Wednesday, September 04, 2019

Buka mahkamah syariah kepada bukan Islam

Oleh HAIZIR OTHMAN

Sementara itu, pengamal undang-undang, Hanif Khatri Abdulla berpandangan pindaan yang perlu dibuat adalah supaya mahkamah syariah, selain menguruskan kes melibatkan orang Islam,  perlu dibuka untuk mengadili kes-kes melibatkan orang bukan Islam.

Ini kerana jelasnya, dalam banyak kes, orang bukan Islam terlibat secara langsung dengan urusan orang Islam contohnya apabila salah seorang dari pasangan suami atau isteri memeluk agama Islam.

"Apabila ini berlaku, orang bukan Islam terpaksa pergi ke mahkamah sivil walaupun ada hak mereka yang bertindan dengan hak orang Islam dalam hukum tertentu (yang dirujuk ke mahkamah syariah)."

 "Contohnya, apabila salah seorang (suami atau isteri) memeluk Islam, bagaimana kedudukan perkahwinan mereka, agama anak, hak jagaan anak, cara mengurus jenazah apabila mereka meninggal dunia dan lain-lain?," katanya ketika dihubungi.

Haniff Khatri Abdulla

Jelasnya, apabila kita membuka mahkamah syariah kepada bukan Islam, bukan bermakna mereka memeluk agama Islam, sebaliknya itu adalah hak mereka untuk diadili di sana.

"Memang betul mahkamah syariah untuk orang Islam, tapi apabila berlaku pertindanan hak orang Islam dengan orang bukan Islam, maka mereka perlulah diadili (bersama-sama)," katanya.

Menyedari kesukaran merealisasikan cadangan ini, beliau mencadangkan penubuhan jawatankuasa kecil yang diberi tempoh tertentu bagi mengkaji semua pertindanan hak yang berlaku antara orang Islam dengan bukan Islam, dengan melihat pilihan yang ada.

"Jika secara praktikalnya sukar, boleh adakan mahkamah hibrid, iaitu mahkamah pertengahan antara mahkamah syariah dengan sivil, untuk mengadili kes-kes bertindan."

Katanya, jika pindaan dapat dilakukan, ia akan dapat menyelesaikan banyak perkara melibatkan kepentingan kedua-dua orang Islam dan bukan Islam.

"Jangan sapu masalah hubungan orang Islam-bukan Islam di bawah karpet seperti dilakukan kerajaan lalu. Itu tindakan bacul," katanya.


*Disiarkan di Suara Keadilan 425

No comments: