Tuesday, August 21, 2018

Belia bebas parti politik, mampukah ulang kegemilangan?



Tahun-tahun 1970-an akan sering dikenang sebagai zaman kegemilangan gerakan belia dan mahasiswa di negara ini. Tokoh-tokoh seperti Anwar Ibrahim, Hishamuddin Rais, Kamarazaman Yaakob, Adi Satria dan lain-lain telah meletakkan penanda aras tinggi dalam perjuangan belia lewat aktivisme dan idealisme mereka sepenjang tahun-tahun tersebut.

Membawa agenda besar dengan gelar-gelar seperti salur nadi umat, jurubicara masyarakat, dan agen perubahan, gerakan belia pada waktu itu begitu disegani kawan dan lawan lewat wibawa mereka.

Pendekatan diambil sering berbaur konfrontasi dengan penguasa. Protes, demonstrasi sehinggalah kepada rampasan kampus Universiti Malaya dan Institut Teknologi Mara antara peristiwa-peristiwa besar yang mewarnai perjuangan belia dan mahasiswa zaman itu.

Setelah hampir 50 tahun, perjuangan belia seakan-akan semakin layu. Penguasa seperti sudah menemui formula penawar kepada 'the angry young man' dalam gerakan anak muda.

Seolah-olah kemasukan ikon perjuangan belia, Anwar Ibrahim ke dalam kerajaan pada tahun 1981 jadi 'turning point' (titik perubahan) yang mengubah hala tuju perjuangan belia sehingga 180 darjah, dari bersifat konfrontasi kepada 'rakan dalam pembangunan negara'.

Bermula dari situ, suara-suara protes belia semakin tidak kedengaran atau semakin lunak. Anwar membawa masuk sebilangan rakan-rakan perjuangan lamanya dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengisi posisi-posisi tertentu dalam kerajaan.

Pengaruh parti politik

Sehingga persatuan belia mula diresapi pengaruh politik kepartian, agenda belia semakin samar diperjuangkan. Mengakui hakikat ini, Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM), Ahmad Saparudin Yusuf berkata ia sukar dielak kerana sebahagian persatuan belia, contohnya Gerakan Belia 4B memang ditubuhkan sebagai alternatif kepada Pemuda Umno.

"Ia sudah mendarah daging selama berpuluh-puluh tahun. Untuk mengubahnya dalam tempoh beberapa bulan amat sukar. Tapi kita di MBM akan pastikan prosesnya berjalan," katanya.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman minggu lalu mengeluarkan kenyataan mahu persatuan-persatuan belia bebas dari pengaruh parti politik.

Beliau menegaskan kerajaan Pakatan Harapan dan kementeriannya mengalu-alukan kritikan kepada kepimpinan hari ini, tidak semestinya menyokong kerajaan secara membuta tuli.

Ahmad Saparudin Yusuf

Menyambut baik saranan tersebut, Saparudin menjelaskan proses neutralisasi seperti yang disebut Syed Saddiq harus diterima sebagai satu konsensus dan amalan terbaik persatuan-persatuan belia dalam MBM.

"Itu yang sepatutnya dibuat kerajaan dalam usaha memperkasa gerakan sivil seperti persatuan belia," katanya.

Tambahnya, persatuan belia terbukti menjadi medan latihan subur kepada anak-anak muda mengasah bakat sebelum menjadi pemimpin negara, seperti pernah dilalui tokoh-tokoh seperti Saudara Anwar Ibrahim, Datuk Saifuddin Abdullah, Allahyarham Fuad Hassan dan lain-lain.

"Kerajaan perlu mendekati dan memahami belia, beri mereka ruang untuk buat perubahan secara alami," katanya kepada Suara Keadilan.

Ruang lebih terbuka

Beliau juga mengakui sebelum ini tiada ruang untuk berbeza pandangan dengan kerajaan. Kini dengan dasar keterbukaan, belia mampu bergerak lebih maju, katanya.

Senada dengan Saparuddin adalah Ahli Parlimen Setiawangsa dan Ketua Pemuda HARAPAN, Nik Nazmi Nik Ahmad yang walaupun mengakui ada persatuan belia berkait politik, ia perlu dihadkan dalam ruang tertentu.

"Tidak dinafikan ada beberapa persatuan yang berkaitan dengan politik, namun sebaik-baiknya kita harus bebas daripada pengaruh politik kepartian yang terlalu kuat,"

"Jika ada, ia perlu inklusif kepada beberapa peringkat," katanya yang bakal mengosongkan jawatan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) dalam pemilihan parti akan datang demi memberi laluan kepada calon-calon lebih muda.

Nik Nazmi menjamin kerajaan HARAPAN memberi kebebasan kepada persatuan belia untuk bergerak, dan berharap ia mampu digunakan untuk mereka maju dan menjulang aspirasi perjuangan belia ke tahap lebih baik.

"Di bawah pemerintahan baru, mereka (persatuan belia) bebas dan kita akan beri ruang dan peluang sepenuhnya, tidak terikat dengan politik kepartian, ada kebebasan beri pandangan,"

"Suara belia kini relevan, kerana mereka punya pengaruh dan pengikut mereka sendiri yang kadang-kadang di luar parti politik," katanya.



*Disiarkan di Suara Keadilan 388

No comments: