Lebih lima puluh tahun lalu ketika Syed Hussein Alatas membangkitkan wacana rasuah dari aspek sosiologinya dalam masyarakat di rantau Asia Tenggara, idea tersebut tidak mendapat respon seperti yang diharapkan.
Buku yang beliau tulis selepas itu, 'Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi' pula mungkin hanya dijadikan kajian di menara gading atau lewat seminar-seminar yang menghimpunkan berkajang-kajang kertas kerja, namun untuk diangkat ke peringkat lebih tinggi, tiada keinginan politik tinggi yang mahu menjalankannya.
Hanya selepas berlaku perubahan politik tanah air pasca 9 Mei 2018, kebimbangan Alatas puluhan tahun lalu itu mungkin mendapat perhatian yang lebih wajar di tangan pentadbiran baru.
Bermula bulan lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan penubuhan Ombudsman Malaysia, sebuah badan bebas berperanan menyiasat aduan awam terhadap isu berkaitan jentera kerajaan terutama melibatkan layanan tidak adil terhadap rakyat.
Bakal berperanan sebagai pemantau kerajaan, badan yang bakal menggantikan peranan Biro Pengaduan Awam ini merupakan suruhanjaya legislatif untuk menyiasat penyalahgunaan birokrasi serta memastikan tiada kes penyelewengan berlaku dalam jabatan kerajaan.
Tiga peringkat rasuah
Pensyarah kanan Pusat Penyelidikan Politik dan Keselamatan, Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Sharifah Munirah Alatas menggariskan tiga peringkat rasuah yang disebut Syed Hussein iaitu: terhad, menjadi-jadi, dan membinasa.
Jelasnya, Dr Mahathir mungkin menyedari Malaysia telah memasuki fasa akhir dalam peringkat dua, dan langkah menubuhkan Ombudsman Malaysia (serta melihat semula idea Alatas) adalah arah tepat untuk dituju.
Penubuhan badan ini juga bukan semata-mata berorientasi mencari kesalahan penjawat awam sebelum menjatuh hukum, sebaliknya bertujuan membangkitkan moral terpuji yang mampu menjadi benteng kepada sebarang salah laku dan isu integriti.
Siri panjang penahanan dan pendakwaan melibatkan bekas pemimpin-pemimpin utama negara termasuk Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor, Ahmad Zahid Hamidi, Abdul Azeez Rahim dan lain-lain menunjukkan usaha gigih kerajaan mengheret mereka yang terlibat rasuah ke muka pengadilan.
Namun jika kita menyangka penghakiman terhadap individu-individu tersebut sebagai satu-satunya cara menghentikan rasuah, kita belum berdepan kes-kes berprofil rendah dan sederhana di peringkat bawahan. Seperti kata Dr Mahathir dan pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin, masalah rasuah di negara ini bukan sahaja sudah jadi sistematik, malah sistemik.
Salah kerajaan lalu
Menyalahkan pentadbiran lalu sebagai punca berleluasanya gejala rasuah di hampir setiap peringkat, Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata segala ketirisan dalam pentadbiran kerajaan perlu diperbetulkan kerajaan kini, malah itulah langkah pembaharuan dijanjikan Pakatan Harapan dalam manifesto PRU-14 lalu.
"Kita tidak mahu jadi seperti Umno-BN yang penuh rasuah, salahguna kuasa. Inilah masanya kerajaan baru buktikan kita mentadbir dengan adil," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Beliau yang juga Pengerusi KEADILAN Melaka dan Anggota Parlimen Hang Tuah Jaya itu berkata, Ombudsman yang tidak diletakkan di bawah pejabat perdana menteri atau mana-mana kementerian seharusnya melapor terus kepada Parlimen demi menjamin kebebasannya.
![]() |
| Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Shamsul Iskandar Akin |
Ombudsman bukanlah konsep asing bagi bagi kebanyakan negara maju. Menurut Institut Ombudsman Antarabangsa (IOI), terdapat lebih 140 buah negara menggunakan model ini termasuklah Finland, Sweden, Perancis, Sepanyol, New Zealand, United Kindom dan India.
Malah sebenarnya cadangan ini pernah sampai ke peringkat jawatankuasa kabinet pada tahun 1989 yang diketuai Saudara Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri ketika itu yang telah meminta naib canselor Universiti Malaya, Profesor Dr Syed Hussein Alatas menyediakan laporan khasnya.
Lindungi pengadu
Idea ini kemudiannya diingatkan kembali pada tahun 1993 oleh ahli parlimen veteran DAP, Lim Kit Siang yang meminta Ombudsman bebas dari kerajaan sebaliknya hanya bertanggungjawab kepada Parlimen.
Kepentingan institusi ini dalam menyiasat aduan salahlaku pentadbiran diakui Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad yang merasakan ombudsman boleh menjadi rakan dan pelindung rakyat, malah berperanan sebagai “go-between” (penghubung) antara rakyat dengan pemerintah.
Berbanding mekanisme Biro Pengaduan Awam sebelum ini yang dalam sesetengah kes memangsakan si pengadu, ombudsman dilihat mampu melindungi 'whistleblower' (pemberi maklumat) daripada dikenakan tindakan jika membuat aduan terutama melibatkan pegawai tinggi.
Langkah ini jelasnya dapat mengembalikan kepercayaan rakyat kepada kerajaan kerana sebelum ini ramai pengadu yang terpaksa menanggung akibat, bukannya si pesalah laku.
Jelas Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) itu lagi, penubuhan satu institusi yang mantap seperti ombudsman mampu meletakkan kita pada landasan tepat menjadi negara demokrasi yang maju dan berdaya saing.
Kuasa kepada rakyat
Ahli Parlimen Kangar, Amin Ahmad pula melihat idea ini dapat membantu mengingatkan ahli politik dan penjawat awam bahawa jawatan yang mereka galas adalah satu amanah, dan tidak seharusnya disalahgunakan.
"Keputusan Dr Mahathir dalam RMK-11 adalah satu langkah progresif. Perkara seperti ini kurang diberi penekanan kerajaan terdahulu mengenai pembaikan tatakelola kerajaan."
Dengan adanya ombudsman, katanya, kita beri lebih kuasa kepada orang ramai untuk menjadi ejen kepada semak dan imbang supaya kerajaan dapat berfungsi dengan lebih cekap.
"Ini sekaligus memberi nilai kepada setiap hasil cukai yang dikutip dari rakyat," jelas Pengarah Institute for Leadership and Development Studies itu.
*Disiarkan di Suara Keadilan 397


No comments:
Post a Comment