Wednesday, September 04, 2019

Gojek, Dego Ride bakal 'pacu' kerjaya anak muda


Oleh HAIZIR OTHMAN, AINOR MAZIYYAH


Keputusan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) memberi 'lampu hijau' untuk melaksanakan perkhidmatan teksi berasaskan motosikal menerusi Gojek dan Dego Ride rancak diperkatakan sejak kebelakangan ini.

Bermula dengan kaji selidik di media sosial, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman komited memperkenalkan perkhidmatan teksi motosikal bagi memberi peluang menjana pendapatan kepada lebih 10,572 'mat motor' di negara ini.

Menyeru masyarakat memandang industri ini secara positif, beliau berkata langkah tersebut dapat membantu golongan muda yang mempunyai motosikal untuk membuat perniagaan kecil menggunakan mod kenderaan itu. 

Konsep perkhidmatan teksi motosikal bukanlah sesuatu yang baharu. Ia sudah popular di Jakarta dan beberapa ibu kota negara ASEAN. Gojek atau nama singkatannya 'ojek' di Indonesia merupakan perkhidmatan kedua tertinggi yang menjadi kegemaran rakyat negara republik itu selepas Grab.  

Jangan lupa, negara kita juga pernah mempunyai perkhidmatan teksi seumpama itu pada 2016, iaitu Dego Ride hasil cetusan idea anak tempatan.


3 bulan, 60 ribu pengguna

Bukan sahaja berjaya menggajikan lebih 1,500 'mat motor' dengan gaji RM1,500-RM3,500 dengan 85 peratus daripadanya anak muda, ia turut mencatatkan 60,000 pengguna hanya dalam tempoh tiga bulan dilancarkan. 

Walau bagaimanapun, perkhidmatan e-hailing motosikal yang pertama di Malaysia itu diharamkan daripada terus beroperasi atas faktor keselamatan pada 2017. 

Kebimbangan terhadap aspek keselamatan menjadi persoalan memandangkan kadar kemalangan motosikal di Malaysia merupakan paling tinggi dengan kadar maut yang cukup menggerunkan saban tahun. 

Mengulas perkara itu, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur, Ismail Mohd Zawawi berkata pihaknya mengambil maklum angka tinggi kemalangan jalan raya membabitkan penunggang motosikal di Malaysia.

Justeru beliau berkata, JPJ sedang menunggu kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) berhubung cadangan memperkenalkan perkhidmatan teksi motosikal e-hailing atau Gojek ini.

"Beberapa aspek perlu dipertimbangkan terutama dari segi peraturan yang ditetapkan iaitu lesen memandu dan cukai jalan. Berdasarkan statistik, penunggang motosikal didapati paling ramai tidak mempunyai lesen memandu dan cukai jalan."

“Jika dilihat pada pendaftaran kenderaan, sebanyak 60 peratus nombor pendaftaran baru setiap kali ia dibuka adalah milik motosikal. Jadi, jumlah motosikal di ibu negara sangat tinggi. Namun, JPJ menunggu kajian MIROS,” katanya. 


10 tahun, 3.77 juta nahas

Berdasarkan statistik tahunan dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), 73 peratus daripada jumlah kemalangan iaitu 5.17 juta nahas jalan raya melibatkan motosikal direkodkan dari 2008 sehingga 2017, bermakna 3.77 juta nahas datang dari kenderaan dua roda ini. 

Pada 2018 sahaja, hampir 70 peratus nahas jalan raya membabitkan motosikal daripada jumlah keseluruhan statistik sebanyak 548,598 nahas yang direkodkan secara keseluruhan.

Statistik angka kematian kemalangan jalan raya membabitkan penunggang motosikal membuktikan betapa seriusnya aspek keselamatan berkaitan perlaksanaan perkhidmatan e-hailing yang dijangka menjadi industri baharu dalam ekonomi Malaysia bermula suku pertama tahun hadapan itu. 

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Menteri Pengangkutan, Kamaruddin Jaafar dalam kenyataan ringkas memaklumkan Kementerian Pengangkutan sedang menunggu kajian persepsi yang dijalankan MIROS berhubung perlaksanaan mod pengangkutan berkenaan.  

Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan memberi jaminan bahawa mekanisme perlaksanaan pengangkutan awam baharu itu akan diteliti dengan mendalam dalam tempoh sebulan susulan persetujuan Kabinet untuk mewujudkannya.

Turut konsisten dalam perkara itu, Menterinya Anthony Loke Siew Fook yang dilapor sebagai berkata kerajaan memandang serius dan amat menitikberatkan isu keselamatan pengguna jalan raya berhubung perlaksanaan Gojek dalam negara. 

Katanya, pihaknya tidak akan berkompromi dalam isu membabitkan keselamatan dan laporan kajian hala tuju dan mekanisme perkhidmatan e-hailing motosikal akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri dalam tempoh sebulan.

"Kabinet sudah memberikan satu keputusan berprinsip untuk membenarkan perkhidmatan dan kita juga melihat ada banyak kebaikan yang dapat dijana daripada perkhidmatan itu.

"Namun, isu keselamatan harus dipandang serius dan banyak ciri-ciri keselamatan pengguna jalan raya bakal diperkenalkan dalam perkhidmatan ini," katanya dipetik.


Tak wajar kata tak Islamik

Tidak cukup dengan itu, kerajaan turut akan meneliti isu-isu lain termasuk insurans dan ketidaksesuaian budaya apabila pemandu lelaki membawa penumpang wanita yang dibangkitkan pelbagai pihak.

Justeru, satu mekanisme baharu bersesuaian bakal dibentuk seiring dengan pelaksanaan mod pengangkutan baharu berkenaan, yang dilihat mengundang sensitiviti masyarakat Muslim.

"Saya yakin kita akan ada satu mekanisme untuk membenarkan GoJek dilaksanakan tanpa mengguris hati mana-mana pihak. Apa yang lebih menjadi keutamaan adalah ciri keselamatan kepada penunggang dan penumpang," ujarnya. 

Menyentuh perkara itu dari perspektif agama, Pengarah Akademik Research Centre, Wan Ji Wan Hussin berkata beliau percaya kerajaan mempunyai penyelesaian bagi mengatasi isu  berkaitan ketidaksesuaian jantina antara penunggang dan pembonceng. 

"Saya kira, yang dimaksudkan Mufti Selangor melibatkan lelaki yang menunggang, sedangkan pemboncengnya wanita. Demikian sebaliknya. Jika itu masalahnya, saya kira tidak wajar dikatakan mutlak sebagai tidak Islamik. Sebab, ia boleh diatasi."

"Justeru, saya mencadangkan Gojek mensyaratkan tidak berlaku (percampuran) antara lelaki dan perempuan, tetapi dengan sesama jantina. Saya berpendapat, tidak wajar dihalang mutlak selama ada jalan untuk atasinya," ujarnya. 

Beliau mengulas kenyataan Mufti Selangor, Mohd Tamyes Abd Wahid yang menyifatkan langkah pengenalan perkhidmatan teksi motosikal seumpama Gojek tidak Islamik dan tidak sopan selain boleh mengundang fitnah terhadap lelaki dan wanita yang bukan muhrim. 

Menurutnya, bagi mengelakkan tuduhan fitnah berkenaan, adalah lebih elok ditiadakan perkhidmatan Gojek itu.

Pelaksanaan mod pengangkutan baharu ini menerima sokongan padu kebanyakan anggota Kabinet berikutan ia dijangka membawa kebaikan kepada pertumbuhan ekonomi, industri kecil sederhana dan e-dagang di negara ini. 


*Disiar di Suara Keadilan 425

No comments: