Tuesday, August 28, 2018

Masa untuk HARAPAN selesaikan isu tanah rizab Melayu

Oleh HAIZIR OTHMAN, MUSTAQQIM FAUZI

Isu pemilikan tanah terutamanya melibatkan tanah rizab Melayu selamanya jadi isu sensitif di negara ini. Hakikatnya, ia punya kompleksiti tersendiri membabitkan bidang kuasa antara kerajaan persekutuan dengan negeri yang perlu dirungkai segera jika mahu urusan ini punya jalan penyelesaian.

Namun, apa yang lebih penting adalah keikhlasan pemimpin dalam memastikan falsafah dan objektif pengisytiharan rizab Melayu itu terpelihara.

Kenyataan Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji dalam Wacana Sinar Harian ke-70 di Dewan Karangkraf 20 Ogos lalu membayangkan jalan keluar kepada isu ini.

Ahli parlimen Raub itu menyatakan komitmen kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk melindungi dan menyeragamkan enakmen tanah yang kini berada di bawah kuasa kerajaan negeri.

Menurutnya, beliau akan membawa usul penyeragaman tersebut kepada kerajaan pusat untuk diputuskan melalui kabinet.

"Belum ada satu mekanisme standard yang dibuat oleh kerajaan negeri di negara ini berkaitan isu tanah rizab."

"Walaubagaimanapun, saya akan ketengahkan cadangan untuk menyeragamkan enakmen tanah di negeri-negeri. Tetapi apa pun ia terpulang kepada Kabinet untuk meluluskannya," katanya dalam program tersebut.


Rasuah punca susut 

Di sebalik kerumitan bidang kuasa melibatkan undang-undang, 'penyakit' sebenar isu ini sebenarnya adalah gejala rasuah sehingga menyebabkan tanah rizab Melayu semakin menyusut, melalui pembatalan hak milik atau dipindah tanpa diganti semula. 

Pendedahan ini dibuat bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Nika Ujang yang mendakwa berlaku salah guna kuasa pada semua peringkat menyebabkan penyusutan tanah rizab Melayu gagal dibendung, walaupun telah wujud dasar dan enakmen berkaitan.

"Kuasa membatal atau menukar status tanah rizab Melayu terletak di tangan eksekutif di setiap negeri. Malangnya, kuasa yang ada disalahgunakan. Malah, rasuah bermula dari peringkat atasan hingga bawahan," katanya dalam satu forum seperti dipetik media.

Mengulas isu salah guna kuasa dalam kes tanah, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan serta Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi negeri Selangor, Rodziah Ismail berkata ia sememangnya meresahkan kerana kerajaan negeri punya kuasa amat besar dalam urusan tanah. 

"Pihak berkuasa negeri berhak membuat apa jua keputusan tetapi keputusan itu harus bersandar kepada undang-undang tanah kerajaan negeri."

"Undang-undang menentukan pihak berkuasa negeri berhak membuat keputusan, tetapi apa yang berlaku banyak keputusan bercanggah dengan dasar maka banyaklah rizab-rizab Melayu ini dijual," katanya mengulas apa yang berlaku dalam pentadbiran lalu di Selangor sebelum diambil-alih Pakatan Harapan.

Jelasnya, matlamat pewartaaan Enakmen Rizab Melayu perlu difahami supaya tidak berlaku pencabulan status tanah rizab Melayu untuk apa jua tujuan.

"Kita perlu faham penubuhan asal Enakmen Rizab Melayu ini untuk menjaga kepentingan supaya rizab-rizab Melayu ini terbela," katanya kepada Suara Keadilan.


Maklumat tanah

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Tiga itu, Selangor melaksanakan sistem pemerolehan maklumat berkaitan tanah di negeri tersebut sejak 2010 lagi.

"Selangor telah mengamalkan 'freedom of information' (kebebasan maklumat) selama ini, jika mereka memerlukan maklumat ini mereka akan langsung mencapainya."

"Ia diwujudkan dengan Pejabat Tanah untuk inventori semua jenis tanah di Selangor, kami dapat lebih jelas berapa jumlah tanah yang tinggal."

"Kemudian kami buat Bank Data, dengan itu kami dapat lihat pergerakan tanah-tanah rizab Melayu ini," jelasnya.

Tambahnya, kesungguhan kerajaan menjaga hak tanah tidak terhad kepada orang Melayu malah kepada penduduk pribumi Orang Asal.

"Begitu juga tanah rizab Orang Asal, jika mereka tentukan hak tanah mereka jadi kerajaan harus wartakan tanah tersebut. 

"Penjualan hak milik boleh berlaku tetapi dalam kalangan Orang Asal sahaja," ujarnya.


Tanah diambil perlu diganti

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar negeri Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, penggantian dalam bentuk tanah perlu diberikan untuk setiap tanah rizab Melayu yang diambil.

Menurutnya, ia bertepatan dengan matlamat Enakmen Rizab Melayu yang mahu orang Melayu kekal menguasai tanah-tanah milik mereka.

"Enakmen Rizab Melayu menyatakan bahawa jika terdapat pengambilan tanah rizab Melayu, tanah itu wajib diganti semula.

"Jumlahnya mesti sama dari sudut keluasan dan undang-undang," ujarnya.

Katanya, pada masa ini kerajaan negeri Johor memberikan dua pilihan dalam penganugerahan geran tanah baru kepada orang Melayu iaitu pajakan 60 tahun dan 99 tahun.

"Jumlah bayarannya masing-masing 15 dan 30 peratus dari harga tanah seperti yang ditentukan Jabatan Penilaian Negara," jelasnya.

Menurutnya, tanah rizab Melayu di negeri tersebut tidak dikorbankan di sebalik pembangunan yang dibuat kerajaan, sebaliknya akan dikembalikan kepada orang Melayu.

"Contohnya, kita menubuhkan GLC Perbadanan Islam Johor dan anak syarikatnya PIJ Property Development Sdn Bhd (PIJ Property) yang menyediakan projek perumahan Taman Perbadanan Islam, fokus kepada rizab Melayu 100 peratus."

"Lokasi projeknya dua di Johor Bahru dan satu di Batu Pahat," jelasnya.


*Disiar di Suara Keadilan 389

No comments: