Wednesday, October 24, 2018

Pembiayaan parti politik: Wakaf ada jalan penyelesaian?



Terdapat satu garis halus yang memisahkan antara parti politik dengan rasuah. Hakikat ini diakui sendiri oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini yang mengatakan "rasuah terbesar yang berlaku adalah dalam kalangan parti politik".

Menyedari perkara tersebut, perlu ada mekanisme paling ampuh membiayai parti-parti politik di negara ini bagi mengelakkannya didanai pihak-pihak berkepentingan yang punya niat tertentu.

Mengakui parti politik perlu punya sumber kewangan sendiri, kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) walaubagaimanapun belum punya cara menyalurkan pembiayaan kepada mereka tanpa sebarang kecenderungan untuk dimanipulasi.

Model Jerman di mana kerajaannya memberi dana kepada semua parti politik dilihat tidak sesuai dengan konteks negara kita yang masih memerlukan pembiayaan dalam bidang-bidang yang lebih kritikal seperti pendidikan, kesihatan, pengangkutan awam dan lain-lain, kata penganalisis politik, Dr Mazlan Ali.

Bahkan Dr Mahathir sendiri turut menolak idea ini seperti katanya, "takut nanti masing-masing nak tubuh parti supaya dapat wang (dana dari kerajaan)".

Wakaf biaya parti politik?

Dalam temubual Suara Keadilan dengan Timbalan Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah Awqaf Holdings Berhad, Mohammad Sahar Mat Din berkisar isu wakaf baru-baru ini, beliau ada membangkitkan cadangan betapa penyelesaian isu ini mungkin ada pada institusi wakaf yang punya sejarah panjang membiayai kegiatan ekonomi rakyat.

Seperti yang telah dipaparkan dalam dua isu berturut-turut sebelum ini, 394 dan 395, wakaf punya potensi besar untuk menangani masalah bukan sahaja umat Islam di negara ini, malah manfaatnya turut boleh dirasai orang bukan Islam.

Kaedah wakaf nyata belum dimanfaatkan sepenuhnya di Malaysia di sebalik kejayaan yang telah dicapai syarikat berorientasi wakaf seperti Kumpulan Waqaf An-Nur yang memberi tumpuan kepada bidang kesihatan melalui pembukaan hospital dan klinik-klinik wakaf.

Menurut Pemangku Pengarah Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) itu, konsep yang sama boleh digunakan untuk membiayai parti-parti politik dengan syarat-syarat tertentu.

Jelasnya, wakaf tidak seperti zakat yang mempunyai kumpulan asnaf tersendiri di mana penyaluran bantuan hanya boleh disalurkan kepada kumpulan yang telah ditetapkan syarak.

Kalis rasuah

Berbeza dengan kaedah lain yang terdedah kepada manipulasi dan rasuah, pembiayaan melalui dana wakaf dilihat tidak memberi sebarang kelebihan kepada mana-mana pihak berkepentingan kerana dana yang dikumpul datangnya sama ada dari sumbangan orang ramai atau melalui aktiviti pelaburan syarikat wakaf terbabit.

Kebimbangan tersebut ada asasnya apabila sebuah syarikat baru-baru ini berhasrat menyumbang RM100 juta kepada Tabung Harapan namun ditolak kerajaan kerana dengan jelas ia punya motif tersendiri, seperti dikatakan Perdana Menteri.

Dana wakaf dapat menjadikan sumber kewangan parti-parti politik di Malaysia lebih bersih dan terpelihara daripada unsur-unsur meragukan, selain bersifat 'kalis rasuah'.

Sebagai permulaan, Sahar melihat pembiayaan melalui wakaf lebih sesuai disalurkan kepada penganjuran program-program parti terutamanya melibatkan masyarakat awam.

Jelas Sahar, falsafah penyaluran dana wakaf yang bermatlamat menjaga kepentingan negara membolehkan ia digunakan untuk menjaga kepentingan parti politik yang punya peranan besar dalam membangunkan negara.

Selamat dana kerajaan

Menjelaskan lebih lanjut, Sahar berkata dana yang disalurkan kepada parti politik seharusnya merupakan keuntungan dari pelaburan yang dibuat organisasi tersebut, bukannya datang terus dari hasil kutipan.

Memberi contoh operasi syarikat Awqaf Holdings Berhad, dana yang dikumpul dibahagikan kepada perkhidmatan (30 peratus) dan pelaburan (70 peratus). Dengan cara ini, harta tersebut 'ditahan' agar mampu dikembangkan untuk manfaat lebih besar, selain menepati makna 'waqaf' itu sendiri dari segi bahasa yang bermaksud 'menahan'.

Pembahagian peratusan sebegini walaubagaimanapun jelasnya, boleh berubah mengikut keadaan, sebagai contoh, jika dana mencapai satu tahap tertentu yang membolehkannya menyalurkan lebih banyak, maka ia boleh dilakukan.

Berharap kaedah ini dapat dilaksanakan satu hari nanti, Sahar berkata sepanjang sejarah, institusi wakaf telah banyak membiayai kegiatan ekonomi umat dari sekecil-kecil perkara seperti membaiki jam di masjid sehinggalah mengurus keselamatan jalan, dan memelihara keindahan kota.

Maka, bukanlah sesuatu yang luar biasa jika pada masa ini wakaf digunakan untuk membiayai parti-parti politik yang merupakan satu saluran untuk membangunkan negara dalam jalur demokrasi.

Malah, jelasnya kaedah ini dapat menangani isu penyelewengan dana kerajaan oleh parti yang berkuasa. Pada masa sama, kerajaan tidak perlu mengeluarkan sejumlah dana untuk membiayai parti-parti politik di negara ini.

Ikut keutamaan

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial Bahagian Pendidikan Islam, Universiti Selangor (UNISEL), Ab Razak Aripin berkata idea ini merupakan satu pendekatan realistik untuk menangani isu dana politik pada ketika ini.

Namun beliau berpandangan keutamaan harus diberikan mengikut prinsip wakaf tersebut dan hanya selepas itu barulah disalur kepada parti-parti politik.

"Kepentingan wakaf adalah untuk umat Islam terlebih dahulu. Pihak wakaf juga harus berlaku adil jika mahu membiayai, tidak tertumpu kepada parti politik tertentu sahaja," katanya yang juga mantan Yang Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Johor.

Bagi Naib Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM), Datin Paduka Che Asmah Ibrahim, beliau berpandangan segala usaha membanteras rasuah sehingga ke akar umbi (termasuk melalui pembiayaan parti politik), perlu disokong. Jelasnya, rasuah semasa kempen politik adalah permulaan kepada merebaknya rasuah dalam sistem pemerintahan negara terutama apabila parti yang disokong berjaya memerintah.

Namun, beliau meminta kerajaan mengkaji dengan teliti dan mendapatkan pandangan semua pemegang taruh bagi memastikan apa yang bakal diperkenalkan itu realistik dan boleh dilaksanakan dengan baik.


*Disiarkan di Suara Keadilan 397

No comments: