Sebagai badan semak dan imbang pentadbiran kerajaan, peranan Parlimen sebagai entiti bebas amat penting dalam sebuah negara demokrasi. Mencapai usia 60 tahun bulan ini, Parlimen Malaysia menjalani reformasi sebaik Pakatan Harapan (HARAPAN) mengambil-alih pemerintahan. Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon menceritakan proses yang berlaku serta cabaran-cabarannya. Ikuti wawancara Ahli Parlimen Batu Pahat ini dengan wartawan Suara Keadilan, Ainor Maziyyah Rahim bersama-sama jurugambar, Yuisriah Yusof di pejabatnya di Parlimen baru-baru ini.
SK: Apa perkembangan reformasi parlimen sehingga kini?
Rashid: Reformasi Parlimen sudah berjalan lebih setahun. Kita mula persidangan pertama pada Julai. Dari segi sistem, perancangan sudah 100 peratus. Pelaksanaan kira-kira 60 peratus, antaranya pewujudan Jawatankuasa Pilihan Khas.
Kita buat perbandingan dengan Westminster dan negara-negara yang amalkan demokrasi. Jawatankuasa ini beri ruang kepada Ahli Parlimen (MP) untuk bantu kementerian-kementerian. Misalnya, dari segi kesaksamaan, keselamatan dan sebagainya.
Kita sasarkan 17, kini sudah ada 10 yang telah dibentang dan diluluskan dengan tujuh daripadanya aktif. Setakat ini kita tidak minta bajet tambahan, masih guna bajet sedia ada.
Reformasi Parlimen paling besar ialah mengembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen. Tahun 1992, akta ini dimansuhkan. Parlimen hanya dianggap seperti satu kementerian lain. Kita ada 26 kementerian maka Parlimen yang seolah-oleh kementerian ke-27. Itu tidak betul. Kita sudah wujudkan kepimpinan di peringkat Parlimen dipengerusikan Tan Sri Mohamad Arif (Yang Dipertua Dewan Rakyat). Paling mutakhir kita telah buat Suruhanjaya. Baru-baru ini telah buat draf kepada Perdana Menteri untuk diulas.
Parlimen bukan sahaja bantu peraturan perjalanan di kalangan MP, malah bantu kementerian. Jadi boleh semak pelbagai benda. Itulah yang disebut bahawa Parlimen mempunyai autonomi sendiri untuk buat reformasi.
Selain dari ikut statut akta ini, kita juga beri ruang kepada Kaukus Parlimen. Kaukus ini tidak statut. Ia dibawa Saudara Anwar Ibrahim untuk wujudkan ruang dapatkan pandangan pemimpin bukan sahaja kerajaan, malah pembangkang untuk berbincang dan dapatkan maklumbalas.
Dalam konsep reformasi Parlimen, kita buat satu Konvensyen. Di situlah kita dapatkan idea NGO, badan antarabangsa dan MP luar negara untuk mengemaskan lagi pentadbiran dalam mereformasikan Parlimen. Akta ini dalam draf terakhir, dan akan dilihat sekali lagi hujung bulan ini. Penasihat undang-undang juga telah putuskan baru-baru ini.
Ia jadi buah mulut MP seluruh dunia, contohnya, Australia dan UK sangat berminat untuk tahu bagaimana kita laksanakan reformasi Parlimen; bermula dengan HARAPAN tumbangkan Umno-BN.
SK: Di Parlimen UK, pembangkang mereka hampir setaraf dengan menteri. Relevan atau tidak laksanakan di sini?
Rashid: Memang kayu ukur kita dari Westminster. Di sana peringkat awalnya House of Lord, di sini House of Senate. Namun dalam bab itu pun, mana-mana negeri kita tidak boleh tiru betul-betul seperti itu. Kita perlu lihat kesesuaiannya di peringkat negara kita sendiri.
Ikut manifesto HARAPAN, kita sudah berikan peluang tertentu dari segi hak sama rata kepada pembangkang. Penggal dahulu ada ketika dipanggil ibarat 'equal partner'. Namun kini belum lagi. Kita masih guna terma 'pembangkang'.
Kita telah beri ruang mengikut manifesto kita. Contohnya PAC, Ketua diberi kepada pembangkang, kemudian Timbalannya barulah kepada backbencher kerajaan.
Kami sebagai Speaker pun ketika perbahasan mengikut statut dalam buku, beri peluang. Dalam perbahasan, kalau mula dengan kerajaan, penanya atau pembahas mesti dari pembangkang. Speaker kalau beri 30 minit pertama backbencher, maka 30 minit juga diberi kepada pembangkang.
Kita beri ruang pembangkang mainkan peranan yang sama, namun untuk tahap menteri, itu belum lagi. Itu terpulang kepada bagaimana HARAPAN melihat keberkesanannya. Kalau ada dasar baik yang mereka bawa untuk membina negara, itu bagus.
Namun kalau pembangkang hanya sekadar membangkang, bukan bona fide untuk membangunkan negara, itu rakyat faham.
SK: Bersediakah Parlimen laksana proses pengundian tidak mengikut kecenderungan parti seperti model Wesminster?
Rashid: Di peringkat Parlimen setakat ini dalam dewan, memang kita buka. Kerajaan akan cadangkan dan pembangkang ada ruang kemukakan cadangan. Memang kita ambil semua yang boleh mengundi. Tidak ada beza MP pembangkang dan backbencher untuk membuat pengundian.
Pada masa sama, kita beri ruang dalam perbahasan, misalnya isu MA63. Cuma mereka yang tak yakin dalam isu ini dan mereka diilusikan dengan cara pemerintahan lama. Sebenarnya kita ikhlas namun mereka tidak dapat memahaminya.
Turunkan umur mengundi juga sama, kita beri peluang. Seolah-olah kerajaan sekarang bila buka umur 18 tahun, kita beri ruang pertambahan 7 juta pengundi yang kita tidak tahu dia akan undi siapa. Itu satu perjudian juga.
Dalam semangat untuk mempraktikkan hak setara kepada pembangkang, kita beri ruang secukupnya. Siapa yang dapat mempengaruhi, maka akan berjaya. Tidak seperti Umno-BN dahulu; persempadanan pun dia nak menangkan dia sahaja.
Masa MA63 memang ada mengikut blok masing-masing. Setakat ini dalam interaksi kami dengan pembangkang, sebagai pentadbir, bila ada ruang untuk kita pergi ke Persatuan Parlimen Komanwel (CPA), kita tidak ambil parti kerajaan sahaja. Kita ambil ikut nisbah.
Parti-parti pembangkang ikut sama. Mereka boleh perkenalkan diri mereka dari pembangkang di sana. Kita hormati setiap ahli Parlimen itu sebagai wakil rakyat.
SK: Bagaimana guna pengalaman sebagai Timbalan Ketua Menteri (TKM) Pulau Pinang sebelum ini untuk berkhidmat sebagai MP Batu Pahat kini?
Rashid: Mula-mula memang saya nak teruskan sebagai TKM untuk penggal kedua sebagai wakil KEADILAN. Namun ada perancangan untuk kita menang di Johor. Pimpinan cari calon orang Johor termasuk Menteri Besar Selangor sekarang (Amirudin Shari), orang Pontian.
Sampai minit terakhir, saya bersama-sama keluarga termasuk anak cucu berjumpa Kak Wan Azizah di Segambut. Ketika itu Saudara Anwar masih di penjara, saya bertanya kepada Kak Wan, dia kata dah bincang dengan Saudara Anwar dan saya boleh kembali untuk bantu Johor sebagai 'front line state' untuk KEADILAN, walaupun bukan mudah nak ubah.
Saya sudah biasa jadi ADUN sewaktu di Pulau Pinang. Sebagai Ahli Parlimen, kita perlu buat semua. Saya biasakan diri turun padang bukan sahaja di Batu Pahat malah seluruh Johor.
Baru-baru ini, kepercayaan diberikan kepada saya untuk selesaikan dua cabang yang tidak dapat rasmi jadi cabang. Saya dilantik jadi wakil MPP di Tanjung Piai dan Mersing. Ada satu isu di Labis namun sudah selesai. Ia satu kepuasan buat saya.
Menjelang kongres akan datang, saya harap Tanjung Manis dan Igan dapat jadi cabang yang sah. KEADILAN satu-satunya parti yang mempunyai penuh cabangnya di semua 222 parlimen di Malaysia. Saya puas hati kerana tugas yang diberi dapat dilaksanakan dengan baik.
SK: Kongres Nasional KEADILAN hujung tahun ini, bagaimana persediaan Johor tanpa Pengerusi selepas peletakan jawatan Hassan Karim?
Rashid: Johor walaupun tidak mempunyai Pengerusi namun parti melantik pemangku, Jimmy Pua. Saya akan bantu, kita mahu memanfaatkan kongres ini kerana ia penting. Saya selalu dapatkan perkembangan dari Ketua Cabang Johor tentang perkembangan mereka.
Pastikan semuanya teratur kerana kita sudah cukup semuanya. Malah, Setiausaha, Saudara Naim yang akan membantu memastikan MPN Johor terurus dengan baik. Bagi pihak KEADILAN Johor sendiri, saya membantu mana-mana Ketua Cabang yang baharu agar mereka tahu prosedurnya.
Saya rasa akan sesuai dalam semua keadaan, saya tidak suka 'project' diri saya sangat. Namun sekiranya ada keperluan, saya sedia mengisi mana-mana ruang kosong yang boleh membantu KEADILAN sebagai parti peneraju dalam HARAPAN. Namun setakat ini saya tidak terbuka lagi. Saya kekal dengan MPP.
SK: Dilaporkan keahlian KEADILAN menghampiri sejuta orang. Bagaimana urus jumlah yang besar ini?
Rashid: Penting untuk kita terus membuat kempen pertambahan ahli. Namun pada masa sama, pengurusan keahlian penting. Kita memang ada beberapa isu seperti ahli hilang kerana sistem dinaiktaraf dan sebagainya.
Baru-baru ini ada usul di cabang saya untuk melihat kembali keahlian sedia ada. Ada ahli lama yang namanya tidak ada dalam sistem sedangkan dia bekas ketua cabang di sana. Ia perlu dlihat semula tetapi isu-isu ini tidak boleh menjejaskan pertambahan ahli. Dengan teknologi sekarang, sepatutnya keahlian lebih mudah.
Pengalaman saya mengendalikan cabang baharu, ada yang mempunyai dua keahlian. Saya harap hanya keahlian terbaharu diambil, misalnya terbaru dia jadi ahli KEADILAN maka dia perlu isytihar bahawa dia keluar parti lama. Ini kerana dalam beberapa tahun lepas, ada golongan oportunis.
SK: Bagaimana atasi isu perkauman yang boleh jejaskan sokongan kepada HARAPAN PRU akan datang?
Rashid: Isu perkauman ini memang dibawa atau diteruskan semula oleh Umno. Dia gunakan isu ini untuk mengaburi Pas. Jadi di bawah sana dia menggunakan perkauman. Kalau dalam pilihan raya tidak mungkin kerana kita tahu bahawa Malaysia ini berbilang kaum.
Yang terbaik ialah HARAPAN perlu mantapkan lagi idea bahawa Malaysia ini adalah untuk seluruh bangsa. Jadi kita pun sudah banyak kali. Agong pun titah jangan cetuskan huru-hara dan mulakan bibit isu perbalahan perkauman.
Saya seru kepada Umno dan Pas bahawa perkauman ini hanya akan menyempitkan lagi pembangunan Malaysia secara global. Parti juga perlu waspada terutama bila sudah jadi kerajaan di sana ada jabatan yang berkaitan. Contohnya hal-ehwal agama di bawah negeri masing-masing. Walaupun ada JPM yang uruskan hal ini.
Dalam KEADILAN, kita tidak memilih warna kulit. Dari 2008 hingga 2013, YB Sim Tze Tzin jadi ADUN Pantai Jerejak, Pulau Pinang. Apabila beliau bertanding Parlimen pada 2013, saya menggantikannya di sana.
YB Sim berbangsa Cina dan Pantai Jerejak, kawasan itu majoriti Cina. Pada awalnya sukar, namun setelah mereka melihat keupayaan saya sebagai jurutera, anak semuanya profesional, dalam kalangan orang Cina dia tengok itu sudah cukup. Dia nampak ada kredibiliti.
Saya juga laksanakan tugas dengan agak baik sebagai Ahli Majlis selama 3-4 tahun. Itu adalah peluang berinteraksi dengan masyarakat.
Satu istimewa tentang Pulau Pinang ini, di sana bukan NGO Islam sahaja malah NGO Aliran, First World Group Indian Chinese Chamber of Commerce dan sebagainya, menjadikan saya lebih mirip membantu masyarakat majmuk.
Ada orang kata saya terlalu positif. Ya, saya tegaskan kita semua ada peluang yang sama, sama ada Melayu, Cina atau India. Bila kita ada autoriti dalam politik, kita olah untuk bawa kepada kesejahteraan.
Didikan dan interaksi saya dengan masyarakat berbilang kaum. Sampai hari ini bila nak bawa parti politik berasaskan perkauman saya tidak boleh terima langsung.
Orang Cina dan India, asasnya semua lahir dalam bangsa itu namun kita tidak boleh menzalimi antara satu sama lain. Berasaskan ayat al-Quran, 'Wahai manusia, kamu dijadikan lelaki, perempuan, bersuku dan berbangsa tujuannya untuk kamu saling mengenali antara satu sama lain.'
Jangan layan isu perpecahan!
Menjelang Kongres KEADILAN Nasional Disember ini sebagai penutup kepada konvensyen-konvensyen di peringkat negeri yang dijalankan lebih awal, Rashid mahu peluang tersebut digunakan untuk menyatupadukan parti.
Tidak mahu lagi wujud kem-kem tertentu, beliau mahu ahli melihat gambaran yang lebih besar. KEADILAN, katanya, perlu wujud hanya sebagai satu kem.
"Pandangan boleh berbeza namun apabila telah dibuat keputusan, kita bergerak sebagai satu pasukan. YB Zuraida pun ada sebut untuk kita berbaik-baik. Saya dalam mode itu. Kalau ada orang tanya saya kem mana, saya tidak akan jawab. Saya di atas semua ini."
"Untuk kongres, kalau ada usul yang memecahkan KEADILAN berdasarkan kumpulan tertentu, kita jangan layan. Pandang ke hadapan kerana KEADILAN dan parti komponen HARAPAN yang lain adalah parti kerajaan. Sangat banyak tugas yang perlu dilakukan," katanya.
Persepsi kewujudan 'kem-kem' dalam KEADILAN jelas Rashid, sangat penting untuk diatasi, malah sebenarnya beliau melihat antara kedua-dua 'kem' yang wujud, saling memerlukan antara satu sama lain.
"Saudara Anwar perlukan Azmin untuk pimpin KEADILAN. Begitu juga sebaliknya. Namun majoriti melihat wujud kem tertentu dalam kepimpinan tertinggi. Fakta tetap fakta. Kita perlu bersatu," kata Ketua Cabang KEADILAN Batu Pahat itu.
KEADILAN Johor perlu 'luar biasa'
Buat pertama kali, Johor 'jatuh' ke tangan parti selain Umno-BN. Dalam PRU-14 lalu, HARAPAN menguasai 36 daripada 56 kerusi DUN, dan 18 daripada 26 kerusi Parlimen. Berjaya 'menakluk' tujuh daripada lapan kerusi parlimen yang ditandingi, KEADILAN hanya tewas di Sembrong, namun menang di Johor Bahru, Pasir Gudang, Ledang, Batu Pahat, Tebrau, Segamat, dan Sekijang.
Bagi memanfaatkan situasi itu, Rashid mahu KEADILAN menjuarai isu rakyat di Johor dan tidak hanya hadir ke parlimen tanpa persediaan.
"Kita ada tujuh orang Ahli Parlimen (MP) KEADILAN di Johor. MP perlu buat dengan cara yang luar biasa sikit. Selama 60 tahun MP sudah selesa dan terbiasa, ingat hanya perlu datang begitu sahaja ke Parlimen. Kita tidak mahu budaya itu. Kita mahu MP KEADILAN Johor selalu turun padang dan adakan sesi Townhall."
"Pertanian, perikanan, kewarganegaraan, ini semua isu besar tapi di bawah sangat nyata. Saya minta mereka turun padang, bawa staf bertemu rakyat di Felda, Felcra sebagainya. Kumpul maklumat dan bawa ke Parlimen," ujarnya.
Rashid turut mengingatkan ahli parlimen agar menggunakan Kamar Khas di Parlimen untuk bertanya apa jua isu secara khusus kepada mana-mana kementerian.
"Kementerian akan jawab serta-merta dalam Kamar Khas dalam apa jua isu. Mereka akan buat penyelidikan dan beri jawapan," katanya.
*Disiar di Suara Keadilan 426


No comments:
Post a Comment