Wednesday, October 03, 2018
Wakaf korporat punya potensi selesai masalah agihan kekayaan
Bagi umat Islam di Malaysia secara umum, pemahaman terhadap sistem wakaf mungkin masih terhad kepada pembelian lot-lot tanah bertujuan membina institusi-institusi agama seperti madrasah tahfiz, surau, masjid, dan lain-lain.
Kebiasaannya, kita diajak oleh ustaz-ustaz yang menyampaikan kuliah di masjid-masjid untuk bersama-sama menyumbangkan wang ringgit membeli sijil-sijil wakaf dalam nilai tertentu, contohnya RM 10, untuk membantu pembinaan bangunan tersebut.
Merenung kembali sejarah sistem wakaf, institusi ini telah bermula pada zaman Rasulullah S.A.W. Menurut Dr. Mustafa as-Siba'i dalam bukunya Civilization of Faith, seorang sahabat bernama Abu ad-Dahdah telah mewakafkan satu-satunya harta beliau iaitu sebuah dusun dengan 700 pohon buah untuk agama Islam.
Abu ad-Dahdah mewakafkan dusunnya selepas turunnya ayat: "Barang siapa menginfakkan hartanya di jalan Allah dengan pinjaman yang baik, maka Allah melipatgandakan ganti kepadanya dengan banyak. Allah menahan dan melapangkan (rezeki) dan kepada-Nyalah kamu dikembalikan (QS al-Baqarah: 245).
Institusi wakaf juga telah banyak digunakan untuk membiayai projek kebajikan yang menguntungkan semua pihak dalam kerajaan Islam. Antara institusi-institusi sosial yang dibiayai wakaf adalah pendidikan, masjid, kesihatan, dan ketenteraan.
Contohnya, madrasah al-Nooriyah di Damascus yang diasaskan Noor ad-Din al-Shahid dibina melalui wakaf. Contoh lain ialah institusi pengajian ulung dalam dunia Islam, Universiti al-Azhar di Mesir yang turut dibangunkan melalui wakaf.
Melihat lebih dalam, sistem wakaf punya peranan sendiri dalam meningkatkan ekonomi umat Islam di negara ini. Atas kesedaran tersebut, Awqaf Holdings Bhd yang ditubuhkan pada 3 September 2012 mengambil tanggungjawab menggerakkan upaya dan potensi yang ada dalam institusi wakaf warisan Islam ini untuk membangunkan umat menerusi jalan ekonomi.
Selesai masalah umat
Diasaskan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Allahyarham Tan Sri Muhammad Ali Hashim yang terkenal dengan konsep 'Jihad Ekonomi', Awqaf Holdings Bhd bermatlamat membangunkan Waqaf Korporat untuk menyeimbangkan sistem ekonomi yang didominasi korporat swasta.
Timbalan Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah Awqaf Holdings Berhad, Mohammad Sahar Mat Din berkata konsep wakaf punya keupayaan untuk menyelesaikan masalah umat pada hari ini dari sekecil masalah seorang lelaki tiada kemampuan kewangan untuk berkahwin, sehinggalah kepentingan mengekalkan aset-aset milik orang Islam.
Kajian oleh Universiti Oxford mengenai Waqaf Korporat pada tahun 2010 menyatakan bahawa "Jihad Bisnes, Waqaf Korporat dan Intrapreneurship sangat berkesan dan jauh terkehadapan daripada apa yang mungkin dicapai oleh kaedah pembangunan ekonomi konvensional dan kaedah dorongan polisi sedia ada".
Apa yang dicapai Awqaf Holdings Berhad pada hari ini belum mampu diatasi badan wakaf tradisional apabila berjaya mengumpul modal waqaf korporat sebanyak RM12 juta hasil dari sumbangan orang ramai sejak 2012. Jelas Sahar, jumlah modal terbabit akan dikembang dan dimanfaatkan sebagai modal pelaburan pada masa depan.
Dana wakaf yang dikumpul disalurkan kepada dua tujuan iaitu wakaf perkhidmatan, dan pelaburan wakaf. Wakaf perkhidmatan dan program kemasyarakatan mempunyai tiga saluran iaitu ZuriatCARE, EduWAQF, dan WAQFHealth. Manakala pelaburan wakaf dibuat dalam aktiviti-aktiviti ekonomi untuk membangunkan dana wakaf, menghasilkan lebih banyak sumber pendapatan dalam jangka panjang untuk aktiviti kebajikan.
ZuriatCARE adalah tabung yang ditubuhkan bermatlamat mendukung badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang aktif dalam program melindungi kepentingan bayi, khasnya yang dibuang atau ditinggalkan ibu bapa. Selain NGO tabung ini juga bekerjasama dengan kerajaan dalam program-program pencegahan kehamilan luar nikah, termasuk menghasilkan modul-modul pendidikan berkaitan.
Manakala EduWAQF merupakan program wakaf pendidikan yang bakal menerima suntikan dana berjumlah RM5 juta dari Awqaf Holdings. Pelancarannya disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail Jun lalu dalam satu majlis di Bangi.
Bank ambil untung
Sistem ekonomi millenium kini yang dilihat lebih menjurus kepada modal sistem kapitalis telah menyebabkan tidak wujud keadilan ekonomi. Masalah yang berlaku di peringkat antarabangsa ini akan memberi kesan kepada ekonomi di negara ini.
Jelas Sahar, Malaysia terkenal malah jadi model dalam sistem ekonomi dan perbankan Islam di dunia, tapi sayangnya sistem 'perbankan Islam' itu sendiri tidak mengikut syariat Islam sebenar.
Beliau yang juga pemangku Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) berkata, sistem perbankan Islam yang kita amalkan tidak berupaya merapatkan jurang golongan kaya dan miskin sehingga akhirnya ia hanya satu sistem perbankan tanpa riba, tapi keadilan ekonomi masih tidak wujud.
"Bank tetap mengambil kadar keuntungan yang tinggi kepada peminjam, ia hanya beri tumpuan kepada syarikat besar dan individu yang kaya.
"65 peratus kekayaan di Malaysia dimonopoli oleh individu terkaya negara ini. Sistem ini menjadikan yang kaya bertambah kaya dan yang miskin bertambah miskin," katanya kepada Suara Keadilan.
Sebagai alternatif, wakaf korporat dilihat dapat membantu ekonomi umat Islam.
"Wakaf korporat secara tradisionalnya digunakan untuk menghimpun duit untukkegunaan institusi agama seperti pembinaan madrasah, masjid dan surau tetapi sebenarnya ia boleh menjangkau lebih dari kekuatannya dan lebih berkesan jika dikaitkan dengan ekonomi," katanya lagi.
Tambahnya, wakaf korporat menerima wakaf dari individu tertentu atau organisasi yang menyerahkan duit mereka ke jalan Allah untuk tujuan membina kekayaan umat. Dengan sistem wakaf korporat, harta yang disumbang orang kaya dapat dimanfaatkan oleh Awqaf Holdings untuk orang miskin, dan umat secara keseluruhannya.
*Disiarkan di Suara Keadilan 394
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


No comments:
Post a Comment