Wednesday, January 09, 2019

"Pandanglah penerbit buku kecil!"




Kuala Lumpur dinobat sebagai Kota Buku Dunia 2020 oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu  (UNESCO) September lalu.

Namun semakin hampir dengan tarikh tersebut, penerbit-penerbit buku kecil di negara ini masih berada di takuk lama apabila terpaksa berdepan kesukaran sehingga ramai di antara mereka berdepan situasi 'gulung tikar'.

Lebih menyedihkan, ada di kalangan mereka yang terpaksa mengadakan 'jualan kilat' atau lelong, demi meneruskan kelangsungan operasi untuk terus bertahan dalam industri perbukuan yang dianggarkan bernilai RM1.3 bilion ini.

Persoalannya, berapa banyak lagi syarikat penerbitan yang perlu ditutup sehingga kita menyedari industri buku negara semakin tenat?

Jika kita benar-benar ingin menjayakan hasrat Kuala Lumpur sebagai kota kedua di ASEAN sebagai penerima gelaran Kota Buku Dunia, kerajaan harus bekerja keras dalam memastikan penerbit buku, terutamanya penerbit kecil terus terbela, demi memastikan program tersebut tidak disia-siakan.

Selepas sembilan bulan

Menginjak usia sembilan bulan Pakatan Harapan (HARAPAN) memegang tampuk pentadbiran negara, tiada sebarang usaha jelas mahupun pendanaan yang diperuntukkan kerajaan bagi membela nasib penerbit-penerbit kecil ini.

Tambah memburukkan keadaaan industri perbukuan negara adalah berita mengenai penutupan Kedai Buku 1Malaysia (KB1M) yang menanggung hutang dianggarkan sehingga RM3 juta kepada penerbit kecil tempatan.

Antara yang terlibat adalah penerbit indie, Fixi sehingga mencecah RM105,000, Maghfirah Pustaka sehingga RM62,000, dan Media PTS melibatkan hutang menjangkaui RM206,000.

Disifatkan sebagai satu lagi kegagalan direkodkan kerajaan BN terdahulu, sudah tiba masanya kerajaan HARAPAN menyelesaikan masalah yang 'diwarisi' itu.

Antara rungutan yang disuarakan adalah ke mana perginya wang penerbit sedangkan buku-buku yang dibekalkan didapati sudah 'licin' terjual di rak-rak buku. Rata-rata mereka mendakwa tidak menerima sebarang bayaran sehingga kini.

Hutang KB1M ratusan ribu

Menceritakan pengalaman tersebut, Pengarah Eksekutif Gerakbudaya, Chong Ton Sin atau mesra disapa sebagai Pak Chong berkata syarikatnya terpaksa menanggung kerugian dengan KB1M sehingga RM50,000.

Bagi penerbit kecil, jumlah puluhan ribu begitu besar untuk terus 'hidup' dalam industri yang tidak menentu ini, rintih Pak Chong.

Pak Chong

"KB1M juga berhutang kepada pihak kami di Gerakbudaya. Mereka belum bayar sampai sekarang. Sebanyak lebih kurang sekitar RM30,000 sehingga RM50,000. Di peringkat Gerakbudaya kami masih boleh 'hidup' atau bertahan.

"Namun penerbit-penerbit kecil yang tergantung disebabkan hutang KB1M, amat sukar. Lazimnya, kalau bekalkan ke kedai buku dan tidak dibayar memang susah. Apatah lagi melibatkan puluhan dan ratusan ribu. Penerbit kecil susah, modal tidak banyak, buku itu saja dan kedai pula tidak bayar, jadi memang susah," katanya kepada Suara Keadilan.

Justeru, Pak Chong meluahkan hasrat meminta supaya kerajaan tampil membantu sama ada dari segi pembiayaan kos guaman mahupun melunaskan bayaran hutang KB1M secara berperingkat.

"Ada di antara kami yang tidak mampu untuk mengupah peguam. Kami memang harapkan kerajaan baru ini kalau boleh bantu selesaikan, meskipun ini masalah kerajaan lama. Sekiranya kerajaan baru ini mahu membantu, mungkin boleh membantu melunaskan bayaran secara beransur-ansur. Tiga atau empat kali pun sangat dialukan sebab ia sangat membantu," ujarnya.

Pak Chong berkata, sebagai usaha menyemarakkan industri buku, beliau mencadangkan kerajaan memberi tumpuan kepada peruntukan khas perpustakaan-perpustakaan di seluruh negara dalam membuat pesanan buku selain pemberian baucar buku khas buat golongan pelajar.

"Kerajaan perlu memberi lebih banyak peruntukan untuk perpustakaan; baik di universiti, sekolah, umum, daerah, atau komuniti. Jika perpustakaan mempunyai dana untuk membeli buku, ini bakal beri lebih peluang rakyat membaca," katanya.

Kembalikan dana perpustakaan

Menyentuh isu sama, bagi pengusaha kedai buku-buku Indonesia dan tempatan, Anis A Azam, dana pembelian buku perpustakaan awam harus dikembalikan.

Pemilik kedai Gadis Buku itu berkata, sejak insentif baucar buku diperkenalkan, dana perpustakaan seperti tiada lagi, dan ini menjejaskan pendapatan penerbit buku juga penulis yang sebelum ini dapat menjual kepada mereka secara pukal.

Anis A. Azam

"Dulu, peruntukan kerajaan sampai ke perpustakaan melalui dana pembelian buku baru. Apabila baucar buku dimulakan, dana perpustakaan (seperti) dah tiada."

"Jika kerajaan tiada idea baru memajukan industri buku, kembalikan sahaja dana pembelian buku perpustakaan ini," katanya ketika ditemui Suara Keadilan baru-baru ini.

Untuk rekod, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik pada November lalu dilaporkan telah membawa isu penerusan skim bantuan baucar buku dalam mesyuarat Kabinet, dan dipersetujui Kementerian Kewangan. Namun sehingga rencana ini ditulis, tiada sebarang pengumuman rasmi dibuat tentangnya.

Kerajaan tolong lunas

Mengulas isu hutang KB1M, ahli parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad mahu kerajaan membantu menyelesaikan masalah ini, lebih-lebih lagi jika kita benar-benar berhasrat ingin menjadikan Kuala Lumpur sebagai Kota Buku Dunia menjelang 2020. Menurutnya, jika dibandingkan dengan skala hutang 1MDB, hutang-hutang KB1M jauh lebih kecil.

"Selaku penulis dan penerbit buku, saya faham benar kegusaran pemain industri buku dalam keadaan sambutan terhadap buku yang semakin kurang."

"Memberikan mereka bantuan, dengan melunaskan hutang KB1M amatlah wajar dan akan membantu mereka untuk terus aktif menerbitkan buku," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, bagi penerbit buku Legasi Oakheart, Muhammad Hafiz Abdul Latiff, kerajaan perlu lebih cakna dengan melihat seni dan sastera mempunyai nilai dalam menjana pertumbuhan ekonomi negara.

Punya pandangan berbeza, beliau optimis industri perbukuan pada tahun ini bertambah meriah dengan kemunculan para penulis swaterbit (self-publish) yang memberi tawaran segmen baru sejak kebelakangan ini.

"Kehadiran mereka memungkinkan penawaran judul berbeza berbanding judul sedia ada di pasaran. Walaupun begitu, harus dititikberatkan kualiti penerbitan baik suntingan, reka letak, reka bentuk sampul kulit, cetakan dan sebagainya. Bukannya produk asal siap," jelas beliau yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutifnya.


*Disiarkan di Suara Keadilan 407

No comments: