Ginie Lim Siew Lin antara pimpinan muda wanita parti yang berbakat. Aktif dalam gerakan mahasiswa sewaktu belajar di dalam dan luar negara, beliau berkhidmat sebagai Koordinator Media KEADILAN dan Ketua Pegawai Publisiti Sekretariat Akhbar Kerajaan Negeri Selangor sebaik tamat pengajian. Bertanding kerusi DUN Melaka sejak 2008, beliau berjaya merebut DUN Machap Jaya pada percubaan ketiga. Ikuti wawancara sub editor Suara Keadilan Haizir Othman dan wartawan Syazwani Sufian dengan Exco Wanita, Pembangunan Keluarga, Hal Ehwal Kebajikan dan Orang Asli ini di Pusat Khidmat Adun Machap Jaya baru-baru ini.
SK: YB tewas dua kali dalam Pilihan Raya Umum 2008 dan 2013. Apa yang membuatkan YB kekal dalam perjuangan parti?
Ginie: Penglibatan saya di Machap bermula sejak 2006, namun saya mula bertanding pada 2008. Yang membuat saya terus bersemangat dan bertahan sepanjang tempoh lebih 10 tahun adalah disebabkan saya mempunyai jentera yang setia bersama-sama dari awal di samping kehadiran muka-muka baru.
Kekuatan peringkat akar umbi sangat membantu kerana kita kuat ditekan parti pemerintah lalu, lebih-lebih lagi kita berada di kawasan luar bandar di mana ekonominya agak lemah dan terlalu bergantung kepada pemimpin setempat. Ada di kalangan ahli yang diugut dan ditawarkan untuk tidak terus bersama parti. Tapi komitmen ahli khususnya mereka yang berada di sini sejak 1999 lagi, sebelum saya datang ke sini, beri saya kekuatan untuk terus berjuang.
SK: YB berkhidmat agak lama di Selangor dalam parti dan kerajaan negeri. Mengapa YB bertanding di Melaka, bukan Selangor?
Ginie: Sebagai anggota parti, kita sentiasa bersedia untuk bertanding di mana-mana sahaja. Apabila pimpinan menentukan calon bagi satu-satu tempat berdasarkan strategi tertentu, maka kita terima keputusan tersebut dengan lapang dada. Sudah tentu bertanding di tempat yang kita sudah menang lebih mudah, tapi kita juga perlu luaskan pengaruh dan kekuatan parti di tempat lain. Maka, saya sahut cabaran tersebut dan bangunkan kawasan yang ditentukan sehingga mencapai kejayaan.
SK: PRU-14 menyaksikan HARAPAN menguasai kerajaan negeri Melaka dan persekutuan. Apa perbezaan suasana sebelum dengan selepas jadi kerajaan?
Ginie: Pada 2008 kita tidak menang satu kerusi pun. Pada 2013 kita menang satu parlimen, Bukit Baru dan dapat buktikan KEADILAN ada sambutan. Tapi pada tahun itu, situasinya samar-samar apabila pihak lawan agresif menekan kita sehingga mengugut rakyat agar jangan ikut program kita. Reaksi tersebut menunjukkan mereka takut dan terancam dengan kehadiran KEADILAN.
SK: Bagaimana YB melihat penerimaan rakyat di negeri Melaka selepas Malaysia bertukar kepada kerajaan HARAPAN?
Ginie: Respon masyarakat memang bagus kerana kita telah mendekati mereka agak lama dengan program-program komuniti. Pihak lawan juga segan dan hormat pada kita. Kemenangan di peringkat negeri dan persekutuan memudahkan kita bekerja. Jika hanya negeri menang, akan jadi sukar kepada jentera kerajaan negeri seperti yang pernah dialami Selangor sejak sepuluh tahun dahulu.
Sebagai contoh, ketiga-tiga portfolio di bawah saya merupakan agensi persekutuan iaitu Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pembangunan Wanita, dan Lembaga Pembangunan Keluarga. Wakil dari ketiga-tiga agensi ini boleh datang mesyuarat walaupun peruntukan datangnya dari kerajaan pusat. Jika di Selangor dulu, susah, kadangkala yang datang bukan ketua pengarah. Sebab itu Selangor perlu buat program sendiri yang berasingan untuk rakyat contohnya program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), Institut Wanita Berdaya (IWB), Pusat Wanita Berdaya (PWB), dan Program HIJRAH. Walaupun dalam keadaan sukar, mereka dapat buat lebih baik.
Cabaran kita sekarang, walaupun dapat sokongan dari semua agensi ini dari segi penyelarasan, kita masih perlu mantapkan pemahaman dan idea-idea progresif untuk kita bentuk satu program atau dasar yang lebih baik. Kita mahu mantapkan idea bersama untuk maju tapi mereka (agensi-agensi) ini sudah lama jadi perlukan masa untuk mantapkan idea supaya dasar yang lebih progresif dapat dibentuk.
SK: Bagaimana bentuk pemahaman baru di peringkat penjawat awam?
Ginie: Kita sentiasa bawa idea perjuangan reformasi dan akan selalu sebut peduli rakyat, reformasi sistem, kesaksamaan, dan keadilan. Idea-idea ini sering diulang dalam ucapan, mesyuarat dan ia jadi satu panduan. Apabila kita sebut reformasi, kita sudah laungkan idea ini di jalan-jalan raya sebelum ini. Kini kita ulang dalam dasar dan program, kita laksanakannya apabila diberi kuasa. Setakat ini program di bawah portfolio saya, kita ambil pendekatan turun padang, jumpa rakyat dan teliti masalah. Contohnya, dalam kes rumah penjagaan warga emas yang terbiar, kita pastikan mereka dipindahkan ke tempat lain buat sementara waktu yang selamat sementara ia dibaikpulih.
SK: Langkah YB jaga kebajikan wanita di Melaka?
Ginie: Melaka telah laksanakan inisiatif tempat kerja mesra ibu. Apabila saya pegang portfolio wanita, kita terima maklum balas dari wanita bekerja yang terpaksa mengepam susu ibu di bilik air, stor dan sebagainya. Ia menimbulkan kesukaran kepada golongan ini dan anak kecil mereka. Inisiatif yang kita buat kini melibatkan empat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Majlis Perbandaran Alor Gajah, Majlis Perbandaran Jasin, dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah. Inisiatif ini mereka tandatangani, menunjukkan persetujuan untuk sediakan bilik penyusuan ibu. Selain itu, bagi pejabat kerajaan dan swasta yang telah ada bilik khas tersebut, kita iktiraf dan galakkan para ibu memberi susu ibu sekurang-kurangnya sehingga anak mencapai umur enam bulan.
Bagi pusat jagaan seperti taska, kita giat jalankan kempen agar para pengusaha taska di seluruh negeri mendaftar taska agar kita dapat pantau keselamatan dan kebajikan anak-anak yang dijaga di dalamnya. Dalam kempen, kita beri taklimat kepentingan mendaftar, dan berdialog untuk mendengar apa-apa masalah yang mereka hadapi. Seperti kita tahu, taska ini untuk kanak-kanak bawah empat tahun. Ia perlu didaftarkan untuk dapat kelulusan dari tiga pihak iaitu PBT, Bomba dan Jabatan Kesihatan. Jika dapat kelulusan ini barulah mereka dapat perakuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan boleh beroperasi. Isunya ramai yang tidak daftar mungkin kerana tidak menepati syarat-syarat tiga pihak di atas, jadi ini perlu dilihat semula.
Taska di tempat kerja pula ada yang berada di luar, dan di dalam tempat kerja. Rumah pengasuh juga perlu didaftarkan, tapi taska di rumah tidak boleh lebih daripada tiga orang kanak-kanak. Saya akan turun padang, mulakan jelajah ke taska-taska untuk lihat keadaan dan isu yang dihadapi bagi menggalakkan pendaftaran.
Dalam lawatan ke Selangor baru-baru ini, kita ada program dengan IWB bersama-sama Dr Daroyah (Adun Sementa) dan exco-exco wanita dari Perak, Johor dan Negeri Sembilan untuk bincangkan program kebajikan wanita. Kita difahamkan di peringkat persekutuan, peruntukan bagi program wanita amat kecil, sekitar RM30,000 ke RM40,000 sahaja setahun, berbanding Selangor yang jalankan Pusat Wanita Berdaya (PWB), satu pusat peruntukkan RM 50,000 untuk satu DUN. Jadi di peringkat negeri kita boleh selaras untuk memberdayakan wanita dari segi ekonomi, sosial, intelektual, kekeluargaan dan sebagainya.
SK: Bagaimana pengalaman YB sebagai aktivis mahasiswa semasa di universiti dapat bantu jalankan tugas sebagai Adun dan exco?
Ginie: Saya rasa sebagai aktivis mahasiswa, kita ada idealisme, selalu persoal apa sahaja dan suka menyahut cabaran. Itu perlu sebagai orang muda sebab idea itu akan diuji sepanjang jalan dalam perjuangan dan politik - idea mempertahankan keadilan. Apabila berada dalam kepimpinan, banyak peluang untuk kita buat keputusan setelah kita dengar dari semua pihak dan mengimbang apa-apa masalah. Prinsip-prinsip itu akan jadi panduan untuk buat keputusan, contohnya menolak politik perkauman, mengambil kira sensitiviti masyarakat, dan lain-lain. Ini akan datang balik dalam keputusan harian, supaya tidak terbabas dari apa yang kita percaya.
SK: Bagaimana Melaka boleh maju dengan lebih baik selepas HARAPAN mengambil-alih pentadbiran dari BN?
Ginie: Setakat yang kita sudah lalui selama lebih empat bulan, saya tengok kepimpinan Ketua Menteri itu memang penting di mana beliau seorang yang berlaku adil, peduli rakyat dan bertindak pantas. Itulah prinsip-prinsip yang memandu barisan exco dan jentera kerajaan untuk tetapkan satu hala tuju yang baru. Malah kita galakkan jentera kerajaan untuk mengemukakan cadangan supaya kita boleh lebih maju. Keterbukaan dan ketelusan dalam menentukan dasar itu memang penting.
Selain itu, penyertaan setiap lapisan masyarakat juga mustahak, dari peringkat atas hingga bawah melibatkan pihak pelaksana dan penerima. Jika ada masalah kita perlu selesaikan, menerusi maklumbalas dan semakan. Sehingga kini saya sudah adakan tiga dialog di tempat saya - dengan polis berkaitan jenayah, dengan pejabat daerah dan tanah untuk menerangkan lanjutan pajakan tanah melibatkan prosedur dan sebagainya, dan baru-baru ini dengan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) berkaitan satu simpang tiga jalan yang sering berlaku kemalangan.
Kita bawa turun pegawai supaya mereka dengar sendiri apa yang penduduk cakap dan boleh dapat penjelasan. Ini budaya baru dan kita buat ini bukan sebab nak dekat pilihan raya. Saya memang mahu perkara ini diteruskan setiap bulan di semua tempat supaya jentera kerajaan lebih mendekati rakyat bukan bertujuan politik tetapi untuk kebaikan dan keselamatan masyarakat setempat.
SK: YB ada pengalaman berkhidmat di Selangor. Apa yang boleh dijadikan contoh untuk dilaksanakan di Melaka?
Ginie: Agak sukar kerana belanjawan tahunan kita cuma RM300 juta. Sebagai perbandingan, ia kurang berbanding peruntukan Hijrah Selangor yang menghampiri RM500 juta. Jadi untuk kebajikan wanita dan masyarakat memang kita ada cabaran. Namun kita ada peluang untuk bekerjasama dengan kerajaan pusat. Saya kira itu bagus, kita harus ambil kesempatan buat program di peringkat negeri. Kita perlu laksana program kerajaan pusat seperti KWSP i-suri, Kad Peduli Sihat, dan lain-lain, pada peringkat negeri pula. Dalam keadaan sebegini pun, kita sempat laksana tiga buah bas percuma bagi laluan utama melibatkan hospital dan perhentian bas selain dalam proses menambah laluan di daerah Jasin dan Alor Gajah.
Kreatif atasi masalah rakyat
Sebagai exco baru, Ginie menggalas harapan tinggi dari penduduk DUN Machap Jaya yang diwakilinya. Dan beliau tidak mengambil masa lama menangani isu utama di kawasannya melibatkan Empangan Durian Tunggal yang kepentingannya turut dirasai penduduk negeri Melaka secara keseluruhan.
Sebagai sumber utama negeri yang membekalkan 40 peratus air setiap hari, empangan ini amat penting untuk dijaga. Isu timbul apabila sejak lebih sepuluh tahun lalu, penduduk berhampiran menanam kelapa sawit di sekeliling kawasan empangan menyebabkan berlaku pencemaran melalui racun dan baja. Sifat kelapa sawit yang kuat menyerap air juga secara perlahan-lahan mengecilkan saiz empangan.
Di sinilah terletaknya kebijaksanaan dalam tindakan yang perlu Ginie ambil, seperti menarik rambut dalam tepung, untuk menangani isu yang gagal diatasi Umno-BN selama ini.
Ginie mengadakan siri dialog dengan kira-kira 60 orang penduduk terlibat, menerangkan kritikalnya keadaan empangan dan keperluan kawasan tersebut dikosongkan. Exco muda ini membuat pembahagian keutamaan antara penduduk yang tiada sumber pendapatan lain, dengan penduduk yang punya alternatif untuk bertani di tempat baru.
Keutamaan diberi kepada kumpulan pertama untuk pencarian tapak baru yang tidak terlalu jauh dari tempat asal, manakala kumpulan kedua tetap dibantu selepas itu.
Langkah ini bukan sahaja dapat memelihara empangan, bahkan potensi pertanian yang mampu menjana pendapatan penduduk dan ekonomi negeri tidak terbazir begitu sahaja dengan memindahkan tanaman ke tempat baru yang lebih baik dan terjaga.
Penyelesaian isu dengan adil ini berbeza dengan pentadbiran lalu yang mengeluarkan notis pengosongan tanpa menawarkan alternatif, malah secara pukul rata menghalau semua tanpa mengira ada yang tidak mampu keluar dari sana kerana tiada sumber pendapatan lain.
"Masanya ahli memilih"
Pengalaman Ginie dalam Angkatan Muda KEADILAN (AMK) di bawah dua pemimpin, Shamsul Iskandar Md Akin dan Nik Nazmi Nik Ahmad memberi kelebihan kepada pemegang Sarjana Sastera University of Sussex, UK ini untuk bertanding pemilihan Ahli Majlis Pimpinan Wanita Pusat dalam pemilihan parti.
Jelasnya, AMK lebih pantas dan dinamik manakala Wanita lebih komited dan jadi tulang belakang parti. Sebagai exco negeri, Ginie percaya mampu membawa idea-idea parti lewat manifesto ke dalam kerajaan. Keputusan menyertai pimpinan Wanita lahir dari hasrat untuk terlibat dalam proses pembentukan idea sebelum dilaksanakan.
Lulusan ijazah Sarjana Muda Komunikasi USM ini juga percaya ahli KEADILAN cukup matang untuk memilih barisan kepimpinan yang mereka mahukan untuk mengemudi perjalanan parti beberapa tahun mendatang.
"Kita telah lihat bagaimana rakyat cukup matang memilih parti yang mereka ingin untuk memimpin negara dalam PRU-14 lalu."
"Kini kita akan lihat ahli parti pula turun mengundi, menentukan kehendak dan hala tuju parti. Saya menanti-nantikan keputusannya," jelas calon Ahli Majlis Pimpinan Wanita Pusat dan calon Ketua Cabang Alor Gajah itu.
*Disiarkan di Suara Keadilan 396
No comments:
Post a Comment