Wednesday, January 23, 2019

Takziah Dinsman dan permulaan episod suram DBP



Oleh HAIZIR OTHMAN

Sejak kerusi Ketua Pengarah (KP) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dikosongkan November tahun lalu, polemik sekitar siapa yang bakal mengisi tempat tersebut hangat dibicarakan di kalangan penggiat sastera di negara ini terutamanya golongan penulis.

Ia jadi lebih hangat apabila pemilihan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP yang posisinya kosong lebih awal, turut mendapat kritikan hebat sesetengah pihak, malah tidak kurang menyatakan keputusan tersebut sebagai tidak tepat.

Desas-desus sekitar calon-calon yang disenarai pendek untuk jawatan itu menambah 'perisa' perbincangan; menimbulkan tanda tanya jua perbahasan siapakah paling layak menerajui DBP yang punya sejarah panjang dalam perjuangan bahasa dan sastera tanah air, lebih-lebih lagi selepas berlakunya peristiwa bersejarah pada 9 Mei tahun lalu yang menyaksikan tampuk kepimpinan negara berubah buat pertama kali sejak merdeka.

Nama-nama yang disebut-sebut sebagai calon bukan calang-calang, antaranya termasuklah Ketua Pegawai Eksekutif sebuah perbadanan berkaitan hal-hal perbukuan di bawah Kementerian Pendidikan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif sebuah penerbitan dan penterjemahan berwibawa, pengarang wanita prolifik, aktivis sebuah badan bukan kerajaan (NGO) sastera, selain bekas ekspatriat pemenang banyak anugerah sastera.

Selepas menerima kritikan bertalu-talu sejak bertahun-tahun, dan kemuncaknya mungkin lewat program forum membariskan Hishamuddin Rais, Dinsman, dan Eddin Khoo Julai tahun lalu di DBP sendiri, pengisian KP DBP dengan orang baru barangkali menimbulkan semacam harapan kepada warga sastera bahawa inilah masa dan ketikanya badan bahasa paling berpengaruh ini untuk berubah.

Harapan tertangguh

Namun, selepas rasmi pengumuman 9 Januari lalu menobatkan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Datuk Abang Salehuddin Abang Shokeran sebagai Ketua Pengarah ke-12 setelah beroleh 'markah tertinggi', harapan tersebut seakan-akan tertangguh.

Malah bagi penulis dan pengarah teater, Dinsman, harapan sudah tiada di DBP. Bercakap kepada Malaysiakini, pemilik nama Shamsudin Osman itu meragui perubahan bakal berlaku di sana dengan pelantikan tersebut.

“Ini melibatkan soal kerajaan yang berkata nak berubah tapi masih di takuk lama juga. Kalau macam itu tak payah cerita masa hadapan. Apa berlaku di DBP melambangkan keseluruhan kerajaan sekarang,” katanya.

Turut berkongsi di laman Facebook, beliau mendedahkan perancangan program seni budayanya sebelum ini yang telah dibincangkan dengan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik untuk dilaksanakan Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) dengan DBP tidak akan melibatkan badan itu lagi setelah ucapan 'takziah' diucapkannya kepada badan tersebut.

"DBP sebuah institusi yang penting sekiranya kita mahu memajukan bangsa Melayu. Sayangnya, potensi itu disia-siakan sahaja selama ini," komen Dinsman dalam satu status lain.

Presiden PAKSI itu ketika dihubungi Suara Keadilan November lalu memberi reaksi serupa terhadap pelantikan Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola DBP sejak Julai tahun lalu, namun mengakui tiada apa yang boleh dibuat kerana "ia pilihan menteri".

Kuat politik

Menceritakan kekesalan kepada Suara Keadilan, seorang penulis senior yang prihatin dengan sastera Melayu berkata, budaya politik terlalu kuat telah menjalar dalam DBP sehingga usaha memartabatkan budaya dan bahasa tidak lagi jadi keutamaan, sebaliknya apa yang dikejar ialah pangkat dan jawatan.

"Banyak teguran diberikan kepada DBP sejak beberapa tahun lalu. Jika tidak dibaiki, badan ini berdepan ancaman ditutup kerana dilihat semakin hari semakin tidak relevan," katanya.

Jelasnya, perubahan perlu dirintis pemimpin tertinggi kerana merekalah yang terlibat dalam membuat keputusan-keputusan penting berkaitan dasar bahasa dan kesusasteraan. Namun, apa yang berlaku, mereka terlalu sibuk mengikut menteri, pemimpin politik, malah kerabat diraja demi dipandang dan mendapat kedudukan yang baik.

Menurut satu sumber yang boleh dipercayai, terdapat beberapa keputusan pihak atasan yang cenderung bertujuan politik bukannya memartabatkan sastera. Sebagai contoh, lewat salah satu majalah terbitan DBP, liputan satu program di Sabah dibuat demi merapati seorang pemimpin tempatan.

Menggunakan alasan sastera, pemimpin ini dijadikan muka depan majalah tersebut selain slot wawancara khas dengannya, walaupun peranan beliau terhadap sastera boleh dipersoalkan.

Dulu DBP hebat

Merindui zaman kegemilangan DBP berketuakan tokoh-tokoh berwibawa seperti Ungku Aziz, Tun Syed Nasir, dan Datuk Hassan Ahmad, mengharapkan ia berulang seperti satu ketika dulu umpama menunggu kucing bertanduk.

Mengakui hakikat ini adalah Sasterawan Negara, Datuk Dr Zurinah Hassan yang membayangkan barisan pemimpin seperti itu amat sukar didapati pada masa ini.

"Sekarang ini memang susah kita nak cari orang yang hebat macam yang DBP pernah ada dulu. Dulu kita ada Ungku Aziz, Syed Nasir, Hassan Ahmad dan sebagainya," katanya ketika ditemui Suara Keadilan.

Allahyarham Hassan Ahmad

Untuk rekod, Hassan Ahmad (setelah tidak lagi menjadi KP DBP) pernah memimpin pergerakan membantah pelaksanaan dasar pengajaran dan pembelajaraan Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sekitar tahun 2009. Seorang lagi bekas KP DBP yang turut lantang membantah pada waktu itu adalah Datuk Aziz Deraman.

Kewibawaan Hassan Ahmad turut terlihat lewat siri tulisan beliau, Kaca di Jendela dalam majalah Dewan Masyarakat sebelum dibukukan sebagai Ke Luar Jendela oleh DBP. Punya pandangan bernas menyentuh aspek bahasa, budaya, dan agama, Hassan melihat "bahasa tidak hanya sebagai sistem atau struktur linguistik, tetapi lebih penting lagi adalah fungsinya, iaitu sebagai cara manusia membentuk fikirannya dan membina budaya dan tamadunnya."

Sebagai perbandingan longgar, dalam satu rancangan televisyen baru-baru ini, KP baru DBP menekankan usaha menegur kesalahan bahasa di papan-papan iklan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan.

Ya, di tangan kepimpinan baru DBP, kita tidak letak harapan tinggi. Untuk orang seperti Ungku, Nasir, dan Hassan muncul kembali menerajui DBP, mungkin kita perlu tunggu beberapa generasi lagi.


*Disiarkan di Suara Keadilan 409

No comments: