Oleh HAIZIR OTHMAN
Dalam ucapan alu-aluannya pada majlis pelancaran dua buah buku beliau, "Cerita Saya: Memoir Sehingga Tahun Tragedi 13 Mei 1969" dan "Bangsawan Helah Behena" Jumaat lalu di Wisma ITBM, Dato' Dr Anwar Ridhwan membangkitkan tiga peristiwa melibatkan Saudara Anwar Ibrahim yang katanya, tidak luput di ingatan dan ingin diucapkan terima kasih atasnya.
Ucapan terima kasih pertama adalah kerana memberi inspirasi kepadanya dan rakan-rakan sepengajian lain di Universiti Malaya pada zaman kegemilangan mahasiswa memimpin demonstrasi pada tahun-tahun 1970-an, walaupun katanya, hadiah yang diperolehi selepas itu adalah "gas pemedih mata".
Kedua, atas hadiah buku tulisan Saudara Anwar Ibrahim sendiri, The Asian Renaissance yang dihadiahkan kepadanya pada tahun 1997 sebelum Dr Anwar bertugas sebagai Profesor Pelawat di Jabatan Pengajian Luar, Universiti Tokyo.
Dan peristiwa ketiga adalah apabila Dr Anwar dianugerahkan gelaran Sasterawan Negara pada tahun 2009, Saudara Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail adalah antara orang pertama meraikan kejayaan tersebut.
Walaupun keakraban antara tokoh sasterawan seperti Anwar Ridhwan dengan negarawan seperti Saudara Anwar Ibrahim amat dialu-alukan dan menjamin masa depan cerah industri seni budaya negara, apa yang lebih penting adalah aktiviti perbukuan seperti pelancaran karya pada 28 September lalu harus disuburkan lagi demi mencambahkan budaya ilmu di kalangan masyarakat.
Karya-karya autobiografi seperti Cerita Saya menurut Saudara Anwar Ibrahim barangkali tidak popular namun penting dalam memperkaya khazanah ilmu bangsa kerana terkandung bukan sahaja latar belakang pengarangnya secara peribadi malah penceritaan latarnya seperti desa dan lain-lain, yang sebahagiannya tidak lagi wujud pada hari ini.
Buku ini menghimpunkan bukan sahaja kisah kehidupan penulis dan keluarga, malah yang lebih penting adalah pemerhatiannya terhadap pelbagai isu seperti bahasa Melayu, dan isu perkauman lewat tragedi 13 Mei 1969.
Penyakit politikus
Menurut Anwar Ridhwan, perubahan tidak memerlukan nostalgia masa lalu sebaliknya persiapan berdepan persekitaran baru. Tambahnya, manusia berperadaban menyelesaikan sengketa di meja rundingan manakala orang gasar menyangka penyelesaian dapat dicapai melalui pertumpahan darah.
Satu teguran penting penulis hadir seawal Bab 1 apabila melihat bapa saudaranya, Bahari yang tidak menceburi bidang politik walaupun rapat dengan tokoh-tokoh politik termasuk pernah mengunjungi Tun Razak, selain punya wawasan memajukan masyarakat lewat pembangunan koperasi.
Ini menurutnya, berbeza dengan sejumlah aktivis menceburi politik tanpa matlamat perjuangan, kemudian menjadi kaya-raya. Beliau memetik kata-kata bekas Presiden Amerika Syarikat, Harry S. Truman, "You can't get rich in politics unless you're a crook" (Anda tidak mampu jadi kaya-raya dalam politik melainkan anda seorang penyangak).
Anwar Ridhwan melihat sesetengah politikus di negara-negara membangun terjangkit dengan gejala ini, berbeza situasinya dengan di negara-negara maju. Tokoh-tokoh politik di Malaysia tidak terlepas daripada penyakit ini terutama sekitar tahun-tahun selepas Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan untuk membantu meningkatkan taraf kehidupan orang Melayu dan Bumiputera.
Teguran penting dalam buku ini hadir dalam Bab Dua Belas, bab terakhir dalam autobiografi jilid pertama ini lewat peristiwa hitam rusuhan kaum di Kuala Lumpur pada 13 Mei 1969.
Menjalani zaman tersebut sebagai remaja di Sekolah Alam Shah, Anwar Ridhwan mengungkapkan isu perkauman sentiasa akan timbul dan perlu ditangani dari masa ke masa sepanjang sejarah.
Menurutnya, ia berlaku kerana setiap bangsa utama di Semenanjung sejak dari kecil telah dipisah-pisahkan sekolah, dengan aliran pendidikan serta bahasa yang berbeza-beza, berlainan kurikulum, serta tiada unsur kebudayaan teras yang mengikat jiwa mereka sebagai satu bangsa Malaysia.
Junjung perlembagaan
Bekas Pengarah Penerbitan DBP itu meletakkan kesalahan kepada pemimpin-pemimpin Melayu era awal kemerdekaan yang jelasnya, tidak punya wawasan terhadap jati diri nasional untuk jangka masa panjang.
Tambahnya, mereka tiada keberanian politik untuk membenarkan hanya satu aliran pendidikan bagi semua warga, seperti yang berlaku di Indonesia atau Thailand.
Selain itu, Anwar turut kritikal terhadap cara kempen parti-parti pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-3 (PRU-3) pada tahun 1969 yang menurutnya, telah melangkaui sempadan sensitiviti orang Melayu lewat ungkitan mereka terhadap isu bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, hak-hak istimewa orang Melayu, dan kerakyatan bagi orang bukan Melayu.
Seperti menyedari keresahan disuarakan Anwar Ridhwan, Saudara Anwar Ibrahim menyebut dalam ucapan pelancarannya ketegasan beliau untuk tetap menjunjung tiang-tiang perlembagaan negara berkaitan raja-raja Melayu, hak istimewa, dan Islam sebagai agama rasmi persekutuan, walaupun diasak golongan super liberal.
Dalam menanggapi suasana politik yang berubah, Ketua Umum KEADILAN itu meminta umum tidak apologetik dan berasa lemah, sebaliknya memanfaatkan ruang bebas untuk mengangkat isu-isu budaya bangsa ke dialog awam.
Calon KEADILAN bagi Pilihan Raya Kecil Port Dickson itu juga memetik idea dari tokoh-tokoh sastera antarabangsa seperti T.S. Elliott, Charles Dickens, Shakespeare, termasuk Harold Bloom dalam mengungkapkan kepentingan menguasai sastera, falsafah dan budaya untuk memahami isu-isu semasa.
----------------------
Reformasi 'bebaskan' sastera
Gerakan reformasi 1998 telah 'membebaskan' sastera Indonesia dari kepompong birokratik Orde Baru rejim Presiden Suharto, jelas pengasas dan mantan ketua editor majalah berita Tempo, Goenawan Mohamad.
Peristiwa besar kebangkitan rakyat itu menurut beliau persis zaman selepas negara itu mencapai kemerdekaan dari Belanda pada tahun 1945, zaman yang disifatkannya sebagai zaman 'kemerdekaan kreatif' di mana banyak puisi-puisi bermutu tinggi lahir pada era ini.
Penulis koleksi esei Catatan Pinggir itu berkata demikian semasa menjawab soalan hadirin dalam program Kuliah Umum ILHAM yang berlangsung Sabtu lalu di Menara Ilham, Kuala Lumpur.
Goenawan membentangkan kertas kajiannya bertajuk Serumpun: Modenisme di antara Sutan Takdir Alisjahbana dan Latiff Mohidin. Kuliah tersebut dianjurkan ILHAM dengan kerjasama Jabatan Seni Visual, Pusat Budaya, Universiti Malaya.
![]() |
| Goenawan Mohamad |
Jelas Goenawan yang juga dikenali sebagai Mas Goen, zaman kemerdekaan kreatif sejak tahun 1945 walaubagaimanapun tergendala pada tahun 1958 apabila Presiden Sukarno mengubah kepimpinan Indonesia menjadi demokrasi terpimpin.
Menurutnya, sistem tersebut telah mengekang kemerdekaan negara itu termasuk kebebasan akhbar, bahasa, dan sastera. Sebaliknya, bahasa telah 'berubah' menjadi slogan-slogan revolusi.
Berakhirnya Orde Lama Sukarno dan Orde Baru Suharto digantikan Orde Reformasi, bahasa dan sastera Indonesia mencapai kemerdekaan kali kedua. Perubahan yang serupa turut berlaku dalam kancah politik Malaysia apabila berlaku perubahan kerajaan selepas PRU-14 pada 9 Mei lalu.
*Disiarkan di Suara Keadilan 394



No comments:
Post a Comment