Wednesday, October 10, 2018
PASKAL The Movie buka dimensi baru filem patriotik ketenteraan
Sejak Sarjan Hassan dan Bukit Kepong, kita sebenarnya tidak ketandusan filem perang atau filem-filem yang mengangkat kisah perjuangan anggota keselamatan negara sama ada dari pasukan polis atau tentera.
Darah Satria, Wira Angkasa, Leftenan Adnan, Bravo 5, Gerak Khas, Polis Evo, KL Special Force dan lain-lain adalah antara bukti pembikinan filem jenis ini mendapat tempat di hati para peminat.
Buktinya, Polis Evo arahan Ghaz Abu Bakar yang ditayangkan tiga tahun lalu, setakat awal tahun 2008, berjaya mencatat kutipan setinggi RM17.74 juta, kedudukan kedua tertinggi selepas Abang Long Fadil 2, sebelum dipintas berturut-turut oleh Hantu Kak Limah dan Munafik 2 baru-baru ini.
Filem tentera di negara ini tidak dapat lari dari objektif menyemai semangat patriotisme, satu pekerjaan mulia yang seharusnya diraikan. Namun, sama ada ia dilakukan secara semberono atau penuh berseni, ia satu isu lain yang boleh diperdebatkan.
Sedang ditayangkan di pawagam pada masa ini adalah filem PASKAL The Movie, adaptasi dari kisah benar kejayaan anggota elit Pasukan Khas Laut (PASKAL), Tentera Laut Diraja Malaysia dalam Misi Pengaman PBB di Angola pada tahun 1998, dan misi merampas kapal dagang MT Bunga Laurel daripada lanun Somalia di Teluk Aden pada tahun 2011.
Lari dari klise
Filem tulisan Adrian Teh dan Anwari Ashraf ini tidak mengambil masa lama untuk mendapat pujian dari para pengkritik filem, termasuk perbandingan dengan filem-filem patriotik ketenteraan yang dibikin sebelum ini.
Pengkritik filem, Fadli Al-Akiti misalnya menyifatkan Paskal berjaya lari dari klise yang dipaparkan Bravo 5, Kanang Anak Langkau, dan Malay Regiment khususnya dalam mengisahkan pengorbanan perajurit yang berjuang di perbatasan.
Dan isu klise bukanlah satu-satunya yang jadi kritikan. Kemampuan Paskal 'menghidupkan' tema patriotisme dalam seni panggungnya menjadikan filem ini relatif lebih baik daripada filem-filem terdahulu bertema serupa yang sesetengahnya agak terlalu tebal dengan elemen propaganda pemerintahan.
Paskal tidak terlalu mencuba atau beria-ia mahu memasukkan elemen patriotiknya lewat skrip secara didaktik, sebaliknya dengan lakon layar yang lancar dan dialog-dialog tertentu yang mantap, mesej patriotisme itu mampu disampaikan kepada penonton dengan berkesan.
Malah, Paskal mencipta watak antagonis dalam pasukan tentera itu sendiri lewat dialog seperti "Negara jenis apa yang hantar askar dia untuk mati?" sebagai anti-tesis kepada premis patriotisme yang dibawa filem ini.
Semangat ceburi tentera
Selain untuk menimbulkan elemen suspen dan babak pertarungan 'baik-jahat' selepas itu, kelahiran watak tersebut juga bertujuan mencabar idea asas dengan matlamat memperkukuhkan jati diri dan kesetiaan para warga terhadap negara.
Susunan dialog yang baik dan lakonan mantap pendukungnya mampu menterjemahkan tema patriotisme yang diangkat Paskal. Pelakon dan pengarah filem, Nam Ron berkata, filem yang baik mampu melahirkan masyarakat yang berperanan positif.
"Filem ini mampu jadi satu pendekatan untuk menarik rakyat terutamanya anak muda menyertai badan beruniform, sebagai permulaan minat mereka dalam bidang ketenteraan sekali gus melahirkan semangat cinta kepada tanah air," katanya ketika dihubungi.
Nam Ron yang turut berlakon dalam filem Paskal dengan memegang watak sebagai Leftenan Komander Maznan berharap lebih ramai anak muda pelbagai bangsa berminat menyertai badan beruniform selepas menonton filem ini.
Menurut Fadli lagi, filem yang menelan kos sebanyak RM10 juta ini mengandungi aksi-aksi yang padu dan meletakkan Pasukan Khas Laut Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan cukup bermaruah.
Aset terbaik ATM
Babak aksi melibatkan kapal selam Scorpene KD Tunku Abdul Rahman dan helikopter Super Lynx 300 misalnya, memberi peluang kepada penonton melihat antara aset ketenteraan dan senjata terbaik ATM, sekaligus menunjukkan kekuatan angkatan tentera kita bukan sahaja dari segi aset, malah fizikal dan mental para anggotanya.
Bagi pensyarah kanan Pengajian Media dan Penyiaran Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Hani Salwah Yaakup, semangat cintakan negara dalam Paskal antaranya dipaparkan melalui latihan ketenteraan unit komando yang keras.
Kesukaran latihan tersebut menyaksikan ramai mengalah dan yang tinggal adalah yang benar-benar layak menganggotai Paskal. Lebih daripada itu, pengorbanan mereka dalam membela negara sampai ke peringkat sanggup mengorbankan nyawa sendiri.
"Kepentingan kerjaya tentera laut ini bukan hanya sekadar menjaga perairan negara, malah sempadan negara juga sama ada di permukaan laut mahupun di dasar lautan."
"Sebelum ini tidak pernah kita bayangkan bagaimana tentera-tentera komando ini bekerja dan menjalani latihan, tetapi menerusi filem ini kita dapat lihat bukan mudah melindungi negara sehingga ada yang menggadaikan nyawa mereka sendiri," jelasnya.
Pemimpin teruja
Pengarahnya, Adrian Teh, pula beranggapan kita sepatutnya berterima kasih kepada mereka yang menyarung uniform yang meletakkan nyawa dalam risiko semata-mata untuk berkhidmat untuk negara dan rakyat.
Paskal turut mendapat perhatian para pemimpin negara antaranya Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang menonton filem itu bersama-sama para pelakonnya pada tayangan perdananya di GSC Mid Valley. Lewat akaun twitternya, beliau mengucapkan syabas kepada krew terlibat.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir turut memuji dan melahirkan rasa teruja dengan filem Paskal yang menurutnya mencapai taraf perfileman Hollywood.
Manakala Panglima Laksamana Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin yang turut menonton meluahkan rasa terharu dengan para penonton yang bertepuk tangan dan menunggu sehingga lagu TLDM tamat dimainkan.
*Disiarkan di Suara Keadilan 395
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


No comments:
Post a Comment