Wednesday, March 13, 2019

Aparteid, perubahan dan jalan berliku kebebasan



Oleh HAIZIR OTHMAN

"Jika filem ini (dihasilkan dan) ditonton sekitar tahun 1998-2000 dulu, kesannya mungkin berbeza. Malah mungkin tayangan sebegini akan ditemani SB (anggota polis Cawangan Khas, Special Branch),"

Ulasan tokoh wartawan, Fathi Aris Omar usai tayangan filem Mandela: Long Walk to Freedom malam itu menunjukkan sekurang-kurangnya dua perkara. Pertama, perjuangan puluhan tahun Nelson Mandela membebaskan Afrika Selatan daripada rejim aparteid cukup signifikan kepada para pejuang kebebasan seluruh dunia.

Namun, kedua, disebabkan waktu penghasilan dan tayangan filemnya yang agak lewat dari detik-detik getir bermulanya perubahan sosiopolitik negara kita sekitar peristiwa Reformasi 1998, membuatkan kesannya kurang dirasai khalayak tempatan, apatah lagi kita sudah pun mengecapi satu daripada perubahan yang diperjuangkan - pertukaran tampuk kepimpinan negara pada 9 Mei 2018 lalu.

Walaubagaimanapun, sesebuah karya itu sentiasa punya cara tersendiri untuk sampai kepada para pembaca atau penontonnya. Bagi tokoh sebesar Mandela, karya yang terhasil dari kisah hidupnya menarik untuk diperhatikan sama ada dari kaca mata orang biasa, pemimpin politik, mahupun pejuang keadilan.

Gereja sokong apartheid

Budaya menulis autobiografi di kalangan ahli politik barangkali telah menjadi sedemikian biasa sehingga ia dianggap satu lagi cara kempen menjelang pilihan raya.

Digunakan sebagai jentera propaganda bagi mengangkat tokoh ke kedudukan tertentu lewat pemaparan yang baik-baik tentang dirinya, kisah-kisah yang boleh membawa kesan negatif sebaliknya akan diselindungkan atau diwarna sewajarnya sehingga ternampak cantik.

Kehadiran penulis hantu (ghost writer) hanya menjadikan genre buku ini semakin dilihat bersifat manipulatif. Berbanding menceritakan kisah hidup subjek dalam bentuk memoir yang boleh dinikmati secara romantis oleh pembaca, ia akhirnya jadi kempen sehala seperti yang diberikan jabatan penerangan.

Hal ini walaubagaimanapun bukanlah kes bagi buku Mandela: Jalan Berliku Menuju Kebebasan, terjemahan dari karya asal Long Walk to Freedom: The Autobiography of Nelson Mandela yang diterbitkan buat kali pertama pada tahun 1994, empat tahun selepas pembebasannya dari penjara selama 27 tahun, dengan kebanyakan masa di pulau terpencil Robben Island.

Hampir 30 tahun berikutnya, karya ini mengalami transformasi dari medium kertas ke layar perak apabila difilemkan pengarah kelahiran England, Justin Chadwick pada tahun 2013 dengan menggunakan tajuk yang sama.

Di negara ini pada tahun 2018, memoir presiden Afrika Selatan dari tahun 1994 hingga 1999 ini kemudiannya diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu oleh Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) dengan sokongan penuh kerajaan negeri Selangor.



Membesar sebagai suku Thembu di Xhosa dalam daerah Umtata, pemilik nama asal Rolihlahla ini seperti warga kulit hitam lain di negara itu, hidup sebagai warga kelas ketiga apabila diperbudak dan ditindas kaum pendatang kulit putih, dari etnik Inggeris dan Afrikaner (keturunan Belanda yang datang menetap pada kurun ke-17).

Kemenangan Parti Kebangsaan pimpinan Dr Daniel Malan melakar aparteid lebih kotor, walaupun penguasaan Parti Bersatu pimpinan Jeneral Smuts sebelum itu tidaklah menjamin kebebasan kepada warga Afrika. Ini kerana dalam pilihan raya, mereka tidak dibenarkan mengundi.

Lebih mencolok mata, polisi orang putih lebih tinggi tarafnya berbanding orang Afrika, orang India, dan Berwarna (selain kulit hitam dan putih) ini disokong Gereja Pembaharuan Belanda. Malah, jelas mereka, Afrikaner ialah bangsa pilihan Tuhan, manakala orang kulit hitam adalah spesis yang kurang penting.

Dalam tempoh inilah, Mandela dan Kongres Kebangsaan Afrika (African National Congress, ANC) terdorong menyusun gerak baru lebih radikal selepas pendekatan lunak selama ini kurang berkesan. Menariknya, semakin agresif kerajaan Malan menindas, ANC semakin mendapat sambutan di seluruh negara.

Pembunuhan besar-besaran

Pengambilan tanah-tanah warga Afrika di Sophiatown untuk pembinaan rumah-rumah orang kulit putih semakin menunjukkan kebiadapan rejim Malan, seperti tidak terkesan sama sekali dengan Kempen Penentangan ANC sebelum ini yang ditandai siri-siri rempuhan ke atas premis-premis berlabel 'Untuk Kulit Putih Sahaja' seterusnya tangkapan beramai-ramai orang kulit hitam.

Aparteid terus berleluasa apabila mengganggu pendidikan anak-anak Afrika dengan memindahkan pentadbiran sekolah mereka dari Jabatan Pendidikan ke Jabatan Hubungan Peribumi yang amat tebal sifat penindasannya. Tanpa mereka sedar, langkah ini perlahan-lahan melahirkan satu generasi yang dipenuhi sifat dendam, mendorong kebangkitan mereka untuk bebas dari rantaian kezaliman rejim kerajaan.

Kemuncak keganasan polis ditandai peristiwa pembunuhan besar-besaran di balai polis Sharpeville apabila kehadiran kira-kira 10,000 warga Afrika yang membantah undang-undang membawa pas ke mana-mana disambut dengan tembakan oleh pihak berkuasa.



Peristiwa yang berlaku pada 21 Mac 1960 ini menajamkan lagi konflik antara kerajaan dengan rakyat apabila sejumlah 69 orang maut manakala 180 lagi cedera.

Peristiwa ini dan lain-lain menyebabkan keganasan telah melingkari ANC dan inilah yang menyukarkan Mandela sendiri setelah dia dibebaskan dari penjara. Namun, didewasakan pengalaman dan hikmah, penerima anugerah Nobel Keamanan ini menyeru para pengikutnya memilih perdamaian, memaafkan orang kulit putih, dan membuat perubahan hanya melalui peti undi.

Berjiwa besar, beliau tidak teragak-agak menegur kesilapan rakyat dan membuat keputusan tidak popular untuk berkongsi kuasa selepas menerajui kerajaan, termasuk dengan pihak yang pernah menindas bangsanya sendiri.

Di sini juga kita ditunjukkan bahawa kemenangan tidak dicapai selepas pembebasan Mandela, kejayaan dalam pilihan raya demokratik pertama melibatkan seluruh warga negara, atau keberhasilan menjadi presiden Afrika Selatan.

Sebaliknya seperti kata Fathi, perubahan melibatkan fasa-fasa tertentu, bukannya satu titik tujuan. Mengaitkannya dengan situasi di negara ini, Fathi berkata peranan pemimpin amat penting dalam menentukan hala tuju kepada pengikut terutama bersangkutan hal-hal kritikal.

"Kebebasan yang dituntut, tidak semestinya dapat dilaksanakan serentak. Namun, rakyat tetap mahu lihat tanda-tanda penting (perubahan) seperti tiada pendakwaan terpilih, GLC tidak dikawal orang politik, dan lain-lain," katanya ketika ditemui selepas acara.

Fathi Aris Omar



*Disiarkan di Suara Keadilan 413

No comments: