Oleh HAIZIR OTHMAN, FAZLIN DHIRAH
Baru-baru ini tular di media sosial berkenaan bendera Malaysia yang dipasang secara terbalik dengan meletakkan bahagian bulan sabit dan bintang di bahagian bawah oleh sesetengah pihak tidak bertanggungjawab.
Insiden ini mencetuskan rasa tidak senang warga negara yang prihatin. Namun, apa yang lebih mendukacitakan ialah apabila ia melarat-larat sehingga dikaitkan dengan sentimen perkauman.
Pakar Perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari menyifatkan polemik bendera terbalik ini sebagai satu provokasi melampau dilakukan pihak pembangkang bagi memerangkap pentadbiran kerajaan kini.
"Isu bendera terbalik ini memang sengaja dicetuskan oleh puak-puak ekstremis, Umno dan Pas yang bertujuan untuk memerangkap kerajaan sekarang.
"Seperti yang kita lihat baru-baru ini, kes bendera terbalik berlaku di Kuantan, di mana pentadbirannya di bawah kerajaan Umno, bukan kerajaan kita," katanya ketika dihubungi.
Perlu akta Jalur Gemilang?
Terdahulu, Abdul Aziz yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains dan Alam Sekitar negeri Perak dalam satu kenyataan mencadangkan pihak kerajaan agar menubuhkan satu rang undang-undang khusus bagi menangani hal berkaitan Jalur Gemilang.
Beliau mengakui peruntukan undang-undang yang sedia ada masih tidak mencukupi dan kurang jelas secara keseluruhannya.
Justeru, melihat pada permasalahan ini, akta khas Jalur Gemilang harus dibentangkan di Parlimen dan ia perlu merangkumi penerangan yang terperinci.
"Dengan perkembangan yang berlaku ini, akta khas di Parlimen (perlu) dibentangkan, (menerangkan) apa warnanya, bagaimana nak pasang dan tindakan-tindakan yang boleh dijenayahkan seperti provokasi, biadap dan sebagainya," kata beliau dalam satu sidang media.
Polemik ini timbul apabila sebuah pusat pameran, jualan dan servis kenderaan di Sungai Isap, Kuantan dikenakan kompaun RM500 oleh Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) kerana didapati memasang dua Jalur Gemilang dalam keadaan terbalik.
Selain kompaun, surat amaran dan tunjuk sebab turut diberikan kepada pihak pengurusan premis terbabit bagi memastikan insiden serupa tidak berulang.
Susulan daripada itu, premis berkenaan bertindak menurunkan Jalur Gemilang tersebut dan mengeluarkan kenyataan permohonan maaf menerusi laman sosial Facebook (FB) rasmi mereka selepas mendapat kritikan hebat warga maya.
Manakala sebanyak 20 pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) di Perak, antaranya Jemaah Manjoi dan Pertubuhan Warisan Persahabatan Gugusan Manjoi turut membuat laporan polis berhubung kejadian yang sama.
Namun, terdapat sesetengah pihak yang membangkitkan isu lama untuk menimbulkan kemarahan orang awam, seperti yang berlaku di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban, di mana Jalur Gemilang yang dipasang secara terbalik sebenarnya berlaku pada 2016.
Hina lambang negara
Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir dalam perkongsian di laman FB miliknya berkata tindakan ini adalah satu bentuk penghinaan terhadap lambang negara.
"Isu-isu penghinaan terhadap Jalur Gemilang bermula dengan hasutan menukar warna putih bendera Malaysia kepada hitam di media sosial sebagai lambang protes terhadap kerajaan dan disusuli pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik.
"Sama ada ia dilakukan secara sengaja atau tidak, tindakan ini adalah tidak bertanggungjawab dan merupakan satu bentuk penghinaan terhadap lambang negara," katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, tindakan tidak wajar ini dilakukan oleh mereka yang tidak prihatin dan mempunyai semangat patriotisme yang lemah terhadap negara.
Senada dengan Aziz, Akmal turut menggesa agar diwujudkan akta khas berkaitan Jalur Gemilang bagi memastikan bendera kebanggaan negara terus dihormati dengan mengambil kira isu yang sering ditimbulkan sejak kebelakangan ini.
Walau bagaimanapun, Aziz menegaskan negara sebenarnya mempunyai masalah dan perihal lain yang lebih penting dan perlu diberi perhatian berbanding isu bendera kebangsaan terbalik.
Beliau berharap orang ramai tidak cepat melatah kerana perkara sebegini mudah disebarkan dan dipanaskan oleh sesetengah pihak yang cuba mencetuskan provokasi.
Hukum pesalah bendera
"Isu bendera terbalik ini adalah isu yang remeh-temeh dan tidak perlu dibangkitkan, dan negara kita ada banyak lagi masalah jenayah lain yang perlu diberi perhatian.
"Undang-undang negara kita ada cara dan hukumannya, bendera terbalik ini sama ada dilakukan dengan niat atau tidak, ianya tetap salah, kita tidak seharusnya terikut-ikut dalam perbincangan kelompok yang tidak tentu arah ini," ujarnya kepada Suara Keadilan.
Untuk rekod, negara-negara seperti Korea Selatan, Ukraine, Argentina dan Algeria mempunyai undang-undang tersendiri berkaitan menghina bendera negara, atau "flag desecration".
Menghina, mencemar, merendahkan martabat bendera negara diklasifikasikan sebagai jenayah di negara tersebut dan hukuman setimpal diberikan tanpa kompromi kepada mereka yang didapati bersalah.
Bendera terbalik juga merupakan salah satu kesalahan yang termasuk dalam terma 'flag desecration', oleh itu pelakuan menodai Jalur Gemilang tidak seharusnya dipandang sepi oleh pihak berkuasa.
Mereka yang melakukan kesalahan di bawah perbuatan menghina bendera negara seperti membakar, memijak, mengoyakkan, mempersendakan dan memasangnya tidak mengikut protokol perlu dihukum dan warga asing tidak terkecuali dari menjalani hukuman.
Selepas 62 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan hasil pengorbanan generasi terdahulu sejak zaman penjajahan sehingga menjadi sebuah negara maju yang berdaulat pada hari ini, nikmat tersebut seharusnya disyukuri dan diisi dengan semangat cintakan negara, antaranya termasuklah dengan menyayangi lambang negara seperti bendera Malaysia.
*Disiar di Suara Keadilan 425



No comments:
Post a Comment