Wednesday, January 02, 2019

M untuk Membebaskan: Perjuang nasib anak terpinggir lewat teater



Oleh HAIZIR OTHMAN

"Kanak-kanak membuatkan kamu ingin memulakan semula kehidupan," kata Muhammad Ali. Dan pada malam itu, usai menonton teater muzikal kanak-kanak Mona Ke Daerah M di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, perasaan serupa seperti yang diungkapkan tokoh terkenal sukan tinju itu terasa benar sekali.

Teach for The Needs (TFTN), sejak penubuhannya pada awal 2012, telah meletakkan anak-anak marjinal dalam garis perjuangan mereka. Memulakan langkah dengan membuka kelas tuisyen percuma untuk murid kurang berkemampuan dari segi kewangan termasuklah di kalangan anak yatim, langkah NGO ini semakin panjang apabila telah bertapak sehingga ke Jordan, dan terbaru, menyeberang Laut China Selatan membuka sebuah sekolah alternatif untuk anak-anak tanpa kerakyatan di Semporna, Sabah.

Bermula 2015, TFTN yang diasas Zul Fikri Zamir, dengan idea kreatif mereka, meneroka jalan baru pendidikan apabila menubuhkan Akademi Seni TFTN (ASET) dengan menjadikan teater sebagai medium mengeluarkan potensi yang ada dalam diri anak-anak ini.

Bekerjasama dengan aktivis teater, Fazleena Hishamuddin, ASET berjaya mementaskan persembahan sulung mereka, Kota Kelip-kelip di dua tempat, DPAC di Bangsar pada Jun 2015 dan di Penang PAC pada Disember 2016. Membariskan sepuluh orang anak-anak yang dipilih dari rumah-rumah anak yatim sekitar Lembah Klang, Kota Kelip-kelip adalah percubaan berani TFTN memecah stigma kononnya anak-anak marjinal punya "inferiority complex" atau rasa rendah diri yang tebal.

Dan percubaan itu berjaya.

Selepas dua tahun, ASET kembali dengan projek baru, kali ini di pentas lebih besar, pelakon lebih ramai, dan skrip lebih panjang. Mona Ke Daerah M mengumpulkan 19 orang kanak-kanak marjinal dari rumah anak yatim, rumah kebajikan, malah dari sekolah Rohingya. Dalam tempoh kurang sebulan, iaitu dalam tempoh cuti persekolahan lalu, anak-anak ini yang tiada asas teater telah dipilih dan dilatih untuk menjayakan watak-watak dalam pementasan teater pertama dalam hidup mereka.

Pecah stigma

Seperti kata pengarahnya, Fazleena, lewat buku acara, pementasan ini adalah "usaha memecahkan sistem yang wujud dari stigma dan skeptikal masyarakat" terhadap kumpulan anak-anak sebegini yang sering dinafikan peluang-peluang serupa yang dinikmati rakan-rakan seusia mereka dari kelas sosial lebih baik.

"Setiap individu harus diberi peluang untuk mewarnakan potensi diri. Tidak boleh diukur semata-mata dari kecemerlangan akademiknya," ujar penulis kumpulan cerpen Tari Pasar Perempuan ini dalam menjelaskan bagaimana tercetusnya idea untuk menghasilkan naskhah ini.

Menyedari potensi teater sebagai alat pendidikan yang berkuasa, Fazleena berharap dapat memberi alternatif baru dalam pengkaryaan teater kontemporari dengan naskhah segar, sehingga ia mampu menjadi ejen perubahan yang mapan.



Peranan teater malah dilihat mampu membebaskan kanak-kanak ini daripada sifat berasa diri lemah, tidak mampu, kerdil, malu, takut dan segala elemen negatif lain sebaliknya tumbuh menjadi berani, yakin, percaya diri, bersemangat, dan mahu mengubah nasib menjadi lebih baik.

Kecintaan yang sama kepada anak-anak marjinal inilah yang menemukan Fazleena dengan pengasas TFTN, Zul Fikri Zamir dari projek teater Kota Kelip-kelip sehinggalah Mona Ke Daerah M.

Mahu membebaskan anak-anak pinggiran ini dari 'miskin ilmu', Zul Fikri mengimpikan platform teater seperti ini dapat membuatkan anak-anak ini faham bahawa hidup adalah sebuah perjalanan panjang yang memerlukan mereka untuk menjadi manusia.

Ala "Alice in Wonderland"

Karya tulisan Amar Amir ini mengisahkan seorang kanak-kanak bernama Mona (lakonan Nabila Aisyah) yang sering tidak senang dengan adiknya, Hana (lakonan Farra Hakimah) atas pelbagai sebab, antaranya kerana perlu selalu mengalah, berasa Hana lebih disayangi ibu dan ayahnya ketimbang prestasi akademiknya yang lebih baik daripada Mona, malah sampai ke satu tahap apabila majlis hari jadinya sendiri pun seolah-olah ditentukan adiknya itu.

Pada peringkat ini, ia adalah kisah klasik hubungan adik-beradik yang sentiasa berlaku dalam mana-mana keluarga. Tapi tunggulah sehingga Mona berasa berang dan merajuk sehingga melahirkan pengharapan di depan Mega agar adiknya itu tidak pernah wujud dan lenyap daripada hidupnya.

Di sinilah elemen kejutan mula ditampilkan apabila tanpa disangka-sangka, Mega, satu watak dari rancangan kanak-kanak popular (lakonan Amerul Affendi), tampil dalam kehidupan sebenar, malah mengkabulkan permintaan Mona pada hari jadinya. Mega membawa Hana masuk ke Daerah M, dan bermulalah pengembaraan ala "Alice in Wonderland" Mona mencari adiknya dalam wilayah asing dan menakutkan.

Setiap 'planet' yang diceburi Mona dan patung anak beruangnya, Bobby (lakonan Khairul Qayyum), dalam 'cakerawala' Daerah M punya advencer tersendiri. Lewat skrip genius dan lincah garapan Amar Amir itu, kamu bakal menemukan apa yang kamu jangka sebelum menonton teater ini, namakan; pengajaran, sindiran, jenaka, sinisme malah moral.



Magis, fantasi, elemen muzikal dalam pementasan ini, selain menepati ciri-ciri teater kanak-kanak yang menghiburkan dan memenuhi 'nafsu' imaginasi kita, ia sebenarnya adalah 'medan permainan' besar anak-anak ini di atas pentas terbuka sebegitu - menari, menyanyi sepuas hati mereka tanda peduli sesiapa dan apa pun.

Kita sebenarnya sedang menonton anak-anak ini memecahkan tembok-tembok dalam diri mereka sendiri, satu pekerjaan yang mungkin tidak mampu mereka buat beberapa bulan lalu, jika tidak ditemukan dengan pasukan produksi teater ini. Terima kasih, TFTN.

Dan bagi para penonton, saya percaya anda bukan sahaja berasa puas malam itu, malah berasa sayang hendak bangun dari kerusi kerana berharap ada lagi persembahan yang barangkali belum dikeluarkan. Persembahan seterusnya mungkin saja bakal menemui anda nanti, tapi sementara menunggu ia tiba, ada peranan yang boleh kita mainkan untuk membantu anak-anak terpinggir ini menemukan sinar dalam hidup mereka, dengan mengambil pedoman dari TFTN.


*Disiarkan di Suara Keadilan 406

No comments: