Wednesday, March 27, 2019

Orientalisme, 'grundnorm', dan pembinaan naratif nasional



Oleh HAIZIR OTHMAN

Tragedi keganasan di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand baru-baru ini mengorbankan 50 nyawa mengingatkan kita betapa dunia masih berdepan krisis antara agama dan budaya.

Tesis Samuel Huntington dalam The Clash of Civilizations (1996) yang ditulis lebih dua puluh tahun lalu menyinggung bahawa konflik dunia yang berlaku bukan lagi melibatkan perbezaan ideologi atau kuasa ekonomi, sebaliknya hanya disebabkan budaya yang tidak sama.

Pandangan tokoh akademik Amerika Syarikat (AS) itu walau bagaimanapun masih dalam kerangka orientalisme, idea yang dikritik seorang lagi tokoh akademik AS kelahiran Palestin, Edward Said yang merupakan profesor di Universiti Columbia.

Idea Huntington menjurus kepada pertembungan antara Barat dengan Islam selepas era Perang Dingin yang dikritik Said kerana ia bukanlah percubaan untuk memahami budaya seperti yang dikaji, sebaliknya lebih menguntungkan para pembuat dasar dan perancang di Pentagon (Jabatan Pertahanan AS) yang menggajikannya.

Ini kerana hampir dua puluh tahun sebelum itu, Said telah pun menjelaskan kesalah fahaman pandangan alam Barat terhadap warga dunia lewat karya magnum opusnya, Orientalism.

Acuan Barat

Salah tanggapan tersebut berpunca daripada kejahilan mereka terhadap budaya yang tidak sama dengan mereka, lebih jauh, menganggapnya buruk, seterusnya atas rasa kompleks tinggi diri, perlu memerangi budaya tersebut lewat jalan pemaksaan dan penjajahan.

Berinteraksi dengan idea Orientalism (1978) karya Edward Wadie Said dalam program Borak Buku di Galeri Petronas baru-baru ini, Profesor Pusat Penyelidikan Dasar dan Pengajian Antarabangsa Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Murad Merican menjelaskan 'kajian Barat terhadap dunia selain mereka' itu memaparkan gaya pemikiran yang membentuk entiti asing (process of othering).



Kajian Said mencetuskan wacana pasca kolonial yang hebat pada tahun 1980-an. Wacana balas yang lahir adalah oksidentalisme - melihat Barat dari kaca mata Timur pula.

Barat melihat selain mereka, yang digelar 'The Other' sebagai objek, berasa mempunyai wewenang dan hak penguasaan ke atasnya. Fahaman ini mempengaruhi epistemologi ilmu Barat sehingga disiplin-disiplin ilmu yang lahir di sana adalah berorientasikan penguasaan ke atas dunia.

Dalam konteks di rantau sebelah sini, jelas Dr Murad, ia menyebabkan berlaku sekularisasi ilmu di mana ilmu diterbitkan dalam acuan, dan berdasarkan masalah Barat, bukan Timur. Maka konsep dan teori yang lahir adalah palsu kerana ditentukan mereka seperti 'mitos peribumi malas' dan 'minda terjajah' (seperti yang disinggung Syed Hussein Alatas dalam buku-bukunya).

Malangnya, fahaman ini diiktiraf dan diberi legitimasi di sini misalnya, lewat jabatan dan fakulti di universiti yang dibina dalam kerangka dan pengalaman Barat. Lebih mencolok mata ia turut melibatkan bidang pengajian Islam yang konsepnya diambil dari pengajian Islam oleh Barat sewaktu mereka cuba memahami agama ini dari kaca mata mereka.

Dalam urusan ini beliau mencadangkan idea Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas lewat karyanya, Islam dan Sekularisme (1978) dikaji untuk memahami permasalahan sebenar umat masa ini yang dibelenggu pandangan alam (world view) sekular sejak sekian lama akibat penjajahan.

Perlu kaji Eropah

Mengulas reaksi kita terhadap Barat dan fahaman orientalisme kasar mereka, penulis bersama buku Views from Pulau Pinang: Countering Modern Orientalism and Policy Perspectives (2018) itu mengingatkan kita akan ucapan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2003.

Dalam ucapan penting tersebut, Dr Mahathir meminta agar kita mengkaji bangsa Eropah yang pernah menjajah negara ini selama 450 tahun, kerana jelasnya, pemikiran kolonialisme mereka masih ada berdasarkan sejarah 2,000 tahun mereka yang dipenuhi siri-siri perang untuk menakluk wilayah dan meluaskan kuasa ke seluruh dunia.

"Iklim politik antarabangsa telah menjadi begitu tegang dan mencabar semua pihak termasuk Malaysia. Dan bangsa Eropah telah menunjukkan hasrat untuk kembali ke cara lama mereka yang kasar. Sejarah orang Melayu pada zaman penjajahan British boleh memberi kita panduan tentang ciri-ciri bangsa Eropah," jelasnya, memetik ucapan tersebut.

Sikap bangsa Eropah ini boleh dilihat sepanjang sejarah lewat insiden-insiden seperti Revolusi Iran 1979 (bagaimana mereka mewajahkan Khomeini sebagai kejahatan), pasca 911, serangan terhadap Afghanistan dan Iraq, fenomena Brexit di UK, dan kemenangan Donald Trump sebagai presiden AS.



Terbaru, tragedi Christchurch hanya satu mata rantai dari rangkaian sikap Barat terhadap bangsa selain mereka, khususnya Islam.

Ucapan 16 tahun lalu itu masih relevan pada hari ini seperti dinyatakan Dr Murad, "Barat masih fikir mereka sedang menjajah dunia." Menjawab soalan hadirin tentang apakah reaksi kita kepada sikap tersebut, katanya, oksidentalisme dan orientalisme tidak boleh diletak pada satu aras yang sama.

"Kita tak jajah Barat, tak ada pengalaman itu," katanya yang menjelaskan Jepun punya pengalaman berbeza dalam menanggapi orientalisme.

Naratif nasional

Sambungnya, Jepun mempunyai naratif nasional yang kuat. Mereka, sama seperti yang disaran Dr Mahathir kepada kita, telah lebih dulu mengkaji Eropah namun dalam darjah keekstreman berbeza sehingga melahirkan konsep imperialisme mereka sendiri. Pengeboman Pearl Harbour, penjajahan Malaya adalah buktinya.

Mengiktibari kejadian tersebut dan respon kepada perkembangan semasa, Dr Murad menegaskan kepentingan mewujudkan satu naratif nasional yang dikongsi bersama oleh seluruh rakyat negara ini.

Ini kerana, jelasnya, sejak 20 tahun lalu, wujud pelbagai perspektif sejarah dari kumpulan-kumpulan etnik berbeza yang mencabar naratif sejarah arus perdana yang terkandung dalam teks-teks utama dan sejarah awam.

"Jepun punya naratif nasional yang kuat. Kita kelam kabut. Kerana Jepun kaji Eropah sehingga jatuh cinta dan benci sehingga jadi (peristiwa pengeboman) Pearl Harbour," katanya.

Bercakap kepada Suara Keadilan selepas acara, beliau menegaskan perlu ada persefahaman di mana semua pihak perlu bersetuju dengan satu sejarah yang membentuk satu naratif nasional. Sekarang, jelasnya, perkara tersebut tidak jelas kerana telah 'retak'.

"Semua pihak perlu akur kepada 'grundnorm' atau 'ground rule' (norma asas). Apabila kamu tinggal di satu tempat, kamu tertakluk kepada norma-norma asas tertentu. Dari 'grundnorm' ini kita akan bina semula negara bangsa."

"Kita perlu kembalikan naratif Malaysia," tegasnya dalam program anjuran Galeri Petronas dengan kerjasama Biro Penulis Muda Persatuan Penulis Nasional (PENA) itu.


*Disiarkan di Suara Keadilan isu 414


No comments: