Wednesday, January 16, 2019

Ulasan buku Penampilan Demokrat Muslim (Siri 2): Kelahiran tokoh muda Islam yang menjanjikan



Oleh HAIZIR OTHMAN

Bakat kepimpinan Anwar terserlah sejak beliau masih di bangku sekolah. Maktab Melayu Kuala Kangsar, Perak yang telah melahirkan sebilangan besar pemimpin negara adalah medan beliau mengasah potensi dalam dirinya lewat pidato, ketrampilan, pemikiran kritis,  fikrah Islami, kesedaran terhadap masyarakat dan lain-lain.

Melanjutkan pengajian ke institusi tersohor, Universiti Malaya pada usia kemerdekaan negara menjangkau tahun kesepuluh, anak muda kelahiran Cherok Tok Kun ini tidak mengambil masa lama untuk memposisikan dirinya dalam arena politik nasional seawal tahun pertama di menara gading.

Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) adalah jejak-jejak awal beliau dalam perjalanan panjang politik insan bernama Anwar Ibrahim ini.

Sejak dari tempoh itu lagi, semangat perjuangannya telah dinyalakan - mengangkat isu-isu kemiskinan, ekonomi, bahasa Melayu, pendidikan, kesihatan dan pembangunan luar bandar.

Dalam tempoh singkat, PBMUM dan PKPIM menjadi gerakan politik yang dikenali ramai lewat aktiviti mereka dalam seminar, penerbitan bahan bercetak, rapat-rapat umum, juga demonstrasi besar-besaran, lantang mengkritik pemimpin utama negara termasuklah perdana menteri pada ketika itu, Tunku Abdul Rahman.

Fikrah Islami

Menjadi latar perjuangan Anwar dan kumpulan mahasiswa pada ketika itu adalah kebangkitan Islam yang berlaku di seluruh dunia. Walaupun perjuangan mahasiswa 1960-an dan 1970-an turut dipengaruhi idealisme sosialisme dan agenda masyarakat tanpa kelas ala Marxisme, Anwar tidak apologetik membawa nafas Islam dalam perjuangannya.

Penulis buku ini, Charles Allers mengungkapkan kecenderungan Anwar ini selaras dengan perkembangan pemikiran kontemporari yang dibawa tokoh-tokoh seperti Muhammad Iqbal, Fazlur Rahman, Abul A'la al-Mawdudi, Sayyid Qutb, Hassan al-Banna, dan Ismail al-Faruqi.

Di rantau sebelah sini, Anwar berminat dengan idea dan pemikiran bekas Perdana Menteri Indonesia, Muhammad Natsir yang dijelaskannya sebagai tokoh moderate Islam, selain menyifatkan penulisan ulama-sasterawan terkemuka Nusantara, Haji Abdul Malik Karim Amrullah (Hamka) amat mempengaruhi pemikiran dan gerakan Islam di Malaysia.

Sebagai penuntut Universiti Malaya, pengaruh lebih besar sudah pasti datang dari Dekan Fakulti Sastera, Profesor Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas yang disebut Anwar kemudian dalam bukunya, The Asian Renaissance sebagai 'tokoh ilmuan terkemuka'.

Dr Syed Naquib al-Attas kemudiannya punya peranan amat instrumental dalam penubuhan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang diasaskan Anwar Ibrahim dan rakan-rakannya dalam PKPIM seperti Razali Nawawi dan Abdul Wahab Zakaria sebagai wadah lanjutan perjuangan selepas menamatkan pengajian di universiti.

Penubuhan Yayasan Anda

Antara kejayaan besar ABIM ialah apabila berjaya membina sebuah pusat pendidikan di peringkat sekolah menengah, Yayasan Anda Akademik (YAA), khusus menangani masalah keciciran terutamanya di kalangan anak muda Melayu. Untuk rekod, Yayasan Anda pernah mencatat bilangan pelajar melebihi 1300 orang menjelang tahun 1980.

Anwar Ibrahim menerapkan nilai-nilai Islam dalam pendidikan di YAA. Menjadi pengetua pertamanya pada tahun 1971, beliau dan rakan-rakan guru lain mengambil gaji cukup rendah demi menyediakan yuran minimum kepada para pelajarnya yang rata-rata dari keluarga berpendapatan rendah.



Idea YAA di Kuala Lumpur kemudiannya dieksport ke Perak melalui penubuhan Institut Sofar, Ipoh, diasaskan Mohd Anuar Tahir (kini Timbalan Menteri Kerja Raya), Jamaludin Mohyiddin, Muhammad Munawwar, dan Aziz Omar. Menggunakan falsafah serupa, Institut Sofar mengembangkan gaya pendidikan Islam sehingga berjaya melahirkan tokoh-tokoh terkemuka negara seperti Prof Dr Muhammad Redzuan Othman (pakar sejarah Timur Tengah, Presiden Universiti Selangor) dan lain-lain.

Kesungguhan ABIM dalam pendidikan dibuktikan melalui penubuhan Taman Asuhan Kanak-Kanak Islam (Taski), Sekolah Rendah Islam (SRI), Sekolah Menengah Islam (SMI), dan Institut Pendidikan Ilmu-ilmu Islam, IPI (kini Kolej Darul Hikmah) yang kemudiannya jadi contoh dan model pendidikan pilihan.

Malah apabila dilantik menjadi Menteri Pendidikan kemudiannya, Anwar menerapkan kurikulum YAA dalam dasar pendidikan kebangsaan.

Menyertai Mahathir

Di sebalik siri-siri demonstrasi yang Anwar terlibat aktif dalamnya, suara lantang mengkritik kerajaan, ramai yang tidak menyangka keputusan Anwar menerima pelawaan Dr Mahathir menyertai Umno pada 29 Mac 1982.

Terutamanya Pas yang menyangka Anwar akan menyertai mereka, lebih-lebih lagi apabila mendapat bantuan ABIM dalam Pilihan Raya Umum 1978, keputusan tersebut turut memeranjatkan rakan-rakan lain sehingga pernah disebut aktivis budaya, Raja Ahmad Aminullah sebagai "berkecainya mimpi satu generasi".

Namun, keputusan yang dicap sebagai 'ijtihad politik' itu dibuat Anwar dalam keadaan sedar akan suasana 'taghyir' (perubahan) yang sedang dirintis perdana menteri baru, Dr Mahathir pada ketika itu selari dengan keterbukaan kerajaan terhadap penerapan nilai-nilai Islam yang bakal dijuarai Anwar.



Setakat dua puluh lima tahun merdeka, Mahathir dilihat perdana menteri paling cenderung kepada Islam, dan perubahan yang dilakukannya sudah dibuat sejak beliau menjadi Menteri Pendidikan. Ini menjadikan regu Mahathir-Anwar sebagai 'dream team' (pasukan impian) pada ketika itu.

Bermulanya khidmat Anwar dalam kerajaan, peranan yang dimainkan beliau jadi semakin signifikan. Walau dipertikai keputusan tersebut oleh banyak pihak, tiada siapa boleh menafikan jasa Anwar dalam perkembangan Islam di negara ini terutamanya dalam bidang kewangan, pendidikan, juga perkhidmatan awam.

Enam belas tahun dalam kerajaan sehingga menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri, Anwar berdepan tempoh tersukar dalam kerjaya politiknya apabila hubungannya dengan Dr Mahathir terjejas. Sehingga ia meletus dan mencetus suasana baru dalam arena politik negara, Anwar kekal watak penting - baik di dalam mahu pun di luar kerajaan.


*Minggu depan: Demokrat, reformis, dan kebangkitan politik


*Disiarkan di Suara Keadilan 408


No comments: