Oleh HAIZIR OTHMAN, SYAZWANI SUFIAN
Ternyata 2018 adalah tahun yang mendukacitakan bagi pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) apabila satu demi satu tragedi menimpa mereka sehingga mengorbankan nyawa demi menjalankan tugas.
Tragedi enam penyelam Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) lemas ketika melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) adalah yang pertama dalam sejarah jabatan itu membabitkan sekumpulan anggota terkorban pada satu masa.
Enam penyelam PPDA maut ketika menjalankan operasi SAR menyelamat seorang remaja terjatuh ke dalam lombong di Taman Putra Perdana, Puchong awal Oktober lalu.
Keenam-enam wira yang terkorban itu terdiri daripada empat anggota Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang dikenali sebagai Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24.
Dua lagi adalah dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Adnan Othman, 33 dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.
Adib pula pergi
Tragedi seterusnya yang berlaku baru-baru ini apabila Malaysia digemparkan dengan perginya seorang anggota JBPM, Muhammad Adib Mohd Kassim selepas bertarung nyawa selama 21 hari di Institut Jantung Negara (IJN).
Kisah menyayat hati beliau telah menyentuh hati hampir keseluruhan rakyat di negara ini apabila beliau pergi sewaktu sedang menjalankan tugas, dalam keadaan lengkap beruniform.
Adib mengalami kecederaan parah dipercayai akibat diserang sekumpulan perusuh ketika menjalankan tugas berkaitan insiden Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, 27 November lalu.
Lebih memilukan, pemeriksaan pasukan perubatan menemui beberapa kesan lebam di bahagian dadanya selain beberapa tulang rusuknya patah lalu mencucuk paru-paru sehingga mengakibatkan kesukaran untuk bernafas.
Kematian Adib mencetuskan suasana penuh emosi rakyat Malaysia, mendorong beberapa NGO menuntut kesnya segera mendapat pembelaan.
Ancam nyawa sendiri
Malah, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, mendoakan Adib dikurniakan syahid oleh Allah.
"Semoga kematian beliau ketika menjalankan tugas itu dijanjikan oleh Allah sebagai mati syahid kecil, sekurang-kurangnya."
"Bomba adalah satu pasukan yang amat diperlukan negara kerana tugas bomba ini bukan seperti polis dan tentera, tetapi mereka diperlukan untuk mengendalikan pelbagai kes antaranya bencana alam seperti banjir, kebakaran dan tanah runtuh."
"Selain itu mereka juga dibebankan dengan banyak kerja-kerja di luar dari skop asas seperti menyelamatkan orang terperangkap dalam lif, gangguan binatang dan sebagainya," katanya dalam sesi temubual khas dengan sebuah portal media.
Walaupun peranan tradisional anggota bomba seperti terdapat dalam Seksyen 5(10)(b) Akta 341, Akta Perkhidmatan Bomba 1988 adalah mengelakkan kehilangan nyawa serta harta benda daripada kebakaran dan bencana, namun kini peranan itu semakin luas melibatkan skop lebih mencabar sehingga kadangkala mengancam nyawa mereka sendiri.
Kurang popular
Tidak seperti polis dan tentera yang dilihat lebih popular, bomba seperti tidak mendapat perhatian serupa malah sering dilihat sebagai pilihan terakhir kerjaya di kalangan anak muda yang ingin menyertai unit beruniform.
Walhal, pengorbanan mereka tidak kurang hebat daripada dua lagi badan itu, dalam menyalurkan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara, dengan moto "Sedia Menyelamat".
Percambahan bidang tugas bomba nyata memerlukan kebolehan pelbagai (multi-tasking), telah menukar corak pengurusan dan operasi kebombaan kepada serba mahir dan cekap untuk melahirkan sebuah organisasi kebombaan bertaraf dunia.
Atas keperluan yang semakin mencabar itu, tugas dan fungsi jabatan telah diperluaskan dengan pengiktirafan yang telah diberi oleh kerajaan apabila nama Jabatan Bomba ditukar kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia pada 7 Februari 1997.
Memasuki tahun baru 2019, diharapkan kerjaya pasukan bomba lebih maju dengan peningkatan kemahiran, gaji lebih baik, penambahbaikan aset, pengiktirafan kerajaan, dan lebih penting - penghormatan dari masyarakat.
Tragedi meragut nyawa sepanjang 2018
16 Mac - Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh yang digelar "pakar ular", Abu Zarin Hussin, meninggal selepas dipatuk ular tedung dalam satu operasi di Bentong.
4 Oktober - Enam anggota PPDA; empat dari JBPM Pelabuhan Klang, dua dari JBPM Shah Alam maut dalam operasi menyelamat remaja jatuh lombong di Taman Putra Perdana, Puchong.
17 Disember - PB Muhammad Adib Mohd Kassim meninggal selepas bertarung nyawa selama 21 hari di IJN, setelah parah dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya pada 27 November.
Bomba perlu gaji berbeza
Sedar gaji anggota bomba yang dilihat kecil dan tidak setimpal dengan tugas mencabar mereka sehingga bersabung nyawa, Zuraida membayangkan skala gaji berbeza perlu diberikan kepada pasukan beruniform ini.
Jelasnya, perkara itu akan disemak semula lantaran skala gaji berdasarkan kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dilihat tidak lagi berpadanan dengan hakikat pekerjaan seorang anggota bomba pada masa kini.
"Walaupun tangga gaji yang mereka peroleh sekarang mengikut kelayakan, namun mereka mempunyai pekerjaan yang berisiko besar. Maka seharusnya diberikan satu skala gaji berbeza sebagai pengiktirafan agar ada minat yang berterusan untuk mereka."
"Secara tidak langsung, mereka juga dapat memberikan komitmen yang lebih tinggi dalam menjalankan tugas, selain merasakan diri lebih dihargai," katanya yang juga Ahli Parlimen Ampang.
Sebagai tambahan, Zuraida menjelaskan, dalam dasar perumahan baharu juga beliau telah meletakkan kuota untuk penjawat awam termasuklah anggota bomba.
3,000 jawatan kosong
Naib Presiden KEADILAN itu juga yakin walau pelbagai kejadian berisiko tinggi perlu dihadapi sehingga mempertaruhkan nyawa, pasukan bomba tetap komited menjalankan tugas berkhidmat demi rakyat dan negara.
"Saya tidak rasa ragu malah yakin dengan sikap mereka, cuma untuk masa hadapan saya berharap rakyat dapat lebih menghormati anggota bomba ini atau pasukan beruniform dan berikan penghargaan kepada mereka."
"Pada masa sama, saya juga berharap pasukan bomba dapat meningkatkan lagi mutu kualiti khidmat dari segi kepakaran, kemahiran dan diberikan latihan mencukupi."
"Maka sudah tentu kita akan teliti penstrukturan semula jawatan anggota bomba, jenis latihan mereka, kemudahan serta kelengkapan sama ada mencukupi atau tidak, agar keselamatan mereka terjamin ketika di lapangan," jelasnya lagi.
Tambah beliau, pada masa ini, keseluruhan anggota bomba yang berkhidmat adalah seramai 14,000 anggota di semua peringkat.
"Masih ada 3,000 kekosongan jawatan perkhidmatan bomba belum diisi," katanya yang menggalakkan lebih ramai anak muda untuk menyertai JBPM.
*Disiarkan di Suara Keadilan 406




No comments:
Post a Comment