Oleh HAIZIR OTHMAN, AZAR ISHAK
Melalui teori sejarah, perkembangan gerakan Islam dunia melalui tiga fasa utama. Pertama; fasa gerakan Islam zaman Nabi Muhammad SAW di Mekah dan Madinah, sehinggalah kepada pemansuhan sistem khalifah Islam Uthmaniyyah pada 1924.
Fasa kedua bermula dengan kebangkitan Islam melalui gerakan Pan-Islam dipelopori Sayyid Jamaluddin al-Afghani, sebelum diteruskan gerakan Islah (reformasi) pengikut-pengikutnya seperti Muhammad Abduh dan Rashid Ridha.
Berganjak ke peringkat ketiga, dunia menyaksikan Revolusi Iran 1979 yang berjaya menjatuhkan Shah Iran Pahlavi, sekaligus membentuk lanskap politik cukup berbeza di Timur Tengah sehingga ke hari ini.
Perkembangan gerakan Islam yang secara dominannya berlaku di Timur Tengah turut menghembuskan semangatnya ke Alam Melayu dengan melahirkan perjuangan menentang imperialisme Barat.
Seawal 1906, majalah al-Imam diterbitkan di Singapura, dipelopori pembawa islah yang majoritinya dipengaruhi pemikiran al-Afghani dan Rashid Ridha.
Keluaran pertama al-Imam mengungkapkan tujuan utama golongan ini sebagai:
"...mengingatkan mana yang lalai, menjagakan mana yang tidur, menunjukkan yang sesat, menyampaikan suara yang menyeru dengan kebajikan".
Menurut mantan Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Anuar Tahir, kemunculan ulama reformis di Tanah Melayu seperti Syed Sheikh al-Hadi dan Sheikh Tahir Jalaluddin telah meletakkan landasan awal penubuhan madrasah moden seperti Madrasah al-Mashoor di Pulau Pinang.
Jelasnya, dari situ lahirlah Maahad al-Ehya Asshariff, Gunung Semanggol, diasaskan Ustaz Abu Bakar al-Baqir sehingga menjadi pusat aktivis Islam paling dominan sebelum, semasa dan selepas pendudukan Jepun di Tanah Melayu.
"Ustaz Abu Bakar bergabung dengan tokoh Islamis progresif, Dr Burhanuddin Helmi sehingga mencetuskan pelbagai pertubuhan dan institusi."
"Parti politik orang Melayu pertama adalah Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), dipimpin Dr Burhanuddin, seorang muslim sejati, jauh menuntut ilmu sehingga ke India, mendapat pendedahan pergerakan kemerdekaan dan perjuangan membentuk bangsa," kata Anuar ketika ditemui Suara Keadilan baru-baru ini.
Tambah menarik, Gunung Semanggol menyaksikan penubuhan Lembaga Pendidikan Rakyat (LEPIR) pada 1947, berperanan menyusun kurikulum pendidikan sekolah agama rakyat di Malaya.
Kata Anuar, bertitik tolak dari penubuhan LEPIR, tertubuhlah Barisan Tani Malaya (BATAS), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Angkatan Pemuda Insaf (API) selepas itu, yang dipercayai penubuhannya ada jasa golongan Islamis.
Walaupun kebanyakan penganalisis politik dan sejarah menggelar mereka golongan berhaluan kiri, Anuar cenderung menyifatkannya sebagai definisi sahaja, kerana yang lebih penting adalah pengaruh semangat Islam kepada semua.
Katanya, ulama dan aktivis telah mencetuskan kesedaran kepada masyarakat sesuai dengan sifat Islam yang menentang perhambaan (penjajahan).
"Selepas merdeka, wujudnya Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Persekutuan Tanah Melayu (kemudiannya Malaysia). Dari situ, alumninya menubuhkan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
"Kemudian, ada kawan-kawan yang pulang dari Mesir, Malaysian Islamic Study Group (MISG) dan Islamic Representative Council (IRC) di United Kingdom, dan Voice of Islam dengan pengaruh Pakistan."
"Gerakan ini ada di mana-mana dan mempunyai pengaruh sendiri sehingga melahirkan insan seperti Saudara Anwar Ibrahim," katanya yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya.
Tafsiran sendiri atau muktabar?
Akan tetapi, wacana hala tuju dan wajah gerakan Islam di Malaysia masih lagi diperdebatkan sehingga ke hari ini dengan kehadiran versi dan takrifan yang pelbagai.
Ini kerana, kemunculan gerakan Islam di mana sahaja boleh dikatakan sebagai sebuah kain putih, sehingga boleh menampakkan warna sederhana, dan boleh berubah warna kepada hitam - ekstremis.
Bagi Anuar, sebuah gerakan Islam ideal haruslah mempunyai sikap mahu hidup bersama, sesuai dengan konsep Islam iaitu agama penyatu seluruh makhluk.
Sebuah gerakan Islam tidak boleh bersifat eksklusif sehingga terkurung di dalam 'bubble-nya', menafikan interaksi dengan realiti sesebuah negara, sebaliknya harus bersifat inklusif, membuka pintu untuk semua.
"Rahmatan lil alamin (rahmat untuk sekalian alam) satu konsep yang kita telah amati, ukhuwah Islamiah hukumnya wajib untuk menjaga persaudaraan," katanya.
Mengulas hal tersebut, Ahli Jawatankuasa Fatwa Jabatan Mufti Negeri Selangor, Prof Madya Datuk Mokhtar Shafii berkata, walaupun istilah ‘rahmatan lil alamin’ termaktub dalam al-Quran, tetapi penafsirannya masih memerlukan pemahaman tinggi.
Katanya, bahaya jika gerakan Islam terleka dalam menafsir konsep Islam, sehingga tidak berlandas al-Quran, hadis dan pandangan muktabar.
"Konsep ‘rahmatan lil alamin’ membawa maksud yang berperingkat. Bagi umat Islam, mereka sememangnya mendapat rahmat dari Allah seperti pahala dan syurga.
"Tapi bukan Islam juga menerima rahmat, kerana dengan amalan dan toleransi Islam, mereka dapat hidup aman-damai dan saling tolong-menolong," katanya yang tidak mahu konsep itu ditafsir secara liberal.
Tidak ada yang berjaya
Walaupun begitu, sehingga ke era pasca kejatuhan Uthmaniyyah dan Revolusi Iran, umat seakan-akan masih menunggu sebuah gerakan Islam yang benar-benar berjaya.
Sebagai contoh, gerakan Mujahidin berjaya mempertahankan Afghanistan daripada penjajahan Kesatuan Soviet, tetapi sehingga hari ini, negara itu masih tidak berfungsi akibat perang saudara dengan Taliban.
Gerakan Islam paling berpengaruh, Ikhwanul Muslimin sehingga kini ditekan negara-negara Arab, menyaksikan ramai pimpinannya ditangkap serta dihukum tanpa perbicaraan yang adil.
Lebih membimbangkan, perkataan Islam itu sendiri kini diberi tafsiran cukup menggerunkan media antarabangsa dengan kehadiran ISIS, al-Qaeda, Abu Sayyaf dan sebagainya.
Oleh itu, dalam mendepani cabaran sebegini, mungkin kita boleh mengungkap kembali saranan Presiden KEADILAN, Saudara Anwar Ibrahim bahawa dunia memerlukan kesediaan para Islamis untuk memimpin gerakan demokrat.
Dalam ucaptama di Kongres Muslim Demokrat Sedunia Kuala Lumpur (2014), Anwar telah menyingkap peranan ahli falsafah Pakistan, Muhammad Iqbal dalam mendepani cabaran pemikiran Barat.
Katanya, keresahan Iqbal terhadap masyarakat Muslim adalah lantaran kelemahan daya fikir mereka memahami bahasa universal dan kosmopolitan yang boleh dirai setiap individu di atas muka bumi.
Mungkin kita juga perlu mengingat kembali pesanan Muhammad Asad, kemunduran umat Islam berlaku kerana tindakan umat Islam sendiri meninggalkan tradisi ilmu, sebaliknya kembali kepada kebutaan spiritual dan kemiskinan intelek.
Tetapi, seperti mana tegas Datuk Mokhtar, kegagalan ini dipengaruhi pelbagai faktor, kembali kepada persoalan pemahaman Islam yang dibawa.
"Kita tak boleh nafikan faktor musuh Islam, geopolitik dan sebagainya. Hal ini perlu perbincangan panjang, tidak boleh disimpulkan begitu sahaja," katanya.
Rai wacana Malaysia Baru
Oleh hal demikian, mengambil kesempatan dari suasana Malaysia Baru yang meraikan pandangan dan keterbukaan, sudah tiba masanya gerakan Islam di negara ini untuk saling bersemuka dan berwacana dalam melontarkan idea.
Ini kerana, sesuai dengan konsep Islam yang tidak memandang bangsa dan taraf, setiap pendekatan dakwah tidak akan sampai jika pemahaman sesuatu gerakan hanya berkisar di kalangan ahli tanpa membabitkan khalayak umum.
Seperti dikatakan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dalam perutusan tahun barunya, Malaysia perlu kekal aktif sebagai model negara yang stabil, demokratik dan makmur ekonominya di peringkat antarabangsa.
Katanya, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan juga perlu diberi tafsiran progresif sesuai dengan konsepnya sebagai 'rahmat untuk sekalian alam'.
"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah-mesra antara satu dengan yang lain).
"Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)," Surah al-Hujuraat, ayat 13.
Kesimpulannya, dimensi politik semasa memerlukan gerakan Islam terlibat dalam wacana baru negara, termasuklah bersifat terbuka dengan tafsiran ijtihadi, bukannya gerakan Islam yang hanyut dengan pemahaman sendiri dan retorik semata-mata.
*Disiar di Suara Keadilan 407

No comments:
Post a Comment