Wednesday, January 16, 2019
Staf mahu Rektor ASWARA diberhentikan
Oleh HAIZIR OTHMAN
"Dua orang pegawai radio Bfm dan seorang doktor di hospital kerajaan dibuang kerana gangguan seks. Tapi masih tiada tindakan atas rektor Aswara,"
Begitu hantaran Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Dr Syed Husin Ali di laman twitter 8 Januari lalu, mengingatkan kita status Rektor Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Prof Dato' Dr Mohd Rizon Juhari yang disaman kakitangannya baru-baru ini.
Mohd Rizon pada 27 September lalu diarahkan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, N Kanageswari untuk membayar ganti rugi RM70,000 kepada bekas pegawai ASWARA, A'eshah Ahmad @ A Tambi dalam kes saman sivil difailkan A'eshah terhadap Rizon. Selain jumlah tersebut, Rizon juga diperintah membayar kos guaman sebanyak RM15,000.
Namun, sehingga berita ini ditulis, Suara Keadilan dimaklumkan Rektor ASWARA yang dikaitkan dengan kes gangguan seksual itu masih menjalankan tugas.
Baru-baru ini, Suara Keadilan menerima sepucuk surat beserta memorandum dari kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai "Kami yang sayang kepada ASK/ASWARA, terutama pelajar-pelajarnya".
Surat dan memorandum yang ditujukan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad itu mempunyai dua bahagian, iaitu Bahagian 1: Latar Belakang ASK/ASWARA, dan Bahagian 2: Memorandum Syor/Cadangan Hala Tuju dan Kepimpinan ASWARA.
Berketebalan hampir 50 muka surat, memorandum tersebut secara jelas dalam bilangan 2.1, meminta Rektor ASWARA ditamatkan segera perkhidmatannya.
Mengemukakan 22 sebab, salah satu daripadanya adalah "beliau, selaku defendan dalam satu kes saman telah disabitkan kesalahan kerana melakukan gangguan seksual kepada Puan A'eshah binti A Thambi (bekas Pengarah Perhubungan Korporat ASWARA)".
Memo tersebut menyatakan A'eshah kemudiannya dikehendaki menjadi pensyarah di Fakulti Pengurusan Seni Budaya, namun kini telah berhenti/diberhentikan.
Untuk rekod, Rizon telah mengemukakan rayuan kes ini ke Mahkamah Tinggi.
Kempen BN
Rektor juga dinyatakan telah menggunakan khidmat salah seorang Ahli Lembaga Pengarah ASWARA sebagai peguam dalam kes tersebut secara percuma, menyebabkan berlaku konflik kepentingan kerana yang disaman A'eshah adalah Mohd Rizon, bukannya ASWARA. Selain itu, Pendaftar ASWARA, Zusmaidi Abd Aziz juga telah digunakan untuk membantu Rizon dalam Sesi Mediasi di Mahkamah Jalan Duta pada 10 Julai 2018.
Lebih jauh, satu-satunya saksi kes ini, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik ASWARA, Prof Madya Dr Md Nasir Ibrahim telah dipendekkan perkhidmatan pinjamannya dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dari 30 Mac 2019 kepada 11 November 2018 tanpa diberi sebab.
Dinyatakan Rizon telah mempengaruhi Lembaga Pengarah atas keputusan tersebut, yang tidak sepatutnya dilakukan kerana pelantikan dan pemberhentian Timbalan Rektor terletak di bawah kuasa YB Menteri (merujuk Akta 653).
Turut dipersoalkan, keputusan dibuat tanpa penubuhan Jawatankuasa Siasatan dan Tatatertib bagi membolehkan Dr Md Nasir membela diri. Nasib serupa dialami A'eshah yang dipecat dari jawatan Pengarah Perhubungan Korporat tanpa sebab jelas, dan tanpa peluang mengemukakan sebarang representasi diri.
Dilampirkan bersama-sama memo tersebut adalah sekeping gambar beserta keterangan "Dato' Rizon berbaju biru memakai t-shirt Barisan Nasional".
Dipercayai diambil dalam tempoh Rizon berkhidmat sebagai Rektor ASWARA, ia dengan jelas melanggar Peraturan 21(1), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, bahawa pegawai awam dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional adalah dilarang daripada mengambil bahagian dalam aktiviti politik atau memakai mana-mana lambang sesuatu parti politik.
Tindakan Rizon dalam politik kepartian Barisan Nasional (BN) secara jelas bertentangan dengan prinsip 'neutrality' (berkecuali) dan 'impartiality' (tidak berpihak) yang diamalkan dalam perkhidmatan awam.
Menurut sumber yang dekat dengan ASWARA, Rizon kini, selepas berlaku pertukaran kerajaan pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu telah 'menukar kem' dan kini sedang berusaha melobi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Sumber tersebut memberitahu, Rizon melalui ASWARA berhasrat menganugerahkan sesuatu kepada Tun Mahathir Februari nanti demi usaha tersebut.
*Disiarkan di Suara Keadilan 408
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment