Wednesday, March 13, 2019

Strategi perkauman Umno-Pas boleh hancurkan negara



Oleh HAIZIR OTHMAN

"Bahawasanya negara kita Malaysia mendukung cita-cita hendak: Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya..,"

Bagi yang mungkin telah lupa, di atas adalah petikan dari penyataan dokumen paling penting negara tercinta ini iaitu Rukun Negara. Bagi yang terlupa juga, Malaysia terbentuk daripada rakyatnya yang pelbagai kaum, bangsa, agama, dan keturunan.

Kita tidak dilahirkan sebagai satu bangsa tunggal dalam sebuah negara monoetnik atau mendukung fahaman fasis nazisme yang menganggap bangsa sendiri sebagai Aryan atau lebih unggul daripada bangsa lain.

Kita juga tidak mengambil pedoman bangsa Yahudi yang menggelar orang bukan Yahudi sebagai 'goyim' yang punya konotasi negatif malah penghinaan.

Tinggal bersama-sama dalam sebuah negara relatif kecil seperti Malaysia, satu-satunya pilihan yang kita ada adalah untuk hidup harmoni - mencari titik-titik persamaan, dan menjadikan perbezaan sebagai satu rahmat malah peluang untuk lebih kenal-mengenali sesama kita.

Manisnya perpaduan

Detik-detik perpaduan itu mungkin telah kita capai malah digenggam erat lewat Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, apabila anak semua bangsa telah berganding bahu melawan kemustahilan untuk mengubah tampuk pemerintahan negara yang korup.

Momen-momen ini telah dirakam dan diceritakan lewat medium yang pelbagai termasuk dokumentari dan filem, tentang kesungguhan rakyat negara ini melaksanakan demokrasi dengan pulang mengundi menerusi pelbagai inisiatif individu dan kumpulan seperti gerakan #UndiRabu, #PulangMengundi dan #CarpoolGE14.

Dirumitkan pemerintah lama dengan pemilihan hari mengundi pada Rabu, persempadanan semula yang tidak logik, status daftar pemilih meragukan, calon-calon HARAPAN dibatalkan kelayakan, sehinggalah kepada kertas undi pos tidak sampai, PRU14 digelar 'ibu segala PRU' oleh sebahagian khalayak.

Kita malah tidak lupa beratur panjang dalam cuaca panas selama berjam-jam menuju peti undi hanya kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) rejim lama melonggokkan pengundi atas pedoman aturan bos mereka lewat taktik gerrymandering. Parlimen Bangi dengan 178,790 pengundi dan Damansara dengan 164,322 pengundi adalah contoh pembahagian tidak adil ini.

Namun apa yang berlaku? Semua rintangan ini dapat diatasi dengan satu hati atas nama: Rakyat Malaysia.

Detik perpaduan itu malah lebih manis apabila ada yang menganjurkan untuk memakai pakaian kebangsaan pada hari mengundi, menjadikan suasananya seperti hari raya - demi meraikan hari demokrasi tersebut walaupun cuba direncatkan oleh penguasa lewat pelbagai kendala.

Semua cerita ini, adakah ia palsu atau direka-reka? Dan selepas segala penat-lelah ini, adakah kita ingin membuang sahaja manisnya perpaduan ini ke longkang?

Sayangnya, beberapa bulan selepas 9 Mei, kisah-kisah ini mahu dipadam dan digantikan dengan naratif baru perkauman sempit dibumbui fahaman pseudo-agama. Siapa lagi yang membawa agenda ini kalau bukan Umno dan Pas yang menerima kesan langsung dari perubahan yang dibawa rakyat lewat PRU14 lalu.

Setelah secara rasmi 'berkahwin' di PWTC minggu lalu, Umno dan Pas tidak perlu segan silu lagi menonjolkan imej ultra Melayu dan 'ala Taliban' mereka. Pendekatan ini pastinya bukan satu pilihan semasa MCA dan MIC masih kuat dalam BN pada era Pak Lah, atau semasa slogan "Pas for all" masih lantang berkumandang di bawah bendera Pakatan Rakyat dulu.

Namun, hadir situasi baru, pendekatan berbeza turut diambil dan nampaknya pada masa ini sentimen sempit kaum dan agama lebih mudah diapi-apikan berbanding mencari penyelesaian komprehensif terhadap isu yang wujud.

Bumi hangus

Maka apabila Liew Chin Tong mengaitkan pendekatan ini dengan strategi 'bumi hangus' seperti yang digunakan dalam peperangan, pandangan tersebut tidak harus dipandang sepi. Untuk rekod, cara ini pernah digunakan British semasa berundur dari Malaya akibat kemaraan tentera Jepun, dengan memusnahkan jambatan, landasan kereta api, ladang dan lain-lain.

Timbalan Menteri Pertahanan itu berkata kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) kini sedang diserang dari kanan dan kiri; Umno/Pas dari sayap Melayu manakala MCA dan MIC dari sayap bukan Melayu.

"Pendekatan ini bertujuan memastikan Malaysia sukar ditadbir kerana kerajaan terpaksa berdepan serangan kemarahan etnik dari kedua-dua pihak; Melayu dan bukan Melayu," tulis senator itu dalam laman webnya liewchintong.com.

Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong

Beliau turut melihat serangan ini mahu memecahkan gabungan pelbagai etnik HARAPAN dari dalam dengan menyukarkan golongan politik beraliran sederhana untuk bertahan akibat tuntutan bercanggah dari kedua-dua pihak tersebut.

Bagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusuf Rawa, Malaysia tanpa prejudis kaum adalah laungan di jalan raya dalam perhimpunan Bersih 1 hingga 5, malah dalam ceramah-ceramah politik saban malam sejak era Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat, dan Pakatan Harapan.

Mahu kehendak penentang idea Malaysia Baru dijauhi, Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata era baru yang terbentuk kini jadi kenyataan hasil pengorbanan masa, tenaga, dan diri para pejuang sejak tercetus gelombang Reformasi hujung 90-an, yang antaranya sehingga memenjarakan Saudara Anwar Ibrahim.

"Dua dekad ini sarat dengan pembentukan idea dan gagasan baru mencabar status quo.., namun apabila diuji permainan sentimen pihak lawan, kita gagal memahami apa yang pernah kita meterai," katanya.

Melihat 'perkahwinan' Umno dan Pas tidak lebih daripada sekadar retorik tanpa sebarang alternatif yang jelas, Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad menyifatkan kedua-dua parti itu telah menjadi parti politik kenegerian, bukannya bersifat nasional.

Jelasnya, ia berbeza dengan pendekatan bekas-bekas pemimpin mereka seperti Dato 'Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Dr Burhanuddin Helmy, Dato' Ustaz Fadzil Noor dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Mat yang bukan sahaja bekerjasama dengan masyarakat berbilang kaum, tetapi juga terkenal dengan integriti.

Anggota majlis pimpinan pusat KEADILAN itu turut melihat 'perkahwinan' mereka bukan semata-mata isu ideologi tapi didorong motivasi kewangan terutama selepas transaksi komersial antara kedua-duanya didedahkan baru-baru ini.


*Disiarkan di Suara Keadilan 413


No comments: