Oleh HAIZIR OTHMAN
Tiada angin, tiada ribut, tiba-tiba sahaja timbul polemik kemelut politik di Selangor sehingga kononnya menggoncang kedudukan Menteri Besarnya, Amirudin Shari.
Ia susulan dakwaan cadangan beliau untuk mengusulkan pindaan enakmen Islam di negeri itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor tidak mendapat "lampu hijau" dari Speaker Dewan, Ng Suee Lim apabila Ng bertindak memendekkan sidang DUN kepada dua hari, 31 Julai lalu.
Cadangan pindaan enakmen tersebut melibatkan penukaran agama anak-anak bawah umur 18 tahun secara sepihak.
Pada masa ini, enakmen tersebut menyebut anak berusia 18 tahun ke bawah perlu mendapat kebenaran "ibu dan bapa" sebelum memeluk Islam. Cadangan pindaan adalah untuk mengubahnya kepada "ibu atau bapa", selari dengan apa yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan.
Langkah MB, dan tindakan Speaker yang dilihat tidak sekata kemudiannya dijadikan modal politik pihak-pihak tertentu terutamanya pembangkang untuk mencetuskan persepsi bahawa pentadbiran negeri Selangor sedang berada dalam kegawatan.
MAIS perlu jelaskan
Lebih jauh, ditimbulkan pula cerita palsu wujud komplot untuk menjatuhkan Amirudin dari kerusi Menteri Besar (MB) selain percubaan MB untuk menukar Speaker kepada orang lain. Hakikatnya, ia hanyalah rekaan semata-mata dari golongan tertentu yang berniat tidak baik, seperti ditegaskan Setiausaha Pakatan Harapan negeri, Borhan Aman Shah beberapa minggu lalu.
Kalau pun ada, ia hanyalah "ribut dalam cawan" yang tidak sampai ke tahap menggoncang kerusi Menteri Besar, atau menukar kedudukan Speaker atau exco. Sebaliknya, apa yang berlaku lebih banyak disebabkan kurang kefahaman pihak-pihak terlibat lantaran tiada penjelasan tuntas dari pihak yang mengemukakan cadangan.
Pengamal undang-undang, Fadhlina Sidek menyerahkan kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk memberi penjelasan terhadap pindaan enakmen tersebut kerana cadangan ini berasal dari mereka, susulan keputusan fatwa negeri Selangor yang pernah diputuskan sebelum ini.
Bercakap kepada Suara Keadilan, beliau yang terlibat dalam sidang meja bulat berkenaan isu tersebut di Institut Darul Ehsan (IDE) bulan lalu menyatakan rata-rata para Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor sendiri masih tidak memahami isi kandungan cadangan tersebut menyebabkan ia kurang mendapat sambutan.
"Berlaku banyak salah faham dalam isu ini kerana tidak dijelaskan sebaiknya. Adun sendiri pun tak dapat maklumat (lengkap)," katanya.
Jelasnya yang juga Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), orang ramai keliru dengan isu ini yang berlingkar sekitar peruntukan Perlembagaan Persekutuan dengan keputusan terkini Mahkamah Persekutuan kes Indira Gandhi tahun lalu.
Menurutnya, secara asas, keputusan penghakiman terhadap kes Indira Gandhi adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan sama ada ibu ATAU bapa menentukan agama anak mereka yang berusia bawah 18 tahun.
Namun, disebabkan ia masih baru berlaku tahun lalu, ia dijadikan rujukan meluas walhal masih ada satu lagi kes, juga di Mahkamah Persekutuan pada tahun 2007 melibatkan R Subashini lawan T Saravanan yang menyaksikan mahkamah memutuskan bahawa seorang ibu atau bapa boleh menukar agama anak mereka kepada Islam.
"Oleh yang demikian, setakat ini keputusan penghakiman adalah satu sama. Tiada satu keputusan yang boleh mengatasi satu keputusan yang lain," katanya.
"Dan" lawan "Atau"
Untuk rekod, dalam kes Indira Gandhi pada Januari tahun lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan keputusan kedua-dua ibu dan bapa perlu dimiliki bagi menentukan status agama tiga orang anak mereka yang pada waktu itu kesemuanya berusia bawah 18 tahun.
Walau bagaimanapun, Fadhlina berpandangan apa yang lebih penting adalah kebajikan anak yang terlibat dalam kes tersebut haruslah terpelihara, tidak kiralah sama ada peruntukan "ibu dan bapa" atau "ibu atau bapa" yang digunakan.
Dalam kes Indira Gandhi lawan Ridhuan Abdullah, Fadhlina menyatakan keputusan hakim tetap dibuat berdasarkan dua ciri penting Islam iaitu 'adalah (keadilan) dan syura (perbincangan).
Beliau yang terlibat aktif dalam badan bukan kerajaan (NGO) kemasyarakatan menegaskan semua pihak berkepentingan sama ada jabatan kerajaan, masyarakat, atau individu seharusnya memainkan peranan masing-masing sebelum menyerahkan urusan kepada pelaksana undang-undang, yang harus jadi langkah terakhir.
Tegasnya, kefahaman terhadap cara mengurus isu masing-masing selepas berlaku perceraian harus ditingkatkan di kalangan pasangan yang terlibat, malah katanya, dalam Islam juga ada jalan keluar untuk menyelesaikan isu hak penjagaan anak-anak tanpa melibatkan perceraian.
Ditanya apa kewajaran kerajaan negeri cuba mengangkat cadangan ini jika kedua-dua peruntukan boleh digunakan untuk memberi keadilan kepada pasangan, beliau menyerahkan urusan tersebut kepada kebijaksanaan kepimpinan.
"Saya tak bersetuju jika dikatakan langkah ini adalah usaha untuk memenangi undi orang Melayu," jawabnya ketika ditanya.
Sementara itu, pembantu Exco Hal Ehwal Islam dan Pendidikan Negeri Selangor yang juga Ahli Mesyuarat MAIS yang baru dilantik, Mohd Zawawi Mughni ketika dihubungi enggan mengulas isu berkenaan sebaliknya menyerahkan semuanya kepada kepimpinan tertinggi negeri.
Apabila ditanya adakah cadangan ini akan dibawa ke persidangan DUN akan datang, Adun Sungai Kandis itu juga tidak memberi sebarang kepastian.
Buka mahkamah syariah kepada bukan Islam
Sementara itu, pengamal undang-undang, Hanif Khatri Abdulla berpandangan pindaan yang perlu dibuat adalah supaya mahkamah syariah, selain menguruskan kes melibatkan orang Islam, perlu dibuka untuk mengadili kes-kes melibatkan orang bukan Islam.
Ini kerana jelasnya, dalam banyak kes, orang bukan Islam terlibat secara langsung dengan urusan orang Islam contohnya apabila salah seorang dari pasangan suami atau isteri memeluk agama Islam.
"Apabila ini berlaku, orang bukan Islam terpaksa pergi ke mahkamah sivil walaupun ada hak mereka yang bertindan dengan hak orang Islam dalam hukum tertentu (yang dirujuk ke mahkamah syariah)."
"Contohnya, apabila salah seorang (suami atau isteri) memeluk Islam, bagaimana kedudukan perkahwinan mereka, agama anak, hak jagaan anak, cara mengurus jenazah apabila mereka meninggal dunia dan lain-lain?," katanya ketika dihubungi.
Jelasnya, apabila kita membuka mahkamah syariah kepada bukan Islam, bukan bermakna mereka memeluk agama Islam, sebaliknya itu adalah hak mereka untuk diadili di sana.
"Memang betul mahkamah syariah untuk orang Islam, tapi apabila berlaku pertindanan hak orang Islam dengan orang bukan Islam, maka mereka perlulah diadili (bersama-sama)," katanya.
Menyedari kesukaran merealisasikan cadangan ini, beliau mencadangkan penubuhan jawatankuasa kecil yang diberi tempoh tertentu bagi mengkaji semua pertindanan hak yang berlaku antara orang Islam dengan bukan Islam, dengan melihat pilihan yang ada.
"Jika secara praktikalnya sukar, boleh adakan mahkamah hibrid, iaitu mahkamah pertengahan antara mahkamah syariah dengan sivil, untuk mengadili kes-kes bertindan."
Katanya, jika pindaan dapat dilakukan, ia akan dapat menyelesaikan banyak perkara melibatkan kepentingan kedua-dua orang Islam dan bukan Islam.
"Jangan sapu masalah hubungan orang Islam-bukan Islam di bawah karpet seperti dilakukan kerajaan lalu. Itu tindakan bacul," katanya.
*Disiar di Suara Keadilan 425



No comments:
Post a Comment