Oleh HAIZIR OTHMAN, FAZLIN DHIRAH
"Sekarang kita tanya diri sendiri, wajah siapa yang kita bawa?"
Itu antara soalan penuh emosi diutarakan Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOAM), Tijah Yok Chopil berhubung jati diri rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa dan agama.
Persoalan ini hanya dapat dirungkai sendiri oleh setiap individu masyarakat mengembalikan kita kepada dasar perlembagaan yang memperuntukkan perpaduan sebagai asas dalam membina jati diri bangsa Malaysia.
Tijah membayangkan masyarakat masih terjerat dalam konteks pemikiran sempit, berasa paranoid serta terancam dengan orang lain, kumpulan atau organisasi yang cuba menganiaya dan mendatangkan kemudaratan kepadanya, walhal ia tidak berlaku.
Oleh itu, polemik mempertahan kepentingan etnik dan suku kaum masing-masing timbul dan ini dilakukan tanpa mempedulikan bangsa dan kaum yang lain.
Simbah minyak ke api
"Kebelakangan ini banyak isu perkauman yang dimainkan di media sosial dan secara tidak langsung wujud satu unsur kepentingan diri dalam mempertahankan kaum sendiri."
"Setiap kaum bangun dan merasakan mereka lebih bagus dari yang lain, lalu wujud persaingan sehingga menyebabkan rakyat Malaysia berpecah-belah, dan ini tidak harus berlaku," katanya dalam Forum Aspirasi Malaysia: Realiti & Jalan Ke Depan yang bertempat di Dewan Sekretariat ABIM Pusat, Gombak baru-baru ini.
Forum tersebut hadir pada masa tepat pada ketika kita sedang dalam 'mood' sambutan Hari Malaysia yang berlangsung pada 16 September 2019, meraikan penyertaan Sabah dan Sarawak bersama-sama Malaya membentuk negara baru, Malaysia, 56 tahun lalu.
Pada masa sama, sejak kebelakangan ini bara perkauman sering sahaja ditiupkan pihak-pihak tidak bertanggungjawab atas kepentingan politik sempit mereka, terutamanya selepas Pakatan Harapan (HARAPAN) berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei tahun lalu.
Memecahkan tembok perkauman atas nama agama, HARAPAN menyeru anak semua bangsa dalam negara ini membuat perubahan besar menyingkirkan pemimpin yang terpalit dengan budaya negatif rasuah dan kleptokrasi sehingga menjejaskan nama negara di mata dunia.
Namun, sejak 9 Mei hingga kini, apa yang dihidangkan kepada rakyat oleh pihak yang kalah ialah dakwaan tidak berasas ancaman bangsa Melayu dan agama Islam sedang diancam. Lebih buruk, isu sensitif perkauman dimainkan termasuklah ke peringkat mengungkit peristiwa berdarah 13 Mei 1969.
Mengulas isu perkauman ini, Tijah berkata masalah ini dipanaskan lagi apabila terdapat segelintir golongan tidak bertanggungjawab menjadikan isu ini sebagai medan perdebatan untuk meraih sokongan, seperti menyimbah minyak ke api.
Kenyataan berbaur hasutan secara tidak langsung menyebabkan seseorang berubah menjadi taksub terhadap bangsanya sendiri, mendorong kepada perpecahan dengan menjadikan perbezaan sebagai alasan.
Hakikatnya katanya, Malaysia adalah sebuah negara yang penuh keunikan dan keindahan tersendiri, dicorakkan dengan kepelbagaian kaum, bangsa dan agama.
Kepelbagaian harta berharga
Justeru katanya, teras utama bagi mencapai perpaduan dan kesatuan adalah mengamalkan sikap bertolak ansur antara kaum dan saling menghormati adat resam dan cara hidup kaum lain, serta ini perlu disematkan dalam diri setiap rakyat Malaysia.
Senada dengan Tijah, salah seorang ahli panel forum, Rev Fr. Clarence Devadass turut menyokong bahawa kepelbagaian bangsa dan kaum perlu dihargai dan diberi layanan sama rata jika ingin lahirkan warganegara yang cintakan negara.
Beliau yang merupakan Pengarah Catholic Research Center (CRC) berkata kepelbagaian menjadi harta paling berharga kerana ia merupakan sumber kekuatan negara dan menjadi kerangka yang kuat bagi membentuk idealisme kesatuan bangsa.
"Untuk raikan kesatuan kita kena raikan kepelbagaian dengan cara menghargai satu sama lain, kerana terdapat kekuatan di dalamnya."
"Walaupun kita semua berbeza dan berasal dari keturunan yang berlainan, tapi kita semua masih sama, rakyat Malaysia. Yang memisahkan kita hanya dari segi luaran," ujarnya.
Forum Aspirasi Malaysia mengupas isu hubungan antara masyarakat Malaysia yang berdepan dengan pelbagai cabaran dan tribulasi, serta bagaimana masyarakat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang perlu menghadapi sentimen berkaitan bangsa dan agama.
Forum anjuran bersama badan bukan kerajaan (NGO) Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Community Action Network (CAN), dan CRC itu turut menampilkan Setiausaha Agung ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz, Penyelaras Program Pusat KOMAS, Addy Samsudin dan Felo Penyelidik Utama, Institut Kajian Etnik (KITA), Dr. Ong Puay Liu sebagai ahli panel.
Bagi Faisal, salah satu faktor utama berlakunya jurang perbezaan yang luas antara kaum adalah kewujudan sistem pendidikan sekolah vernakular.
Jelas beliau, individu yang dibesarkan dalam kelompok dan kaum tersendiri sejak kecil tidak berkembang dari segi pergaulannya dengan kaum lain dan perkara ini dapat dilihat dengan pemisahan antara pendidikan kebangsaan dengan pendidikan berasaskan kaum.
Kesan pendidikan vernakular
Berbanding sekolah kebangsaan, sekolah vernakular hanya akan menggunakan bahasa ibunda kaum majoriti sahaja dan ini menyebabkan bahasa kebangsaan disisihkan, lalu masalah komunikasi antara kaum akan timbul.
"Cara nak selamatkan hal ini adalah melalui penggabungan bersama kaum dan bangsa lain kerana mereka yang hidup dalam kelompok dia sahaja, tidak bercampur akan berasa itu satu kemenangan dan kemegahan buat dia sendiri," katanya.
Selain itu jelasnya, ibu bapa berperanan penting dalam membentuk personaliti seseorang kerana mereka adalah individu awal mendidik anak-anak untuk lebih bersikap terbuka terbuka dengan mereka yang berbeza warna kulit, agama serta bangsa.
"Ibu bapa bertanggungjawab mendidik anak-anak mereka agar lebih bersosial dengan kumpulan etnik yang lain dan membentuk sikap tidak terlalu kritikal terhadap kaum lain," tambahnya.
Faisal turut menyentuh penularan berita-berita palsu tanpa tapisan individu menyebabkan fitnah berleluasa termasuklah melibatkan isu perkauman. Ini jelasnya, mendatangkan kemudaratan kepada negara dan boleh mengancam keselamatan awam.
Beliau memetik ayat al-Quran berkaitan yang meminta sebarang berita diperiksa terlebih dahulu agar tidak berlaku keburukan.
“Hai orang-orang yang beriman,jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu," (Al Hujurat: 6)
Usaha penganjuran forum tersebut perlu dipuji kerana menggabungkan barisan panel dari pelbagai kaum dan etnik di negara ini; Melayu, Cina, India, Serani, dan Orang Asli. Malah dalam konteks agama, ia melibatkan penganut agama Islam, Buddha, Hindu, Kristian dan animisme.
Kebersamaan mereka dalam satu forum menunjukkan kesediaan berkongsi platform yang sama untuk menyuarakan pandangan masing-masing, dan berdialog tanpa sebarang rasa prejudis. Inilah yang dilihat menjadi asas kepada pembentukan bangsa Malaysia yang bersatu-padu dan hormat-menghormati antara satu sama lain.
*Disiar di Suara Keadilan 426

No comments:
Post a Comment