Wednesday, January 23, 2019
Ulasan buku Penampilan Demokrat Muslim (Siri 3) Demokrat Muslim, reformis, dan kebangkitan politik
Oleh HAIZIR OTHMAN
Bintang Anwar terus menyinar dalam kerajaan. Sebaik menyertai kabinet Mahathir dengan jawatan pertamanya Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, langkah beliau semakin laju memanjat tangga-tangga kekuasaan dengan jawatan menteri penuh; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan (1983), Menteri Pertanian (1984), Menteri Pendidikan (1986), Menteri Kewangan (1991), Timbalan Perdana Menteri (1993), sehinggalah memangku jawatan Perdana Menteri (1997).
Dalam kerajaan, peranan Anwar dalam pembudayaan nilai-nilai Islami semakin terserlah. Idealisme yang dibawa sejak zaman mahasiswa dalam PBMUM, PKPIM, dan ABIM dijelmakan lewat dasar-dasar kerajaan, selari dengan sifat mesra Mahathir terhadap Islam pada awal pentadbirannya.
Penubuhan Universiti Islam Antarabangsa (1983), Bank Islam (1983), Institut Kefahaman Islam Malaysia, IKIM (1992), dan lain-lain dalam periode ini hanya menunjukkan betapa cocoknya pasukan Mahathir-Anwar dengan penerapan nilai-nilai Islam dalam pemerintahan kerajaan, sesuatu yang belum pernah dilakukan secara agresif oleh kepimpinan negara sebelum mereka.
Penampilan Anwar sebagai sosok demokrat Muslim dalam kerajaan bukan sahaja melakar garis baru dalam pendekatan politik kerajaan, malah jadi satu titik penting dalam perjalanan gerakan politik Islam di seluruh dunia. Ia malah memperlihatkan proses evolusi sikap gerakan Islam terhadap faham demokrasi dari tahun-tahun 1960-an sehingga 1990-an.
Berbeza dengan pendekatan garis keras gerakan Islam terhadap demokrasi pada tahun 1970-an dan 1980-an lewat Abul A'la al-Mawdudi, Sayyid Qutb dan lain-lain, seiring dengan masa, demokrasi semakin diterima gerakan Islam. Prof Dr Yusuf al-Qardhawi malah berijtihad bahawa semangat demokrasi sesuai diamalkan, dan punya persamaan dengan sistem syura.
Gerakan an-Nahdah pimpinan Rachid Ghannouchi merintis pengalaman getir gerakan Islam dalam politik apabila memenangi pilihan raya Tunisia tahun 2011 selepas kejatuhan Ben Ali lewat Revolusi Jasmin. Kejayaan Ghannouchi amat ditentukan sikapnya yang tidak keberatan berkongsi kuasa walaupun partinya beroleh mandat besar. Lebih jauh, lewat kerjasama, beliau tidak mengangkat dirinya sebagai presiden sebaliknya membenarkan diisi pemimpin parti al-Muktamar, Moncef Marzouq.
Tersingkir dari kerajaan
Sifat politik akomodatif dan inklusif ini sekira-kira serupa dengan pendekatan Anwar selepas itu yang membuka pintu kerjasama dengan rakan-rakan dari golongan sekular, liberal malah dari kalangan orang bukan Islam dalam satu model perkongsian kuasa.
Model ini juga diambil Barisan Alternatif (BA), persepakatan parti-parti pembangkang dari Parti Keadilan Nasional (KEADILAN), Parti Rakyat Malaysia (PRM), Parti Tindakan Demokratik (DAP), dan Parti Islam Se-Malaysia (Pas) dalam persediaan melawan Barisan Nasional sebelum Pilihan Raya Umum tahun 1999, gabungan pertama ditubuhkan selepas peristiwa Reformasi 1998.
Dekad 1990-an menyaksikan banyak projek Mahathir berjalan - Dasar Pembangunan Nasional, Wawasan 2020, pengkorporatan Malaysia dan lain-lain di mana Mahathir mahu cepat melahirkan ramai usahawan Melayu dengan mengagihkan projek kerajaan kepada golongan Bumiputera - akhirnya melahirkan budaya politik wang untuk memanjat hirarki politik, penaungan politik, dan korupsi.
Dekad ini menguji ketegasan Anwar mempertahankan prinsip, juga hubungannya dengan Mahathir, sehingga menjerumuskan kepada penyingkiran beliau dari parti dan kerajaan pada September 1998, sekaligus mencetuskan gelombang politik besar negara, mengubah lanskapnya, dan menjadi tapak kepada perubahan besar yang bakal berlaku 20 tahun kemudian.
Tahun 1998, bermulalah fasa Anwar di luar kerajaan, namun malangnya destinasi pertama yang dilorongkan buatnya adalah penjara. Cuma, penjara bukanlah tempat yang tidak pernah beliau singgah. Penulis buku ini, Charles Allers menyebut pemecatan itu mengembalikan Anwar ke zaman beliau bersikap 'anti-establishment', jadi inspirasi kepada perjuangan demokrasi dan keadilan sosial.
Sambutan rakyat terhadap agenda Reformasi amat dipengaruhi oleh imej Muslim moderat Anwar, selain lunturnya kredibiliti kerajaan yang mula menunjukkan kukunya lewat penahanan besar-besaran penyokong Anwar dan gerakannya.
Kesan peristiwa ini adalah tercetusnya kesedaran berpolitik yang tinggi di kalangan rakyat. Badan-badan bukan kerajaan (NGO) tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Lahir Majlis Gerakan Demokrasi Keadilan Rakyat (Gerak), Pergerakan Keadilan Sosial (ADIL), sebelum membuat keputusan terjun ke dalam politik kepartian sehingga KEADILAN dan BA tertubuh.
Kebangkitan politik
Peristiwa ini juga melahirkan satu angkatan, malah satu generasi baru anak muda pelbagai kaum dengan pemikiran segar yang mahukan Malaysia yang lebih baik, turun ke jalan-jalan raya dalam siri-siri demonstrasi menuntut keadilan ditegakkan.
Apabila mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun kepada Anwar, tidak sedikit yang menjangka karier politik beliau telah berakhir. Kesukaran dalam tahanan dan rumitnya proses perbicaraan telah memakan tenaga dan usia beliau, tetapi semangat perjuangannya tidak terpadam.
Seperti kata-katanya yang sering diulang, "biar jasad terpenjara, tapi jiwa tetap merdeka," Anwar tidak menghentikan usahanya memperjuangkan keadilan dari balik tirai besi. Sebaliknya, kelibat beliau terus relevan lewat tulisan-tulisan dan respon sekitar arena politik tempatan mahupun antarabangsa terutama melibatkan dunia Islam.
Berundurnya Mahathir sebagai perdana menteri digantikan Abdullah Badawi memberi kelegaan kepada Anwar apabila Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuannya sekaligus membebaskannya pada tahun 2004. Kelembutan Abdullah itu walaubagaimanapun tidak hadir sebelum Pilihan Raya Umum 2004 yang menyaksikan parti kerajaan menang 90 peratus kerusi parlimen.
Kembalinya Anwar ke arena politik selepas mendekam di penjara disifatkan mantan Presiden ABIM, Dr Siddiq Fadzil dalam puisinya sebagai "lebih sakti". Pilihan Raya Umum 2008 menyaksikan kejayaan cemerlang Pakatan Rakyat (kemudiannya Pakatan Harapan) apabila berjaya menguasai lima negeri - Selangor, Pulau Pinang, Perak, Kedah, dan Kelantan, selain menafikan majoriti 2/3 Barisan Nasional.
Hanya sepuluh tahun selepas itu, Pakatan Harapan mencipta sejarah pada 9 Mei 2018 menduduki Putrajaya sebagai kerajaan yang sah dipilih rakyat.
*Disiarkan di Suara Keadilan 409
Subscribe to:
Post Comments (Atom)



No comments:
Post a Comment