Wednesday, October 17, 2018
Puisi dalam politik baru: tanggapan zaman lewat pena penyair
Oleh HAIZIR OTHMAN
Terdapat dua sekolah pemikiran berbeza dalam forum melibatkan dua tokoh puisi dari dua negara - Zaen Kasturi dari Malaysia, dan Joko Pinurbo dari Indonesia di Rumah Seni Selangor, Petaling Jaya pada malam 12 Oktober lalu.
Penyair kelahiran Melaka, Zaen Kasturi yang terkenal dengan rangkaian puisi "Ingatan Kepada Kawan" berpandangan puisi seharusnya bebas tanpa mengira apa gelombang sekalipun sebaliknya perlu ada wewenang ('authority') kekuatan, jiwa dan wajahnya sendiri.
Tidak melihat fungsi puisi dalam konteks zaman sama ada 'Malaysia Baru' atau lama, Zaen menjelaskan peristiwa-peristiwa seperti perubahan politik lebih sesuai diungkapkan lewat prosa yang mengandungi retorika, berbanding puisi.
Pendirian Zaen dapat diteka apabila beliau memetik ungkapan ahli falsafah dan penyair terkenal dari Pakistan, Muhammad Iqbal yang berbunyi, "bahasa lahir di tangan penyair, dan mati di tangan politikus."
Kebimbangan penulis buku puisi 77 Tuju itu walaubagaimanapun dilihat paradoks kerana kata-kata yang dipetiknya itu datang dari Iqbal, seorang tokoh yang bukan sahaja dikenali sumbangannya dalam bidang falsafah dan sastera, malah lebih dari itu, dalam bidang politik apabila idea-idea politiknya telah melahirkan negara baru, Pakistan.
Impak reformasi kepada sastera
Mendukung pandangan berbeza dalam program Diskusi Seni bertajuk Puisi dalam Politik Baru itu, penyair dari Jogjakarta, Joko Pinurbo menganggap satu-satu peristiwa yang berlaku dalam suatu zaman sememangnya memberi impak kepada perkembangan sastera di negara tersebut.
Beliau yang juga dikenali dengan nama Jokpin memberi contoh betapa peristiwa reformasi pada tahun 1998 bukan sahaja berjaya mengubah lanskap politik Indonesia, malah memberi impak mendalam kepada dunia kesusasteraan di sana.
Peristiwa besar itu yang ditandai dengan kejatuhan presiden Suharto selepas lebih 30 tahun berkuasa, membuka pintu-pintu penjelajahan kepada kekayaan karya-karya dengan tema yang pelbagai.
Para pengarang, jelasnya, jadi lebih berani berekspresi termasuk dalam topik-topik yang sebelum ini dianggap tabu dalam masyarakat.
"Saya tidak dapat bayangkan kalau tidak ada reformasi apakah saya akan mampu untuk menulis puisi seperti itu. Kerana kebebasan berbahasa itu jadi lebih leluasa, terlahir pelbagai karya dengan tema pelbagai."
"Perubahan politik berdampak kepada dunia penulisan meskipun mereka tidak menulis sepenuhnya tentang politik. Tapi iklim yang mereka peroleh terjadi kerana perubahan politik. Saya tidak tahu jika saya boleh menulis Celana pada zaman Orde Baru," katanya kepada Suara Keadilan.
Anwar bakal PM
Penyair yang dikenali dengan karya Kekasihku dan Baju Bulan itu turut memuji Malaysia yang berjaya membuat perubahan rejim pentadbiran secara damai melalui pilihan raya yang sah. Menurutnya, ia adalah satu hal yang luar biasa.
Menyentuh potensi Saudara Anwar Ibrahim yang bakal merintis jalan menjadi Perdana Menteri Malaysia, Jokpin melihatnya sebagai satu perkembangan amat baik kepada dunia sastera dan bangsa Melayu.
"Saya membayangkan kalau Saudara Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri, saya yakin dampaknya kepada kesusasteraan itu besar. Kebanggaan sebagai bangsa Melayu akan lebih terangkat."
"Orang seperti beliau yang punya selera besar terhadap sastera dan kebudayaan, saya kira ia berpengaruh," katanya.
Jokpin yang menganggap tahun-tahun 1970-an sebagai 'periode emas' kepada puisi Indonesia berkata zaman tersebut melahirkan penyair hebat negara itu yang terkenal dengan konfrontasi dan perlawanan, WS Rendra.
Penyair 'frontal'
Rendra disifatkan sebagai penyair 'frontal' yang sering terkehadapan dan menonjol dalam perlawanan melawan ketidakadilan sistem selain nama-nama seperti Chairil Anwar dan Widji Thukul.
Untuk rekod, Rendra pernah dipenjara di pusat tahanan polis tentera Guntur selama sembilan bulan oleh rejim Suharto pada tahun 1979 tanpa sebarang dakwaan, dipercayai akibat sajak-sajaknya yang lantang mengkritik pemerintahan Orde Baru pada waktu itu.
Widji Thukul tidak menerima nasib lebih baik apabila dia hilang sejak 1998, dipercayai diculik tentera rejim Suharto. Seperti Rendra, Thukul adalah sasterawan sekaligus aktivis hak asasi manusia yang berjuang untuk pembangunan bangsanya.
Dalam pada itu, Zaen yang punya idea berbeza tentang peranan penyair dalam menanggapi zaman tetap mengakui bahawa puisi harus ada dalam suasana demokratik.
Program Diskusi Seni pada malam itu merupakan siri program Pesta Tinta anjuran Rumah Seni Selangor dengan kerjasama Kediaman Buku dan disokong kerajaan negeri Selangor.
Rumah Seni Selangor yang dibuka pada April 2018 merupakan inisiatif pejabat Exco Pembangunan Generasi Muda & Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan terdahulu yang pada ketika itu diterajui YB Amirudin Shari, kini Dato’ Menteri Besar Selangor. Ia berada di bawah induk Kota Seni PJ kelolaan Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
*Disiarkan di Suara Keadilan 396
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


No comments:
Post a Comment