Wednesday, October 10, 2018

Wakaf sebagai 'game-changer' menegak keadilan ekonomi umat



Oleh HAIZIR OTHMAN

"Impian saya, dalam tempoh sepuluh tahun, syarikat wakaf jadi syarikat pertama dalam negara yang punyai aset bernilai RM1 trilion."

"Pada masa itu, kita mampu untuk bantu kerajaan selesaikan hutang negara."

Saya mengangguk perlahan. Dalam samar-samar cahaya lampu berhampiran, saya, Encik Sahar, anak lelakinya dan seorang rakan menaiki anak-anak tangga ke Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur untuk menunaikan fardhu Maghrib.

Kami baru selesai sesi wawancara untuk akhbar Suara Keadilan di Restoran Arabic Kitchen di Jalan Raja Muda Abdul Aziz. Nasi Mandi Ayam dengan kebab kambing masih penuh dalam perut.

Sebelum itu, temujanji saya dengan Encik Sahar, atau nama penuhnya, Mohammad Sahar Mat Din, Timbalan Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah Awqaf Holdings Berhad sepatutnya berlangsung di Tamu Hotel and Suites di Jalan Raja Abdullah. Bangunan pencakar langit setinggi 27 tingkat di tengah-tengah kawasan segitiga emas bandaraya Kuala Lumpur itu milik seorang tokoh perniagaan Bumiputera, Dato' Mohd Khay Ibrahim yang merupakan anak jati Kampung Baru.

Enklaf Melayu

Sempat saya ke tingkat tertinggi bangunan itu, mencerap panorama petang enklaf Melayu di bawahnya. Menara berkembar Kuala Lumpur City Centre (KLCC), Menara Kuala Lumpur dan bangunan-bangunan agam tersergam megah, melingkari kawasan perumahan tradisional yang masih dipelihara dan dipertahankan.

Walaubagaimanapun, kami menukar tempat wawancara ke restoran Arab tadi. Anak lelakinya punya rencana dengan seorang rakan dari Bangladesh, pelajar doktor falsafah Universiti Islam Antarabangsa berkisar perancangan membuka sebuah pusat pendidikan antarabangsa.



"Allahyarham Tan Sri Muhammad Ali Hashim sudah buktikan wakaf boleh berjaya dalam membantu bukan sahaja umat Islam, malah orang bukan Islam juga."

"Johor Corporation pimpinan arwah menubuhkan Waqaf An-Nur Corporation (WANCorp) yang mengumpulkan dana wakaf dari enam syarikat besar; KPJ Healthcare Berhad, Kulim Plantation, KFC Malaysia, QSR Brands, Johor Land, Sindora Berhad, dan Damansara Realty," kata Encik Sahar.

Menurutnya, enam syarikat ini sahaja mengumpulkan sejumlah RM250 juta untuk diserahkan kepada WANCorp pada tahun 2006 sebagai dana wakaf.

Kesihatan percuma

Salah satu kejayaan dana wakaf WANCorp yang boleh dibanggakan ialah Rangkaian Klinik Waqaf An-Nur (KWAN) yang menyediakan rawatan pesakit luar dengan caj minima serendah RM5.00.

Saya menyemak laman webnya, sehingga kini ada 22 buah KWAN termasuk sebuah Hospital Waqaf di seluruh Malaysia. Sejak penubuhannya sehingga Disember 2016, rakyat mendapat manfaat darinya di mana sebanyak 1,398,524 kes rawatan telah dikendalikan di semua cawangan KWAN, termasuk 111,881 kes melibatkan pesakit bukan Islam.

Kata Encik Sahar lagi, syarikat Awqaf Holdings ditubuhkan pada tahun 2012 dengan matlamat yang sama, iaitu mengangkat wakaf sebagai sumber kekuatan ekonomi umat, dan merapatkan jurang antara orang kaya dengan orang miskin.

Dan beza antara konsep wakaf korporat yang dibawa Awqaf dengan wakaf tradisional ialah: dana yang dikumpul dibahagikan kepada perkhidmatan (30 peratus) dan pelaburan (70 peratus). Dengan cara ini, harta tersebut 'ditahan' agar mampu dikembangkan untuk manfaat lebih besar, selain menepati makna 'waqaf' itu sendiri yang bermaksud 'menahan'.

Di sebalik usia muda Awqaf, ia sudah pun membantu lima orang mahasiswa baru Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menjelaskan yuran kemasukan mereka pada sesi pendaftaran lalu.

Kuasa ketiga

Selain itu, jelasnya, konsep harta dalam wakaf yang tidak boleh dipindah milik kerana diniatkan sebagai infaq ke jalan Allah menjadikannya lebih selamat daripada dijual kepada orang lain atau seumpamanya, seperti yang pernah berlaku dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) beberapa ketika lalu.

Wujud juga jawatankuasa syariah yang melihat keseluruhan perjalanan syarikat, dan jika ada keperluan untuk memindah milik harta wakaf, 'istibdal' perlu dilakukan iaitu menggantikan harta tersebut dengan harta lain bernilai setara atau lebih tinggi.

"Sumber dana hari ini datang dari kerajaan dan pihak swasta. GLC-GLC walaubagaimanapun pada sesetengah masa tidak dapat bantu kerajaan. Sebaliknya, semasa berlaku krisis ekonomi, kerajaan pula terpaksa 'bail-out' mereka."

"Syarikat swasta pula milik individu atau beberapa individu, tiada tanggungjawab untuk bantu kerajaan mahupun rakyat," jelasnya.

Katanya yang turut mengkritik kelemahan dasar penswastaan, wakaf punya peranan sebagai 'kuasa ketiga', hadir untuk menegakkan keadilan ekonomi berasaskan umat, atau 'ummatic economy'.

'Game-changer' ekonomi

Berbeza dengan sistem konvensional kapitalisme bermatlamat mencari keuntungan material semata-mata, peranan utama wakaf adalah membantu menyelesaikan pelbagai keperluan rakyat, melalui dana yang dikumpulkan dari pewakaf, juga pelaburan.

Buku "Marvelous Pious Foundations (Waqfs) Throughout History" menggariskan sebanyak 116 jenis wakaf sepanjang sejarah, antaranya untuk membina hospital, memberi haiwan makan, menjaga alam sekitar, sehinggalah memadam contengan di dinding.

Perbezaan keutamaan inilah yang menjadikan institusi wakaf berpotensi besar menyelesaikan masalah ekonomi rakyat hari ini, seperti yang telah dilakukan Waqaf An-Nur Corporation.

Berharap idea ini diambil perhatian kerajaan, GLC, syarikat-syarikat swasta dan rakyat terbanyak, Encik Sahar mengakui kempen kesedaran dan pendidikan wakaf adalah jalannya, selain keinginan politik pemerintah.

"Saya pernah bawa idea ini kepada bekas Perdana Menteri, Najib Razak, namun tiada sambutan. Saya harap kerajaan baru HARAPAN boleh bawa perubahan, tambahan pula Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah menyambut baik idea wakaf ini," katanya.


*Disiarkan di Suara Keadilan 395

No comments: