Wednesday, January 09, 2019
Ulasan buku Penampilan Demokrat Muslim (Siri 1) Anwar: sebelum dan selepas The Asian Renaissance
Oleh HAIZIR OTHMAN
Sepanjang sejarah, akan lahir tokoh-tokoh perubahan di satu-satu tempat untuk 'memulihkan' masyarakat daripada satu sistem banal dan korup yang melingkunginya - yang terjadi akibat terlalu lama berkuasa dan berleluasa.
Lahirnya tokoh-tokoh ini di tengah masyarakat, sama ada didorong oleh situasi sosiopolitik semasa atau apa pun, walaubagaimanapun amat dipengaruhi juga oleh kesediaan masyarakat itu sendiri untuk menerima perubahan. Faktor masyarakat-tokoh perubahan itu berkait rapat dan saling memerlukan; simbiotik sifatnya.
Dan, menurut Presiden Universiti Selangor (UNISEL) yang juga pakar sejarah Timur Tengah, Prof Dr Redzuan Othman, ironinya, proses perubahan berlaku dengan lebih cepat di negara-negara diktator. Semakin zalim kerajaan itu, semakin cepat ia akan jatuh. Sejarah tergelincirnya pemerintahan Zainal Abidin Ben Ali di Tunisia antara buktinya.
Di negara ini, telah berlaku sekian banyak peristiwa bersejarah menyaksikan perubahan dalam masyarakat dari satu fasa ke satu fasa yang lain. Baik dari zaman kuno, zaman klasik, mahupun zaman moden, proses itu sentiasa berlaku sebagai satu aturan sosiologi yang normal. Bahkan Ibnu Khaldun dalam karyanya, Muqaddimah menerangkan perubahan merupakan satu kitaran berulang.
Ungkapan popular, "history repeats itself" (sejarah itu berulang) dan ucapan monumental bekas Perdana Menteri Britain, Winston Churchill, "sesiapa yang gagal belajar dari sejarah akan ditakdirkan mengulanginya" tidak lahir begitu sahaja tanpa sebarang pertanggungjawaban. Terkandung di dalamnya pedoman-pedoman buat menjangka apa yang bakal berlaku pada masa akan datang.
Pra-Malaysia Baru
Maka, apa yang perlu dipelajari dari sejarah? Anggota Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara (JKKDPN), Hasrizal Jamil pernah menulis bahawa sejarah dipelajari untuk mengetahui sebab dan akibat (cause and effect) kepada sesuatu situasi, membolehkan kita menganalisis sampel pelakuan yang sudah berlaku demi memahami ke arah mana kita sedang bergerak pada satu-satu masa.
Dalam zaman moden ini, boleh dikatakan terdapat sekurang-kurangnya dua peristiwa besar di Malaysia yang dianggap telah mengubah lanskap politik tanah air. Pertama, kemerdekaan negara dari penjajahan British pada 31 Ogos 1957. Kedua, kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei 2018 menewaskan Barisan Nasional, kekalahan pertama mereka selepas 61 tahun.
Namun, adalah tidak adil untuk tidak menceritakan peristiwa-peristiwa pra-Malaysia Baru ini, juga tokoh utama di sebaliknya. Dan untuk menceritakannya, sejarah dua puluh tahun sebelumnya perlu disingkap kembali untuk menemukan peristiwa Reformasi 1998, juga pemegang watak utamanya - Saudara Anwar Ibrahim.
Salah satu daripada cara untuk mengenali tokoh ini adalah lewat tulisan-tulisan yang banyak dihasilkan para pengkaji dari dalam dan luar negara. Antaranya melalui buku tulisan Charles Allers, Anwar Ibrahim: Evolution of a Muslim Democrat yang diterbitkan kali pertama pada tahun 2013 oleh Peter Lang Publishing, New York.
Penulis buku ini memperoleh ijazah doktor falsafah dalam pengajian Islam dari University of Wales Trinity Saint David, United Kingdom. Lewat naskhah ini beliau melihat wawasan, dinamika perubahan, juga pendekatan-pendekatan reformasi yang diperjuangkan Anwar Ibrahim.
Negarawan Islam
Pada tahun 2017, badan penyelidikan milik kerajaan negeri Selangor, Institut Darul Ehsan (IDE) telah menerbitkan edisi bahasa Melayu buku ini dengan tajuk Anwar Ibrahim: Penampilan Demokrat Muslim, diterjemahkan Mohamad Rashidi Hassan.
Memuatkan sejarah kehidupan Anwar secara terperinci dari zaman kanak-kanak, mahasiswa, belia, terlibat dengan politik, menjawat posisi kedua tertinggi negara, dipecat, dipenjara, memimpin gerakan Reformasi, sehingga bergerak di luar kerajaan, buku ini amat sesuai dibaca untuk memahami perjalanan hidup Anwar dan bagaimana beliau mewarnai kanvas sosiopolitik negara.
Perlu juga difahami bahawa Anwar harus dilihat bukan semata-mata sebagai politikus malah peranannya sebagai negarawan Islam yang bicaranya sampai ke dunia Timur dan Barat, dengan kefahaman yang waras terhadap politik antarabangsa sehingga sering dijadikan rujukan sebagai tokoh demokrat Muslim yang baik.
Prof Dr John Esposito punya senarai panjang dalam mencirikan Anwar Ibrahim; tokoh yang punya sejarah panjang sebagai pemimpin belia berpengaruh, pengasas gerakan sosial Reformasi, pegawai senior kerajaan Malaysia, reformis Islam, dan intelektual rakyat.
Lewat prakata dalam buku ini, presiden Akademi Agama, Universiti Georgetown, Washington DC itu berkata Anwar mempelopori pendekatan paradigma baru ketamadunan berdasarkan nilai-nilai Asia, idea yang diutarakannya lewat buku beliau sendiri, The Asian Renaissance (1996).
Iltizam kuat
Penulisnya, Charles Allers dalam pendahuluan buku ini telah memetik beberapa perenggan dari buku tulisan Anwar tersebut, kenyataan yang mengisytiharkan iltizam tokoh berwibawa itu untuk menyumbang kepada kesejahteraan dunia:
"Saya membesar dalam tempoh berlakunya perubahan di mana berlakunya interaksi antara idea dan peristiwa dengan kebangkitan aktivisme mahasiswa, kebangkitan Islam, dan gelora politik."
"Tidak mahu sekadar jadi penonton, saya memilih terlibat secara langsung. Saya tumbuh dari semua ini, yakin bahawa walaupun hidup dalam perenungan dan memencilkan diri mampu memberi ketenangan minda dan jiwa, ia juga, jika digandingkan dengan tindakan dan kesaksamaan, boleh jadi lebih menenangkan."
"Saya tidak kesal dengan jalan ini kerana ia telah membawa saya kepada kehidupan yang mencabar, namun memuaskan hati. Pada tahap ini saya akan terus terlibat sepenuhnya untuk merealisasikan taraf kehidupan rakyat yang ideal."
*Minggu depan: Kelahiran tokoh muda Islam yang menjanjikan
*Disiarkan di Suara Keadilan 407
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


No comments:
Post a Comment