Wednesday, March 13, 2019
Srikandi watak penting dalam dan luar parti
Tahun 1998 akan terus dikenang sebagai detik penting dalam perubahan iklim sosiopolitik di negara kita. Peristiwa Reformasi, ditandai pemecatan Saudara Anwar Ibrahim dari kerusi nombor dua dalam hirarki tertinggi kepimpinan negara telah mencetus kebangkitan rakyat dari segenap lapisan masyarakat yang tersentak dengan keputusan itu.
Anak muda dari semua bangsa keluar dari kepompong selesa, turun ke jalan-jalan raya menjulang sepanduk perjuangan. Di antara mereka adalah kelompok wanita muda dari kumpulan umur belasan tahun dan awal dua puluhan - menyinsing lengan bersama-sama kumpulan besar rakyat dalam agenda reformasi.
Dan dalam kelompok ini hadir satu sosok wanita muda menjadi ikon perjuangan generasinya. Nurul Izzah Anwar, puteri sulung Bapa Reformasi, Saudara Anwar Ibrahim pantas diberi jolokan 'Puteri Reformasi' atas keberaniannya - pada usia 18 tahun, menongkah arus memperjuangkan nasib bapanya yang dipenjara.
Perjuangan Izzah membawanya ke seluruh pelosok tanah air, malah menyeberangi lautan bertemu pemimpin-pemimpin utama dunia. Kelincahan gadis muda ini, kepetahan berbicara, imej serta karismanya pantas memikat perhatian ramai - membentuk gelombang baru penyokong dan simpatisan.
Sehingga Parti Keadilan Nasional (Kini Parti Keadilan Rakyat, KEADILAN) tertubuh pada tahun 1999 di mana beliau sendiri adalah di kalangan pendirinya, gelombang ini terus menghasilkan tenaga sehingga mencabar parti pemerintah pada ketika itu, memaksa mereka meniru gaya KEADILAN dengan menubuhkan sayap wanita muda iaitu Puteri Umno tidak lama selepas itu.
Darah baru
Sebagai parti muda pada waktu itu, 'trend' dan budaya yang diperkenalkan KEADILAN boleh dibanggakan. Kelompok anak muda kini punya platform mengembangkan bakat dalam kepimpinan selain terlibat secara langsung dengan politik negara yang sebelum ini dikuasai para veteran dan "Old Guard" yang bergaya lama dan konservatif.
Peremajaan gerakan politik kepartian dirintis KEADILAN ini bukan sahaja bermanfaat buat parti malah negara lewat pemupukan bakat-bakat muda atau 'darah baru' yang lebih segar, bertenaga, punya idea kreatif dan kritis dalam arena politik tanah air - menyediakan mereka sebagai pemimpin masa depan.
Kelahiran sayap wanita muda, Srikandi pada tahun 2006 meneruskan tradisi ini, malah penubuhan platform rasmi sepertinya membuktikan keseriusan parti reformasi ini mengangkat dan mengiktiraf golongan wanita muda sehingga ke tampuk kepimpinan.
Tiga belas tahun selepasnya, Srikandi tetap punya peranan besar sebagai organ penting parti walaupun punya pasang surutnya dalam arus politik nasional. Namun kemenangan Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu melonjakkan semula tenaga para pendukungnya terutama selepas membantu parti meraih kerusi terbanyak di Dewan Rakyat di kalangan parti-parti gabungan.
Rapat Umum Pimpinan Pusat KEADILAN bersama Srikandi baru-baru ini di Petaling Jaya berhasrat menjulang semula kegemilangan para wanita muda seperti yang pernah dicapai kelompok ini pada tahun-tahun awal penubuhan parti walaupun sayap rasmi mewakili mereka belum lahir ketika itu.
Ketuanya, Nurainie Haziqah Shafie menzahirkan keyakinan Srikandi mampu ke hadapan bukan sahaja dalam membawa suara wanita muda malah menabur bakti kepada masyarakat.
Menegaskan penglibatan Srikandi bukan sekadar berpolitik dan berpilihan raya, peguam muda itu berkata, ia adalah platform melahirkan pemimpin wanita negara merentas bidang.
"Kita beri ruang awal kepada wanita sebelum berumur 18 tahun yang mahu kenal politik dan bergiat dalam gerak kerja bersama rakyat, untuk cungkil bakat mereka sebagai pemimpin masa depan," katanya kepada Suara Keadilan.
Jelasnya, Srikandi juga menjadi transisi atau jambatan kepada jurang generasi antara wanita muda dengan para senior yang sudah lama dalam politik.
"Saya yakin Srikandi dapat garap bakat muda. Selain jadi pemersatu dan tulang belakang parti, juga angkat agenda wanita muda di luar secara keseluruhan," katanya yang menggantikan bekas ketua Srikandi, Siti Aishah Shaikh Ismail.
*Disiarkan di Suara Keadilan 413
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment