Institut Darul Ehsan (IDE) melancarkan buku tulisan seorang peguam jenayah dari Australia, Mark Trowell bertajuk "Anwar Returns: The Final Twist" mengisahkan perjalanan kes mahkamah Saudara Anwar Ibrahim dari proses pendakwaan sehinggalah beliau dibebaskan.
Buku setebal 398 muka surat itu menceritakan bagaimana 'segalanya bermula' sejak September 1998 apabila Anwar dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri sehinggalah beliau diberi pengampunan diraja 20 tahun berikutnya, pada Mei 2018.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif IDE, Prof Datuk Dr Redzuan Othman dalam ucapan alu-aluannya, buku tersebut menyebut pembebasan Anwar disambut sebagai hari meraikan demokrasi dan reformasi di Malaysia dan dunia Islam.
"Anwar telah menderita kerana berpegang pada pendiriannya. Pembebasannya dari penjara adalah peristiwa penting dalam sejarah politik negara," kata Dr Redzuan.
Dr Redzuan mengungkapkan kelahiran buku tersebut sebagai rekod penting bukan sahaja dalam konteks peribadi Anwar dan keluarganya malah sebagai dokumen berharga dalam sistem kehakiman dan perundangan negara yang korup.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula mengingatkan bagaimana perjuangan rakyat sentiasa jadi prinsip Saudara Anwar sejak bergelar mahasiswa sehingga kini.
"Penjara tidak dapat menghalangnya dari berjuang untuk rakyat. Laungan 'reformasi' bergema dan 20 tahun berikutnya, laungan tersebut berhasil. Pada 9 Mei, rakyat bersuara," kata Dr Wan Azizah yang melancarkan buku tersebut.
Buku tersebut diterbitkan Marshall Cavendish dan akan diterjemahkan oleh IDE ke dalam bahasa Melayu tidak lama lagi.
*Disiarkan di Suara Keadilan 389

No comments:
Post a Comment