Oleh HAIZIR OTHMAN, AINOR MAZIYYAH RAHIM
Pengumuman Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari bahawa kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM1.499 bilion bagi mengurus bekalan air bersih di negeri itu seharusnya membuka mata semua pihak.
Beliau berkata demikian dalam program Pelancaran Pelan Induk dan Forum Kelestarian Sumber Air Negeri Selangor di Hotel Holiday Villa, Subang Jaya minggu lalu.
Belanja tersebut walaupun digunakan dalam tempoh empat tahun dari 2016 hingga 2020 (purata kira-kira RM 375 juta setahun), jumlahnya masih relatif besar.
Kos tinggi yang digunakan untuk mengurus bekalan air bersih seharusnya tidak dipertikaikan kerana kepentingannya, namun yang jadi persoalan adalah: adakah kita menggunakan air dengan cukup berhemah?
Dalam program sama, Amirudin menyinggung kadar penggunaan air yang tinggi di kalangan rakyat Malaysia, tertinggi di rantau Asia Tenggara. Menurutnya, kadar penggunaan bagi setiap individu di Malaysia adalah sebanyak 250 liter sehari, jauh lebih tinggi daripada kadar yang dicadangkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) iaitu sebanyak 165 liter sehari.
Sebagai perbandingan, rakyat Singapura menggunakan 170 liter air sehari, manakala Thailand sebanyak 90 liter sehari.
Air percuma wajar?
Fakta yang disebut Amirudin meninggalkan sekurang-kurangnya dua perkara untuk difikirkan. Pertama, apakah aktiviti yang dilakukan rakyat Malaysia sehingga mencatatkan angka setinggi itu?
Dan kedua, adakah penggunaan air yang agak terlalu tinggi di sini ada kaitan dengan dasar pemberian air percuma yang diperkenalkan kerajaan negeri Selangor sejak 2008, dan sedang cuba dicontohi beberapa negeri lain?
Untuk rekod, Selangor melaksana dasar pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu kepada rakyat negeri itu sebaik sahaja Pakatan Rakyat (kini Pakatan Harapan) mengambil-alih pentadbiran dari Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac 2008.
Mencari jawapan kepada soalan ini, Suara Keadilan (SK) mendapatkan respon dari Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar.
Dalam maklum balas bertulis kepada SK, kementerian beliau mengakui hakikat bahawa beberapa kerajaan negeri sedang merancang untuk memberi air percuma kepada rakyat. Untuk rekod, negeri-negeri yang sedang berbuat demikian (selain Selangor) adalah Johor, Perak dan Kedah.
Beza ikut negara
Walaubagaimanapun, kementerian menjelaskan sehingga kini tidak ada kajian menunjukkan pemberian bekalan air percuma 20 meter padu (kuantiti dalam lingkungan Band 1) kepada pengguna boleh menyebabkan pembaziran air.
Bahkan jelas kenyataan tersebut, ada pengguna mendakwa mereka menggunakan kemudahan tersebut secara berhemah agar dapat mengelak daripada membayar bil air.
Maklum balas itu malah menyatakan perbandingan kadar LCD (unit pengiraan penggunaan domestik per kapita sehari, litre/capita/day) dengan WHO secara terus adalah tidak sesuai tanpa mengambil kira faktor seperti tahap pembangunan, keadaan cuaca, dan budaya berbeza antara negara/rantau termasuk ketersediaan sumber air di negara-negara terbabit.
Tanpa menafikan jawapan 'selamat' tersebut, para pengguna seharusnya punya kesedaran tinggi dalam mengurus bekalan air bersih dengan mengambil kira faktor kewaspadaan jika timbul saat krisis seperti yang pernah berlaku di Selangor pada bulan Mac lalu.
Malah pengumuman Amirudin di Dewan Undangan Negeri Selangor bulan lalu bahawa kerajaan negeri akan menilai semula tarif air dan pemberian air percuma harus dilihat dari perspektif keselamatan dan kelangsungan bekalan air bersih untuk jangka masa panjang, bukannya bermotif politik.
Pelan berdepan bencana
Kepentingan mengurus bekalan air bersih secara lestari akan lebih disedari saat kita berdepan krisis. Dalam hal ini, negara kita bernasib baik, dianugerah Tuhan berada di luar kawasan Lingkaran Api Pasifik, kawasan berlakunya kira-kira 90 peratus gempa bumi di sekitar Lautan Pasifik.
Berbeza dengan negara jiran, contohnya Indonesia bulan lalu yang dilanda gegaran berkekuatan 7.5 magnitud disusuli gelombang tsunami membadai kepulauan Palu di Sulawesi, mengorbankan 2,200 orang dan menyebabkan lebih 220,000 lagi kehilangan tempat tinggal. Bencana itu telah mengakibatkan mereka berdepan krisis bekalan air bersih.
Ditanya mampukah kita menyediakan bekalan air bersih kepada rakyat sekiranya ditimpa bencana serupa, kementerian berkata jika berlaku bencana, para operator air akan mengaktifkan Pelan Tindakbalas Kecemasan (Emergency Response Plan, ERP). Semasa pemulihan, operator akan mengagihkan air dengan menggunakan simpanan air terawat di kolam, dan air dalam paip agihan sementara kerosakan infrastruktur dibaiki dan bantuan luar sampai ke tempat kejadian.
Selain itu, jelasnya, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah menandatangani memorandum persefahaman dengan semua operator air di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan; di mana mereka bersetuju memberi bantuan kepada mana-mana pihak yang berdepan krisis melalui lori tangki, tangki statik, jentera, peralatan, tenaga kerja dan sebagainya.
Namun, keadaan ini juga bergantung kepada kecukupan pembekalan air terawat yang ditentukan melalui kadar rezab margin bekalan air di setiap negeri yang perlu mencapai 10 hingga 15 peratus. Berhubung perkara ini, peranan pengguna adalah kritikal demi memastikan rezab air tidak berkurang lewat pembaziran.
Krisis air global
Sebagai latar belakang, kementerian menjelaskan sehingga Disember tahun lalu Malaysia mempunyai 509 buah loji rawatan air yang mampu mengeluarkan 16,884 juta liter sehari (JLH), dengan rezab margin sebanyak 14.3 peratus.
Para operator air tertakluk di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655), dan mereka perlu mengemukakan Pelan Perniagaan 3 Tahun bagi setiap tempoh operasi. Pelan tersebut juga mempunyai Indeks Prestasi Utama (KPI) rezab bekalan air yang perlu dicapai.
Namun di sebalik langkah tersebut, menginsafi peristiwa di Palu, kita barangkali tidak boleh terlalu lama berada di zon selesa dengan mengguna air secara berlebih-lebihan. Realitinya, dunia global kini sedang menghadapi krisis bekalan air yang begitu meruncing.
Gambaran ini dikukuhkan lagi dengan laporan dikeluarkan Forum Ekonomi Dunia (WEF) pada 2017 yang mendedahkan krisis air mencatat kedudukan ketiga teratas dalam senarai krisis dunia global, di belakang ancaman senjata pemusnah seperti nuklear dan perubahan ekstrem cuaca.
Krisis air sebagai ancaman global dengan impak besar itu terus konsisten sebagai kebimbangan utama penduduk dunia. Lebih membimbangkan, dijangka menjelang 2030 dunia bakal berdepan defisit air sebanyak 40 peratus akibat perubahan iklim, pertambahan penduduk dan aktiviti manusia.
*Disiar di Suara Keadilan 398


No comments:
Post a Comment