Wednesday, September 18, 2019

Pencen: bukan hapus sekarang!


Oleh HAIZIR OTHMAN, AINOR MAZIYYAH 


Menjelang 2020, kerajaan mungkin tidak lagi mengambil kakitangan tetap dan berpencen dalam perkhidmatan awam, sebaliknya digantikan dengan skim lantikan kontrak yang ditambah baik. 

Skim lantikan kontrak baru itu, yang kini sedang diperhalusi, dijanjikan bakal menawarkan gaji serta kebajikan, perlindungan dan jaminan yang lebih baik berbanding skim sedia ada pada masa ini. Keputusan kerajaan yang masih di peringkat penelitian itu dimaklumkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Borhan Dolah awal bulan ini. 

Beliau memberi jaminan, lantikan kontrak yang berkemungkinan dilaksana kerajaan berkenaan akan lebih dinamik dengan generasi Y, iaitu memberi mereka opsyen untuk keluar daripada perkhidmatan awam dengan mudah selepas berkhidmat untuk tempoh tertentu.

Malah, skim itu juga tertakluk di bawah Akta Perkhidmatan Awam yang melindungi kepentingan penjawat awam, tidak kira berstatus tetap atau kontrak, dalam memastikan perkhidmatan mereka tidak ditamatkan dengan mudah jika tidak terbukti bersalah.

Untuk rekod, kenyataan beliau dikeluarkan beberapa hari sebelum beliau bersara wajib 6 September lalu.


Tidak jejas penjawat awam sedia ada

Perlu diingat, cadangan skim baharu menggantikan skim pencen dan tetap itu tidak akan melibatkan penjawat awam sedia ada sebaliknya hanya akan melibatkan lantikan baharu sahaja, kata Ketua Setiausaha Negara, Dr Ismail Abu Bakar. 

Meskipun hangat dibahaskan pelbagai pihak, katanya, keputusan sama ada untuk melaksanakan cadangan tersebut atau memerlukan penambahbaikan hanya berkemungkinan diketahui pada tahun hadapan.

Sementara itu, merujuk kepada perkataan 'mungkin' itu, Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan sedang mencari jalan terbaik berhubung cadangan baharu di dalam perkhidmatan awam bagi memastikan ia tidak merugikan penjawat awam.

Katanya, tiada sebarang keputusan dibuat berkenaan cadangan itu dan ia belum dibincangkan di peringkat kabinet.

Beliau walau bagaimanapun menarik perhatian tentang hakikat bahawa bayaran pencen ketika ini sudah menjadi begitu besar.  

Terdahulu, cadangan berkenaan diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa khas pembaharuan perkhidmatan awam yang mahukan perkhidmatan awam dikecilkan secara berfasa dan berdasarkan keperluan, selain mengurangkan bebanan pencen yang kini mencecah RM28 bilion. 

Untuk rekod, jumlah pesara kerajaan yang ketika ini dianggarkan hampir 800,000 orang dijangka meningkat kepada 1.5 juta orang pada 2050 nanti.

Dengan mengekalkan skim pencen, kerajaan perlu memperuntukkan perbelanjaan untuk bayaran kepada pesara sebanyak RM100 bilion, menjelang 2050. 

Sebagai respon kepada cadangan berkenaan, Presiden Kelab Pesara Kerajaan Malaysia (Kupekmas), Omar Osman mencadangkan gaji dan caruman penjawat awam dinaikkan seiring dengan cabaran kehidupan serta kos sara hidup yang semakin meningkat, seandainya skim lantikan tetap dan berpencen mahu dimansuhkan kelak.


Pertimbang mekanisme terbaik

Beliau dilapor berkata, kerajaan harus menaikkan gaji penjawat awam sekali ganda dan caruman pekerja pada kadar sembilan peratus untuk pekerja dan 11 peratus untuk kerajaan selaku majikan. 

"Caruman ini juga perlu kelaskan mengikut kluster perkhidmatan iaitu bagi mereka yang sudah berkhidmat lebih daripada 15 tahun, caruman majikan perlu lebih," katanya.

Hal itu bagi memastikan penjawat awam tidak berdepan dengan masalah kewangan berikutan mempunyai simpanan mencukupi apabila pencen nanti, jelasnya. 

Mengulas isu sama, Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh berkata kerajaan harus melaksanakan kajian menyeluruh berkaitan skim pencen dan tetap sektor perkhidmatan awam sebagaimana dilaksanakan di negara lain.


Meskipun memahami skim pencen diperlukan sebagai bentuk penghargaan kepada penjawat awam, namun katanya kaedah pelaksanaan terbaik harus dipertimbangkan kerajaan.

"Perlu lihat sama ada dasar ini secara umum boleh memberikan manfaat kepada kerajaan dan negara pada jangka masa panjang. Kalau kita lihat kajian di negara lain, ada yang sudah ubah dari segi pendekatan. Ada yang potong, ubah skim dan sebagainya."

"Untuk Malaysia, apakah kaedah dan cara yang terbaik? Menaikkan gaji memang betul, namun kalau mengakibatkan ramai di kalangan yang lepas bekerja tidak menyimpan, menabung dan melabur hingga akibatkan ramai yang jatuh miskin tidak boleh juga," katanya.

Jelasnya, kerajaan perlu membuat libat urus (engagement) dengan para pemegang taruh terutamanya para penjawat awam sendiri sebelum membuat sebarang keputusan bagi mengelakkan berlaku kejutan.

"Kita juga perlu buat rundingan dan dialog bersama dengan pihak berkepentingan terutamanya penjawat awam. Jadi tidak ada pengumuman secara mengejut yang sebenarnya boleh menjejaskan kepercayaan penjawat awam kepada kerajaan. Ini perlu dielakkan, saya bimbang," katanya kepada Suara Keadilan. 

Katanya, skim kontrak yang sedang dipertimbangkan kerajaan itu juga dilihat sebagai keputusan tidak popular yang mampu menimbulkan rasa tidak puas hati, terutamanya kepada penjawat awam. 


Jangan terpengaruh Najib Razak

Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN itu pada masa yang sama menasihati masyarakat untuk tidak terpengaruh dengan tuduhan dilemparkan bekas perdana menteri, Najib Razak yang menyatakan bahawa kerajaan HARAPAN tidak membela nasib penjawat awam berbanding kerajaan terdahulu.

Katanya, bekas pemimpin Umno yang dibelenggu puluhan tuduhan rasuah itu sengaja mencari kesalahan kerajaan kini berhubung cadangan yang masih di peringkat pertimbangan itu. 

"Tuduhan itu datang dari seorang bekas perdana menteri yang dalam keadaan tertekan. Dia cari sumber yang dia rasa bermasalah dalam kerajaan sekarang. Itu kita biarkan dan memang cara dia," katanya.

Baru-baru ini dalam satu ceramah di Bukit Gambir dekat Tangkak, Johor, Najib menuduh kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) gagal membela nasib penjawat awam berbanding zaman pentadbirannya.

Najib, walaupun berdepan tuduhan kes-kes berkaitan salah laku sekitar skandal 1MDB yang masih dibicarakan di mahkamah, aktif 'menyerang' apa sahaja langkah-langkah kerajaan, terutamanya lewat media sosial.

Menyangkal dakwaan tersebut, Syed Ibrahim berkata kerajaan HARAPAN tidak mengesampingkan para penjawat awam, sebaliknya mereka diberi penghargaan lewat pelbagai inisiatif seperti bonus dan sebagainya.

"Penjawat awam ini antara yang masih tetap dihargai dan diberikan bonus dan sebagainya sekarang. Ini masih lagi berlaku. Saya tidak nampak isu antara kerajaan lama dan dahulu. Sama sahaja polisinya, tidak banyak berubah," ujarnya.

Cadangan serta hasrat untuk menukar skim lantikan pencen dan tetap sedia ada ini walau bagaimanapun, bukanlah dikemukakan buat pertama kali ketika kerajaan ditadbir HARAPAN.

Pada 2010, di bawah pentadbiran bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi, kerajaan terdahulu mencadangkan langkah ini menerusi Skim Kaedah Persaraan Bercarum seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) namun dibantah Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).


Perlu kajian menyeluruh

Pakar ekonomi, Prof Dr Barjoyai Bardai berkata keputusan memansuhkan skim pencen penjawat awam bagi mengurangkan beban kewangan negara perlu dikaji secara menyeluruh.

Ini kerana jelasnya, langkah itu dilihat tidak membantu memulihkan belanjawan kerajaan dalam tempoh yang singkat.

“Keputusan untuk membatalkan skim pencen ini bukanlah satu keputusan yang mudah dan ia tidak dapat membantu belanjawan kerajaan serta-merta. Dalam jangka panjang, 10 atau 15 tahun mungkin boleh menolong sedikit (kewangan kerajaan)."


“Tetapi kita perlu membuat perbandingan yang lebih komprehensif dan lebih mendalam bagi menentukan mana satu yang lebih baik. Teruskan dengan melaksanakan skim pencen atau hapus dan gantikan dengan tambahan gaji sebagai contoh,” katanya, lapor Sinar Harian.

Tambah Dr Barjoyai, sudah tiba masanya kerajaan memperkasakan pengurusan dana Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) agar mampu untuk menampung bayaran pencen setiap bulan.


*Disiar di Suara Keadilan 426

No comments: