Wednesday, January 30, 2019

Kerinchi harus jadi pemula gerakan kesedaran sejarah



Oleh HAIZIR OTHMAN

Pemasyhuran semula nama Kampung Kerinchi dari Bangsar South baru-baru ini yang disempurnakan majlisnya oleh bakal Perdana Menteri Malaysia, Saudara Anwar Ibrahim seharusnya dijadikan batu loncatan ke arah memartabatkan warisan sejarah negara.

Menyedari kepentingan sejarah sebagai aset negara yang harus dijaga dan dipertahankan, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, orang penting di sebalik usaha ini berkata kita tidak harus malu dengan nama "Kampung" kerana ia merupakan sanjungan dan penghormatan kepada masa silam.

Menulis di laman twitternya, Fahmi mempertahankan keputusannya mengekalkan frasa "Kampung Kerinchi" berbanding "Kerinchi" sahaja kepada salah seorang pengguna laman yang memberi komen kepada keputusan tersebut.

"Berikan ia masa. Bayangkan Alibaba Group (syarikat multinasional China) di Malaysia, tapaknya di Kampung Kerinchi!" jelasnya.

Hakikatnya, langkah ini harus jadi lebih besar daripada hanya penukaran nama melibatkan pertukaran aksara yang mewakilinya. Malah, jika menggunakan premis ini sahaja pun, ia sebenarnya sudah cukup kuat kerana nama adalah simbol pertama yang mendukung keseluruhan makna subjek tersebut termasuk sejarahnya, latar belakang, psikologinya, konteks malah maruah.

Memperibumi nama

Bertitik tolak dari hujah ini, inisiatif yang dirintis Fahmi hanya menjadi semakin penting kerana di dalamnya terkandung khazanah, perbendaharaan ilmu bangsa ini berusia ratusan tahun, bermula sejak ia mula dibuka Abdullah Hukum sekitar tahun 1890-an dulu.

Momentum dari usaha ini harus dimanfaatkan untuk 'memulangkan' nama-nama asal jalan, kawasan kediaman dan lain-lain yang telah diubah kepada nama asing. Sasterawan Negara, Dr Anwar Ridhwan berharap ia jadi permulaan bagi siri pengubahan nama-nama asing daripada nama asal yang ada nilai sejarah dan budaya tempatan.

Katanya kepada Suara Keadilan, tiada gunanya kita menggunakan nama asing, malah negara-negara maju seperti Jepun, Korea, Jerman dan lain-lain menggunakan nama tempatan mereka (untuk nama jalan dan lain-lain).

SN Dr Anwar Ridhwan

Senada dengan Dr Anwar adalah seorang lagi Sasterawan Negara, Baharuddin Zainal yang juga dikenali sebagai Baha Zain. Tegasnya, nama-nama tempatan ini memberi imej dan kehormatan terhadap identiti watak bangsa kita sebagai bangsa yang bebas mental dan jiwanya.
 Justeru, beliau mencadangkan Menteri Kebudayaan menyusun tindakan rasmi bagi memperibumi (indigenisation) nama jalan, kawasan, bangunan dan lain-lain.

"Harus pinda ordinan DBP untuk punya kuasa bagi mendakwa pihak yang melanggar penggunaan Bahasa Kebangsaan.
Menteri Kebudayaan diharap dapat merancang strategi membangunkan kesedaran terhadap unsur tradisi, sejarah dan warisan setempat (di kalangan) generasi muda, penjawat awam, dan pihak swasta," katanya kepada Suara Keadilan.

Kubur Sutan Puasa

Mengakui langkah sebegini memerlukan penguatkuasaan undang-undang, bekas Ketua Pengarah (KP) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Awang Sariyan berkata DBP mesti diberi wewenang untuk mengesahkan nama dan draf berkaitan penggunaan bahasa di tempat awam sebelum permit kelulusan diberikan kepada pemaju, syarikat dan badan kerajaan.


"Sewaktu saya KP DBP, isu Bangsar South ada dibangkitkan tetapi ketika itu tiada kesediaan pihak berkuasa, khususnya kerajaan tempatan. Kes pengembalian nama Kampung Kerinchi patut menjadi titik tolak perubahan nama tempat-tempat lain agar berciri kebangsaan," katanya.

Melihat kes ini lebih jauh, pengkaji sejarah bebas, Azlan Shariff mahu tindakan lebih besar diambil selepas ini, tidak terhenti setakat penukaran nama. Bercakap kepada Suara Keadilan, aktivis masyarakat itu mahu pihak berwajib seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memasukkan pertimbangan sejarah dalam sebarang perancangan bandarnya.

"Sehingga kini kubur Sutan Puasa (antara pengasas Kuala Lumpur) tiada papan tanda (bagi memudahkan menuju ke situ). Terowong rahsia Bukit Nanas, kisah perang KL juga tak selesai (diceritakan). Rumah P Ramlee hancur," ujarnya, kesal.

Selain DBKL, katanya, lanjutan dari usaha ini perlu disambut antaranya oleh Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Selangor, dan Perbadanan Adat Melayu Dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) kerana Kuala Lumpur berkongsi sejarah yang sama dengan Selangor. Malah, ia pernah menjadi pusat pemerintahan negeri sebelum dijadikan Wilayah Persekutuan oleh kerajaan Malaysia pada 1 Februari 1974.

Kurang lekuk

Jelas Azlan lagi, pertukaran nama tidak akan bermakna apa-apa jika tiada langkah susulan termasuklah pemuliharaan tapak-tapak sejarah yang ada di sana seperti batu Acheh, makam tokoh-tokoh pengasas Kuala Lumpur, juga mencari semula waris mereka.

Ilmu sejarah malah tidak terbatas kepada unsur romantisme atau nostalgia semata-mata, sebaliknya ia aspek penting dalam merencana pembangunan negara. Menjelaskan kepentingannya, Setiausaha Kehormat Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Selangor, Mohamad Romazi Nordin berkata fakta yang dibekalkan pihaknya dapat dijadikan panduan jabatan perancang bandar sebelum melaksanakan sebarang projek.

"Sejak 1800-an, Sungai Klang ada sembilan lekuk. Tapi, akibat aktiviti pembangunan seperti perlombongan bijih timah dan lain-lain, lekuknya telah berkurang, menyebabkan mudah berlaku banjir di kawasan sekitarnya," katanya ketika dihubungi.

Menyokong penuh usaha Fahmi Fadzil, beliau berkata bangsa kita telah membangunkan peradaban sendiri berasaskan kearifan tempatan, maka tidak perlu meminjam nama-nama asing untuk tujuan tersebut.

Jelasnya, di sepanjang Sungai Klang terdapat lebih daripada 100 buah kampung tradisi termasuk Kampung Kerinchi yang punya sejarah panjang dan keunikannya tersendiri. Pendaulatan nama kawasan-kawasan tersebut dengan nama tempatan akan dapat memelihara identiti kawasan tersebut, dan membolehkan sejarahnya terus diceritakan kepada generasi mendatang, katanya lagi.


*Disiarkan di Suara Keadilan 410


No comments: