Oleh HAIZIR OTHMAN, RIDZUAN ANWAR
Bulan ini Parlimen Malaysia bakal menginjak usia ke-60 tahun, selepas ditubuhkan secara rasmi pada 12 September 1959. Sepanjang tempoh tersebut, institusi ini seharusnya punya pengalaman luas dalam menjalankan fungsinya dalam sebuah negara demokrasi seperti Malaysia.
Lebih-lebih lagi selepas negara ini menyaksikan berlakunya perubahan kuasa buat pertama kali dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tahun lalu, peranan Parlimen dilihat semakin penting dalam mencorakkan perjalanan demokrasi di sini.
Pakatan Harapan (HARAPAN) selepas mengambil-alih kuasa dari Barisan Nasional (BN) dan membentuk kerajaan, bersungguh-sungguh melaksanakan agenda Reformasi Parlimen demi memulihkan peranan institusi demokrasi terpenting ini yang sejak sekian lama tercalar imej dan reputasinya.
Antara cabarannya ialah meletakkan semula kedudukan Parlimen di tempatnya yang betul; menggubal undang-undang negara selepas melalui proses-proses tertentu, bukan lagi sebagai 'cap getah' atau 'rubber stamp' yang berfungsi hanya mengeyakan segala hasrat parti pemerintah.
Untuk merealisasikannya, salah satu 'kerja' penting yang perlu dibuat ialah menerapkan kesedaran demokrasi kepada rakyat, kerana di tangan merekalah perubahan - seperti yang telah dibuktikan pada detik 9 Mei 2018 lalu, berlaku.
Parlimen kini 'hidup'
Bertempat di Institut Darul Ehsan (IDE), Shah Alam 22 Ogos lalu, berlangsung satu program pendidikan dan kesedaran demokrasi atas nama Wacana Kemerdekaan: 60 Tahun Parlimen, Isu dan Cabaran dalam Pembinaan Negara Bangsa.
Menyingkap tabir sejarah, parlimen bermula sebagai sebuah institusi perundangan penjajah untuk membuat undang-undang Federal Council pada 1909, kemudian ditambah baik menjadi Majlis Mesyuarat Perundangan Persekutuan pada tahun 1948 sehinggalah negara mencapai kemerdekaan sebelum berlangsungnya Mesyuarat Pertama Parlimen pada 11 September 1959.
Peranan institusi Parlimen pernah digantung pada 1969 selepas mengalami kegagalan apabila fungsi dan peranannya sebagai sebuah institusi rakyat untuk semak dan imbang tidak dapat dijalankan akibat daripada situasi darurat ketika itu.
Namun setahun kemudian, pada 1970 Parlimen dibuka semula dan memperlihatkan bagaimana ahli-ahli Parlimen mula mengamalkan sikap tidak bertentangan.
Ahli Dewan Negara, Senator Haji Ismail Yusop yang berperanan sebagai moderator dalam program Wacana Kemerdekaan itu mengakui perubahan berlaku terhadap Parlimen apabila menyifatkan institusi itu pada hari ini lebih 'hidup' berbanding dahulu.
Ismail berkata, reformasi yang dilaksanakan kerajaan HARAPAN membawa nafas baharu kepada Parlimen apabila tidak lagi menjadi sebuah badan eksklusif sebaliknya melibatkan orang awam dalam pelbagai aktivitinya.
"Saya lihat kesedaran yang meluas ini (berlaku) sejak kerajaan baru mengambil-alih. Nampaknya Parlimen lebih 'hidup' di mana sentiasa ada program tidak kira persidangan pada hari biasa mahupun hujung minggu."
"Sebelum ini orang ramai melihat Parlimen sebagai tempat eksklusif, nak masuk pun susah. Di luar negara, Parlimen jadi tempat bukan sekadar memilih wakil rakyat, tapi (rakyat) turut terlibat dalam proses libat urus sepanjang sesi Parlimen berlangsung," katanya dalam program tersebut.
Malaysia negara, bukan bangsa
Dengan kata lain, anggota Jawatankuasa Reformasi Parlimen Dewan Negara itu menegaskan sebagai negara yang mengamalkan doktrin pengasingan kuasa seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Parlimen memainkan peranan penting untuk menjadi badan semak dan imbang kepada kerajaan.
Jika diamati istilah 'Malaysia sebuah negara demokrasi berparlimen, raja berperlembagaan', Ismail yang juga Ketua Kluster Pembinaan Bangsa dan Jaringan Antarabangsa, IDE menjelaskan ia membawa pengertian mendalam meskipun kurang dibicarakan kepada orang ramai secara langsung melalui proses pendidikan politik.
Pengerusi Tetap Kongres Nasional KEADILAN itu menekankan perlunya proses pemikiran baru di kalangan rakyat untuk melahirkan warga yang lebih cerdas pemikiran demokrasinya dan mewujudkan masyarakat yang terlibat secara aktif dalam demokrasi dan bernegara.
Pensyarah Kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Muhammad Sayuti Hassan mengakui proses ke arah pembentukan negara bangsa perlu dilaksanakan dan melibatkan seluruh rakyat bagi meletakkan bangsa dan negara setaraf dengan bangsa negara lain.
Jelasnya, isu membabitkan pembinaan negara bangsa pernah dibahaskan di Parlimen, namun jumlahnya boleh dianggap kecil lantas menzahirkan kerisauannya kerana menganggap ia satu isu penting yang perlu diperhalusi di dewan tertinggi negara itu.
"Merujuk pandangan Prof D. Abdul Rahman Embong, jika ditinjau dari segi sejarah, bangsa Malaysia adalah satu konsep baharu bagi rakyat berbilang kaum di negara ini. Apabila Malaya diisytiharkan merdeka pada 1957, maka yang lahir adalah sebuah negara. Bukan bangsa."
"Begitu juga apabila Malaysia terbentuk pada 1963, yang kita miliki hanyalah sebuah negara Malaysia, tetapi bangsa itu menjadi cabaran," katanya dalam program tersebut.
Ketua pembangkang calon perdana menteri
Dr Sayuti turut menggariskan beberapa panduan Ahli Parlimen dalam membina negara bangsa antaranya sebagai pembuat undang-undang, meluluskan belanjawan, tugas semak dan imbang, dan sebagai perwakilan.
Beliau turut menghargai usaha kerajaan HARAPAN melakukan reformasi Parlimen melalui penubuhan sistem jawatankuasa pilihan, menginstitusikan pembangkang, mengembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen dan lain-lain dalam mempertingkatkan kuasa autonomi badan tersebut.
Punya pandangan serupa, seorang lagi pembentang, Idzuafi Hadi Kamilan melihat usaha membawa reformasi Parlimen Malaysia telah lama dilakukan dalam usaha menjadikan institusi tersebut badan perundangan dan tempat perbincangan berkesan seperti berlaku di negara maju seperti United Kingdom, Australia dan lain-lain, namun hanya baru-baru ini usaha ini dilihat lebih agresif.
"Sepanjang tempoh enam tahun lalu, kita menganggap pembangkang hanyalah pembangkang. Kita tidak pernah menganggap ketua pembangkang sebagai prime minister in waiting (calon perdana menteri) yang akan jadi perdana menteri apabila kerajaan bertukar."
"Di sesetengah negara, dalam tempoh hanya dua-tiga tahun, kerajaan bertukar dua-tiga kali. Sebab itu mereka amat menghormati ketua pembangkang. Persepsi yang perlu dibetulkan untuk menjadi negara maju adalah pembangkang selamanya akan jadi pembangkang."
"Di negara kita sendiri, ketua pembangkang yang lalu (Dr Wan Azizah Ismail) kini jadi Timbalan Perdana Menteri," katanya yang menyebut ketua pembangkang juga merupakan ketua kabinet bayangan.
Signifikan ketua pembangkang menyebabkan ia perlu dilantik sebagai ketua Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), langkah reformasi yang kini dilaksanakan kerajaan HARAPAN namun tidak terealisasi kerana keengganan ketua pembangkang sendiri, Ahmad Zahid Hamidi menyaksikan ia diserahkan kepada Roland Kiandee sebelum dijawat Dr Noraini Ahmad selepas Roland menyertai kerajaan.
Mengakui masih banyak perlu dilakukan dalam reformasi Parlimen, Idzuafi walau bagaimanapun memuji kerajaan negeri Selangor yang telah lebih dulu melaksanakan reformasi di peringkat dewan undangan negeri terutamanya dalam mengiktiraf ketua pembangkang negeri dari segi pemberian kemudahan, gaji dan sebagainya.
*Disiar di Suara Keadilan 425


No comments:
Post a Comment