutamanya kepada mereka yang datang dari golongan berpendapatan rendah,"

"Kita tahu, untuk keluar-masuk ke pusat bandar kita harus mengharungi plaza tol, jika seseorang melalui lebuh raya bertol ini setiap hari, bayangkan berapa banyak kos yang beliau dapat jimat, sekali gus kerajaan pula berjaya meringankan beban kepada rakyat," katanya kepada Suara Keadilan.

Jelasnya, walau bagaimanapun, kajian menyeluruh perlu dibuat bagi memastikan impak dari langkah ini dapat dinikmati secara optimum.

Dilihat dari aspek kewangan, cadangan ini bakal menjimatkan duit kerajaan hampir RM180 juta setahun dengan pengambil alihan konsesi lebuh raya yang terlibat. Bercakap kepada media, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menjelaskan pengguna juga akan menikmati pengurangan kesesakan lalu lintas pada waktu puncak.

"Selain itu, kerajaan dan pembayar cukai akan jimat RM5.3 bilion dalam bentuk bayaran pampasan kepada syarikat konsesi akibat pembekuan kadar tol," katanya.

Beku tol permulaan baik

Bagi Ahli Parlimen Wangsa Maju, Dr Tan Yee Kew pula, tindakan kerajaan membekukan kenaikan tol di 21 lebuh raya sebelum ini merupakan permulaan yang positif.

Selain itu katanya, kutipan dari caj kesesakan juga akan disalur kepada kos penyelenggaraan infrastruktur jalan raya.

"Membekukan kenaikan tol bagi semua kelas kenderaan di lebuhraya seluruh negara tahun ini adalah langkah positif kerajaan untuk kurangkan kos sara hidup rakyat," katanya kepada Suara Keadilan.

Kenyataan dari Pejabat Perdana Menteri sebelum ini menjelaskan hasil kutipan caj kesesakan akan digunakan bagi menampung kos operasi lebuh raya, menaik taraf jalan dan membuat bayaran balik.

Ia juga akan disalurkan kepada dana pengangkutan awam bagi meningkatkan kualiti jaringan pengangkutan di seluruh negara.

Adun Batu Tiga, Rodziah Ismail

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail ketika dihubungi berkata, usaha kerajaan memperkenalkan caj kesesakan pada waktu puncak sebenarnya memberi kesedaran kepada pengguna untuk merancang perjalanan mereka lebih awal.

"Caj kesesakan dapat memupuk pengguna jalan raya merangka waktu perjalanan agar kapasiti kenderaan yang melalui sesebuah lebuh raya dapat dikurangkan."

"Inisiatif ini langkah permulaan pemansuhan tol secara berperingkat seperti termaktub dalam manifesto HARAPAN pada PRU14 lalu," katanya yang juga Exco Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa Dan Kampung Tradisi negeri Selangor.


*Disiarkan di Suara Keadilan 413

No comments: